Suasana di kafe yang terdapat di dalam kampus itu
agak riuh kerana waktu sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari. Para pelajar
sibuk mengambil makanan masing-masing. Ada yang duduk melepak sambil berbual
kosong, ada juga yang sedang menghadap komputer riba sambil menyelesaikan tugas
yang diberikan. Nedzrish Eskandar mengambil tempat di tengah-tengah kafe
memandangkan meja lain semuanya sudah penuh. Wajah jejaka itu kelihatan
cemberut sahaja. Dia tunduk merenung telefon bimbitnya sambil tangan kirinya
meramas-ramas rambutnya yang sedikit kusut.
“Rish.. Dekat sini rupanya you. Puas I cari you
dekat blok kuliah, tapi tak ada pun. Call
banyak kali bukan nya nak angkat.” Siapa lagi yang sering mencari dirinya tanpa
jemu, sudah pasti Amelda Imani. Nedzrish hanya tunduk diam membisu, Amelda
terasa dirinya seperti dipermainkan pula. Lantas dia segera menarik kerusi di
hadapan Nedzrish.
“Rish, you ni kenapa? Tak dengar ke I tengah
bercakap dengan you ni?” Amelda Imani menyoalnya sekali lagi. Nedzrish masih
lagi dalam keadaan yang sama seperti tadi. Tiada respon daripada lelaki itu.
“Agaknya you ni dah bisu kot.” Sengaja dia mahu
memanaskan hati Nedzrish.
“Kalau aku bisu, apa kaitan dengan kau? Eh kau boleh
blah tak perempuan? Jangan nak semak depan mata aku boleh?” Nedzrish menengking
Amelda sehingga pelajar-pelajar lain yang turut berada di dalam kafe itu terus
menghalakan tumpuan mereka kepada pasangan itu. Wajah Nedzrish sudah berubah
riak, garang seperti sang harimau yang mahu menerkam si mangsa.
“Rish.. Ini kafe lah, bukan kita berdua je tau ada
dekat dalam ni. Kawal lah sikit suara tu.” Amelda Imani bersuara dengan
wajahnya yang sudah merona merah menahan malu dengan kelakuan Nedzrish yang
tiba-tiba naik hantu.
“Pergi mampus.” Sekali lagi dia menengking gadis itu
dengan tangan kanannya menghentak meja itu sehingga Amelda tersentak hebat.
Nedzrish segera menggalas beg nya lalu dia keluar meninggalkan Amelda Imani
yang termangu-mangu sendirian. Amelda tidak menunggu lama, dengan wajah bengang
dia turut sama mengikuti jejak langkah Nedzrish.
“Eh Rish. Apa kena dengan you ni ha? Dah tak boleh
nak kawal diri sendiri ke? Kenapa sampai nak malukan kita berdua depan orang
ramai?” Amelda Imani berhenti daripada melangkah apabila dilihat Nedzrish
sedang duduk di tepi longkang. Tanpa dia sedari dia mengejar Nedzrish sehingga
mereka sekarang berada di luar kawasan kampus.
“Hoi perempuan! Yang kau ni tak ada rasa penat ke
asyik duk terkejar je aku ni? Pergi lah tempat lain, jangan kacau aku.” Balas
Nedzrish mendatar tanpa menoleh sekilas kepada kekasihnya yang sedang berdiri
di belakangnya.
“I tak ada niat pun nak kacau you. Tapi I nak tahu,
kenapa you tiba-tiba mengamuk macam ni. Kalau you ada masalah, you boleh cerita
dekat I.” Perlahan-lahan Amelda Imani melabuhkan duduk di sebelah Nedzrish.
Lelaki itu tidak pula menghalang ataupun meninggalkannya seperti tadi.
“Aku tak ada sebab nak bagi dekat kau kenapa aku
melenting macam tu tadi. Anggap je lah aku tak ada mood. Puas hati kan aku dah cakap dengan kau? Sekarang ni boleh tak
kau tinggalkan aku, pergi lah kemana kau nak pergi. Asalkan tak kacau hidup
aku.” Amelda Imani terpempan. Mengapa begitu dingin layanan Nedzrish kepadanya
hari ini.
“I buat salah apa dekat you Rish? You jangan lah
buat I rasa macam I ni tak berguna. Kalau you marah kan I, terus terang je
Rish. Jangan buat I macam ni.” Amelda Imani merayu sambil memaut lengan
Nedzrish. Lelaki itu tidak menolak ataupun menepis tangannya.
“Aku stress.
Aku rasa macam nak blah daripada sini je.” Tuturnya dengan nada suara yang
sudah kembali tenang.
“Kenapa ni sayang? Kalau ada apa-apa yang you nak
cerita, cerita je lah. Kalau I tak dapat selesaikan, I akan cuba jadi pendengar
yang setia.” Amelda Imani sememangnya seorang gadis yang terlalu tabah bersama
dengan Nedzrish yang perangai sering berubah-ubah itu. Cuma Nedzrish sahaja
tidak pernah menyedari yang dia mempunyai teman wanita yang sempurna untuknya.
“I baru lepas kena panggil dengan Prof Zaini, lecturer yang paling I menyampah.” Ujar
Nedzrish sambil jarinya bermain dengan deduan yang berguguran di atas jalan
raya.
“Kenapa dia panggil you? You tak submit assignment dia ataupun you tak
ambil test untuk subjek dia?”
“You sendiri tahu jawapan dia. Apasal buat-buat
taktahu ni? Dah bebal sangat ke kepala tu?” Dahi Amelda Imani sudah berkerut,
tadi rasanya Nedzrish sudah kembali normal bercakap dengannya. Ini tiba-tiba
dirinya disalahkan pula.
“Yang bebal tu kepala otak you! I tanya sebab I
betul-betul tak tahu. Kalau I tahu, buat apa I buang masa cari you sampai kat
sini? Ada otak fikirlah.” Balas Amelda Imani kegeraman. Suka hati saja panggil
dirina bebal.
“Emosi betul orang sebelah aku ni. Aku ni yang patut
emosi sebab aku rasa macam bala dah datang.” Balas Nedzrish sambil tersengih.
Amelda ketap bibir. Tadi bukan main masam mencuka wajah kekasihnya, sekarang
tersengih seperti kerang busuk pula. Apalah kena dengan mamat kayu ni.
“Emosi lah sebab mulut you tu tak pernah nya nak
cakap elok-elok dengan I. Asyik nak kutuk I je kan. Bala apa pulak dah datang?”
“Prof panggil I sebab I dah banyak kali tak datang
kelas dia. Lecturer lain pun dah
bising-bising pasal I selalu ponteng kelas. Test
subjek Prof Zaini pun I tak ambil. Sebab
I rasa menyampah sangat. Dia cakap, kalau I buat perangai lagi. Dia tak akan
teragak-agak nak bawa I ke tatatertib.” Nedzrish menceritakan hal sebenar yang
telah menganggu emosinya.
“What??
You. Kan I dah pesan, kalau you tak nak datang kelas. Boleh, tapi pandai-pandai
lah cover. Jangan lah ponteng banyak
kali sampai dia perasan. Dah kenapa tak ambil test? Hish you ni kan, asyik buat masalah je lah.” Dia tidak sangka
pula perangai tidak suka ke kuliah teman lelakinya semakin menjadi-jadi.
Runsing fikirannya memikirkan perihal Nedzrish.
“Jawapan untuk semua soalan you tu ada satu je.
Malas. Sebab I malas nak pergi kuliah, nak belajar benda yang I tak minat. I
rasa I dah buat silap besar lah belajar kos yang tak sebati dengan jiwa I.”
“You ada pilihan ke masa tu? Tak ada kan? I tahu you
buat semua ni sebab terpaksa. Sayang, dengar lah cakap I ni. Untuk sekali ni
je, you ikhlaskan hati you. I yakin, kalau you betul-betul berusaha untuk
cepat-cepat habiskan belajar. Perkara-perkara macam ni tak akan timbul.” Amelda
Imani membetulkan rambut Nedzrish yang sudah tidak terurus. Lelaki itu tidak
pula menghalang, dia hanya membuat riak wajah kosong.
“I betul-betul rasa I dah give up. Kalau sampai I kena pergi tatatertib, tak ke haru biru
jadinya. Mesti papa I marah teruk dekat I nanti. Silap-silap dia halau I keluar
dari rumah.” Ujar Nedzrish lemah. Apa yang dirisaukan sekarang ini adalah
tentang papanya.
“Bukan nya you kena panggil pergi tatatertib lagi
kan? You baru kena warning dengan
Prof. Lepas ni jangan lah buat lagi. Kalau you tak nak fikirkan tentang papa
you. Please fikir tentang mama you,
mesti dia susah hati tengok perangai you macam ni.”
“Kenapa you tak pernah berhenti nasihat kan I
walaupun you tahu I tak akan berubah?” Nedzrish memalingkan wajahnya menghadap
wajah Amelda Imani. Gadis itu turut merenung bebola matanya.
“Siapa cakap you tak akan berubah? Selagi kita
bernafas dekat muka bumi ni, kita semua ada peluang untuk berubah menjadi
seseorang yang lebih baik. Sebab I tak nak you down sorang-sorang.” Dia mengukirkan senyuman ikhlas. Meskipun
kadangkala layanan yang diterimanya agak kasar, namun Amelda Imani tidak pernah
menyesal menyanyangi Nedzrish Eskandar.
“Kau nak tahu tak Mel. Kadang-kadang aku rasa aku ni
tak layak untuk perempuan macam kau ni. Aku selalu kasar dengan kau, tak jaga
perasaan kau sebagai seorang perempuan yang sensetif sifatnya.” Nedzrish
menguak lembut rambut Amelda Imani. Dia bukan tidak cinta gadis yang padanya
terlalu baik pada dirinya, namun dia yang sebelum ini tidak pernah bercinta
tidak tahu bagaimana mahu menunjukkan rasa sayangnya.
“Kalau you rasa you tak layak, berusaha lah sampai
you betul-betul layak untuk I.”
“InsyaALLAH. Kau tahu kan aku bukan tak serius
dengan kau. Kalau jodoh kita panjang, aku nak kau disisi aku sampai akhir hayat
aku. Aku sayang kau.” Amelda Imani tergamam mendengar bait-bait kata yang
jarang sekali diucapkan oleh Nedzrish. Dia merenung lama wajah lelaki itu
bagaikan tidak percaya.
“Dah lah, jom balik. Kau duk tenung muka aku ni
pasal apa? Dah angau sangat ke? Suruh papa kahwin kan kau nanti kalau kemaruk
sangat nak kahwin.” Nedzrish lekas-lekas bangun dari duduknya. Dia terasa kekok
berada dalam keadaan begitu.
“Eleh, baru nak romantik sikit dah menggelabah.
Memang tak silap lah I bagi gelaran kayu balak dekat you. Tak ada perasaan
sungguh!” Amelda Imani mencebik. Nasib badan lah Amelda Imani ada teman lelaki
serupa bercinta dengan tiang.
“Kau tu bukan boleh, kalau aku biarkan kita dalam
keadaan romantik lama-lama. Mula lah kau nak menggedik dengan aku. Tak ada
kerja aku nak layan tau. Baik aku balik tidur.”
“Tunggu lah Rish!” Terhincut-hincut kaki Amelda
Imani yang memakai kasut tumit tinggi. Dia berusaha untuk menyaingi langkah
Nedzrish yang sudah jauh ke hadapan.
*****
“Berapa kali Yadh nak bagitahu Lish. Yadh tak bersedia.
Susah sangat ke Lish nak faham Yadh?” Berubah wajah Ammar Riyadh apabila Qalish
Audrina sekali lagi membangkitkan soal perkahwinan mereka.
“Lish tahu, bukan Lish tak cuba nak faham apa yang
Yadh nak. Tapi parents Lish yang
minta Lish suruh Yadh masuk meminang Lish secepat mungkin.” Qalish mengeluh
panjang. Dia sudah dapat menebak respon yang bakal diterimanya. Kadangkala dia
sendiri keliru sama ada teman lelakinya menyanyanginya sepenuh hati ataupun
tidak.
“Apa yang susah sangat Lish. Kita dah bincangkan
soal ni berpuluh kali. Daripada awal sampai lah ke hari ini, jawapan Yadh tetap
sama. Yadh tak boleh nak fokus dekat rumah tangga kita selagi Yadh tak dapat
capai apa yang Yadh nak. Lish nak ke nanti bila kita dah kahwin, rumah tangga
kita tak bahagia disebabkan Yadh terlalu fokus pada kerja. Nak?” Ujar Ammar
Riyadh panjang lebar. Dia bukan tidak mahu menyegerakan perkara yang murni itu,
namun untuk berkahwin dalam masa terdekat. Dia tidak rasa ini adalah masa yang
sesuai memandangkan dia seorang lelaki yang menginginkan kejayaan dari hasil
titik peluhnya sendiri.
“Kalau macam tu, Yadh jumpa lah parents Lish. Senang, takpayah nak pening kepala lagi. Yadh
terangkan sejelas-jelasnya dekat umi dengan abah Lish kenapa Yadh tak nak
kahwin dengan Lish.”
“Yadh bukan tak nak jumpa. Tapi Yadh tak nak
hampakan parents Lish. Sebab Yadh
tahu mereka harapkan Yadh datang ke rumah bawa hajat, bukan alasan demi
alasan.”
“Tahu pun. Yadh sendiri boleh fikir kan tentang itu?
Lish tak faham lah, kenapa susah sangat Yadh nak tamatkan zaman bujang kita.
Nak tunggu sampai kita berdua ni dah masuk angka 40 ke baru nak kahwin?” Soal
Qalish Audrina bersama senyuman sinis. Air yang baru sampai diteguknya sedikit.
“Suka hati Lish lah nak fikir apa. Yadh tak tahu nak
cakap macam mana lagi. Terserah lah bae
nak fikir apa.” Balas Ammar sambil membuang pandang ke luar restoran.
“Abah bagi kita pilihan. Sama ada Yadh masuk
meminang Lish dalam masa sebulan ni ataupun Yadh akan kehilangan Lish buat
selama-lamanya.” Qalish Audrina akhirnya berterus terang tentang perkara yang
ingin dia bincangkan bersama lelaki itu.
“Apa maksud Lish?” Ammar memandang resah wajah
Qalish yang tampak sedikit lesu.
“Kalau Yadh tak nak kahwin dengan Lish, abah akan
kahwin kan Lish dengan anak kawan dia.”
Mendatar sahaja nada suaranya kali ini.
Ammar Riyadh terpempan. Spontan dia meraih jari jemari Qalish Audrina untuk
mendapatkan kepastian.
“Are you
kidding, Lish?”
“Tak kelakar lah benda serius macam ni saya nak buat
main.” Mendengarkan sebaris ayat itu, Ammar Riyadh tersandar lemah ke belakang.
“Macam ni lah Lish, Yadh tak rasa Yadh boleh
tunaikan apa yang abah awak minta. Tapi kalau tahun depan Yadh masuk meminang
Lish. Yadh rasa masa tu Yadh dah bersedia. Bagi Yadh masa setahun lagi. Boleh?”
Ammar mengelus lembut pipi mulus kekasihnya yang berwajah muram. Qalish Audrina
menepis lembut.
“Yadh faham tak? Abah bagi tempoh sampai hujung
bulan ni je. Kalau Yadh tak masuk meminang jugak, abah anggap Yadh tak serius
dengan hubungan kita selama ni.”
“Tak mungkin Lish, tempoh sebulan yang abah bae bagi
tu terlalu sekejap. Banyak benda yang Yadh perlu selesaikan. Yadh tak nak kita
kahwin tergesa-gesa. Seolah-olah macam Lish ni....
“Macam Lish ni apa? Yadh nak cakap yang parents Lish buat pilihan macam ni sebab
terdesak? Ataupun Yadh nak cakap Lish ni mengandung anak luar nikah? Sebab tu
nak cepat kan perkahwinan kita. Macam tu?” Bertalu-talu dia menyoal Ammar
Riyadh bersama wajah yang merah menahan marah. Dia kecewa dengan sikap lelaki
itu.
“Ya ALLAH, kenapa sampai macam tu sekali bae fikir. Tak pernah terlintas pun nak
tuduh Lish macam tu. Tolong lah bagi Yadh ruang untuk diri Yadh sendiri. Bukan
Yadh tak cinta kan Lish. Kalau Yadh ada perempuan lain, dah lama Yadh
tinggalkan Lish. Yadh hanya ada Lish seorang sahaja.” Dia tidak pernah
terlintas untuk melepaskan Qalish Audrina ke tangan lelaki lain. Namun jikalau
itu sudah suratan yang tertulis, dia harus akur.
“Words without
action is nothing.” Sinis dia membidas kata-kata yang diucapkan oleh Ammar
sebentar tadi.
“Yadh boleh buktikan yang kata-kata itu bukan
sekadar terlafaz di bibir. Tapi bukan sekarang, Yadh harap sangat Lish dan parents Lish hormat keputusan Yadh.”
“Tak apalah Yadh. Yadh tunggu ajelah kad jemputan
daripada Lish. Thank you so much
sebab kecewakan Lish.” Qalish Audrina bingkas bangun dari duduknya. Ammar
Riyadh pantas mencengkam lengan si gadis namun sepasang mata itu memandangnya
dengan pandangan yang tajam.
“Let me go Yadh. I don’t need you at all.” Sejurus
mendengar kata-kata itu, dia terus meleraikan pegangan tangannya ke atas lengan
Qalish Audrina. Hatinya terhiris pedih mendengar ayat itu. Dia sedar
perbuatannya sudah menghancurkan sekeping hati yang tulus mencintainya.
*****
Dato’ Ezzudin tekun meneliti beberapa contoh kad
jemputan perkahwinan yang pelbagai corak itu. Dia tersenyum sendirian
kemudiannya. Datin Khalidah sudah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat
telatah Dato’ Ezzudin yang angau seperti dia pula mahu berkahwin.
“Abang, teringin nak tambah lagi satu ke?” Datin
Khalidah menepuk lembut bahu suaminya yang sedang berehat di atas sofa di sudut
bilik tidur mereka.
“Kalau Idah benarkan, apa salahnya.” Ujar Dato’
Ezzudin sambil tersengih gatal.
“Hish. Tak padan dengan uban dekat atas kepala tu,
ada hati nak kahwin lagi satu. Nak kahwin dengan yang muda ataupun dengan
janda?”
“Mesti lah abang nak kahwin dengan anak dara yang
cun melecun, baru sesuai jadi bini nombor dua Dato’ Ezzudin.” Dato’ Ezzudin
melayankan sahaja gurauan senda isterinya. Sudah lama mereka tidak bergurau
sebegitu memandangkan Dato’ Ezzudin sering sibuk menguruskan urusan perniagaan
mereka di luar negeri.
“Abang.. Bila kali terakhir abang makan lesung
batu?”
“Lesung batu, orang tak buat makan tau. Tapi kalau Idah
nak cuba, abang boleh cari kan.” Satu cubitan halus hinggap di tangan kirinya.
Dato’ Ezzudin mengaduh kesakitan bersama tawa kecil.
“Idah Idah. Daripada muda sampai lah ke tua, tak
habis-habis nak cemburu nya. Kalau abang nak kahwin, lama dah abang buat. Ini
untuk anak kesayangan awak tu, abang tak sabar nak tengok Rish kahwin.” Dato’
Ezzudin bersuara ceria sambil menunjukkan beberapa jenis kelengkapan untuk
majlis perkahwinan kepada isterinya.
“Abang. Kita tak dapat apa-apa kata setuju daripada
Haji Man lagi. Haritu kita cuma bincang ringkas aje. Dia pun tak tanya kat anak
dia lagi kan.”
“Idah, abang tahu awak tak setuju dengan rancangan
abang ni. Tapi percayalah Idah, abang tak pernah ada niat sikit pun untuk
susahkan hidup Rish, apatah lagi nak hancurkan masa depan dia.” Dato’ Ezzudin
seakan-akan mengerti apa yang dirisaukan oleh isterinya.
“Selama ni, setiap keputusan yang abang buat. Tak
akan ada seorang pun yang boleh halang. Abang buat lah apa yang abang rasa
terbaik untuk Rish.” Datin Khalidah akhirnya mengalah dengan keputusan si
suami. Sudah berbuih mulutnya menasihati Dato’ Ezzudin supaya tidak
terburu-buru untuk membuat keputusan, namun Dato’ Ezzudin seolah-olah buat
tidah tahu sahaja. Dia malas mahu bertekak dengan suaminya lagi.
“Dah lah Idah, suka ataupun tidak. Rish tetap akan
berkahwin dengan Qalish. Abang dah berkenan sangat dengan budak tu, sayang
kalau kita lepas kan budak sebaik Qalish tu. Esok abang nak bagitahu Rish
tentang ini.”
“Abang.. Rish tu tak lama lagi nak final exam. Saya tak nak dia terganggu
nanti bila abang bagitahu dia tentang ini. Abang tahu kan Rish tu jenis yang
suka memberontak.”
“Apa bezanya kalau abang bagitahu sekarang dengan
nanti? Lambat-laun dia akan tahu jugak. Takpayah lah awak nak risau pasal exam budak pemalas tu, kalau bukan
kerana perkara ini pun dia memang malas nak belajar. Tengok ajelah keputusan
dia nanti.” Ujar Dato’ Ezzudin tanpa perasaan.
“Fikir lah sikit tentang Rish tu abang, sudah lah
abang tentukan apa yang dia patut buat dalam hidup dia. Saya tak minta banyak
pun, saya cuma taknak abang gangu konsentrasi Rish untuk persediaan peperiksaan
dia tak lama lagi.” Datin Khalidah menasihati suaminya lembut. Dia mengusap
lembut dada suaminya. Dato’ Ezzudin tersenyum nipis.
“Apa-apa ajelah Idah. Mari kita tidur, abang dah
mengantuk ni.” Dato’ Ezzudin menanggalkan cermin matanya lalu dia segera
menghampiri katil dan merebahkan badannya disitu. Datin Khalidah turut
mengikuti apa yang dilakukan oleh suaminya.
No comments:
Post a Comment