Bunyi alarm
di telefon pintar itu menganggu lena Adra Sofia. Lambat-lambat dia membuka
matanya. Sejurus dia membuka matanya dia terkejut bukan kepalang kerana jam
sudah menunjukkan angka 12 tengah hari. Dia bercadang hanya mahu lelap untuk
seketika, tidak sangka pula dia bermalam di hotel itu sehingga terbabas.
“Naz… Bangun la, dah pukul 12 tengah hari ni. You
tak kerja ke?” Dia menolak tubuh Nazhan yang melekap di tubuh langsingnya.
Tangan lelaki itu yang melingkari pinggangnya cuba dialihkan namun Nazhan
sengaja mengeraskan anggota badannya.
“Nazhan! You tak nak masuk ofis ke?” soalnya lagi,
kali ini nada suaranya sedikit meninggi.
“Hmm… Malasnya I nak masuk kerja. Kita check out petang nanti je lah. I tak
puas lagi bermesra dengan you.” Nazhan membuka sedikit matanya lalu dia
mencapai jemari Adra Sofia dah dikucup perlahan.
“You ni dah kenapa? Kan semalam I dah spent time dengan you. You nak apa
lagi?”
“Semalam kita tidur sama-sama. Tak buat apa-apa pun,
memang lah I tak puas.”
“Selama kita masuk hotel, pernah ke kita buat
lebih-lebih? You sendiri dah setuju kan, kalau nak tidur dengan I boleh. Tapi
jangan nak buat benda-benda tak senonoh.” marah Adra Sofia. Bukan sekali dua
Nazhan cuba untuk menggoda dirinya untuk melakukan maksiat, setiap kali mereka
bertemu pasti lelaki itu menyatakan hasratnya.
“You cuba cakap dengan I, lelaki mana yang boleh
kawal nafsu bila tengok perempuan seksi dan tak cukup kain depan mata dia?
Tambahan pula, dekat dalam bilik ni hanya kita berdua je. Memang tak lah, tak
ada siapa yang boleh kawal nafsu lelaki diaorang.”
“I tak kisah you nak sentuh I, you nak peluk cium I.
Go ahead, tapi bukan rosakkan diri I.
I masih lagi nak jaga dara I untuk my
husband.”
“Kita kahwin jela sayang, senang sikit. I tak payah
nak kena sembunyi-sembunyi keluar dengan you, nak kawal nafsu ni. I terseksa
seorang diri tau hanya dapat tengok you je. Tapi tak boleh buat apa-apa.”
Nazhan bersuara seakan-akan merajuk. Itu memang idea gila untuk bernikah dengan
gadis itu. Dia sendiri tahu Adra Sofia hanya menjadikan dirinya sebagai teman
dikala kebosanan. Dia tahu gadis itu amat mencintai Ruzail dan dirinya langsung
tidak mempunyai ruang di hati Adra Sofia.
“You gila ke Naz? Nak kahwin dengan you yang
berstatus sebagai suami orang? Kerja gila you tahu tak!”
“Tapi lagi gila kalau I tak dapat kan you.” Nazhan
sudah bangun dan melunjurkan kakinya. Dia merenung wajah masam gadis itu dengan
pandangan yang redup. Dia mengakui semenjak mereka menjalinkan hubungan, rasa
cintanya buat isterinya semakin berkurangan kerana Adra Sofia bijak melayan
dirinya. Terutamanya ketika dia keletihan dan tertekan dengan bebanan kerja,
sikap manja Adra Sofia mencairkan hati lelakinya.
“You know how
much I love my boyfriend, kan? You, dari
awal kita kenal, I dah cakap dengan you. Tolong jangan jatuh cinta dengan I.
Sebab I tahu, kalau kita suka antara satu sama lain pun, tak akan kemana. You
dah ada keluarga dah Naz. Sanggup ke you hancurkan keluarga yang you bina
bertahun-tahun?” Adra Sofia turut membalas renungan lelaki itu. Tiada rasa
sayang buat lelaki itu namun untuk meninggalkan lelaki itu buat masa ini, dia
juga tidak punya sebab.
“Kalau you sayang dia, you tak akan cari lelaki
lain. Maknanya, you bukan betul-betul cintakan dia. Adra, tolong lah fikir
secara logik. Kalau you sayangkan dia sepenuh hati you, you tak akan curang
dengan dia.”
“Kalau Ruzail tak sibuk dengan kerja dia, kalau dia
tak abaikan I. I tak rasa I akan kesunyian dan cari you untuk hilangkan
kebosanan I.” Adra Sofia mengeluh halus. Dia sangat mencintai Ruzail dan tidak
pernah sekali pun dia terdetik untuk menduakan lelaki yang sudah bertakhta di
hatinya sejak 3tahun yang lepas. Namun dia sendiri tidak dapat mengawal dirinya
untuk berhubungan dengan Nazhan kerana ianya berlaku di luar kawalannya
sendiri. Semuanya berlaku terlalu pantas dan dia tidak mampu untuk menoktahkan
semua ini.
“Kalau nak cakap tentang sibuk, sesiapa yang ada
kerjaya sendiri memang akan tak lari daripada kesibukan dan kesuntukan masa.
Tapi dia kena bijak lah bahagikan masa. I tahu la dia tu CEO syarikat terkemuka
dekat Malaysia ni, tapi tu bukan alasan untuk dia abaikan you. Kalau dia
sayangkan you, dia akan cari jugak masa untuk you. Sekarang ni pun, you dah
boleh nampak perbezaan I dan Ruzail. You dah cukup dewasa nak fikir semua ni
Adra. Pilihan ada dekat tangan you, kahwin je la dengan I. Tak payah nak pening
kepala dan makan hati dengan sikap Ruzail. Dia bukan peduli kan you pun.”
“I sayang dia sangat-sangat. Walaupun dia selalu
sakitkan hati I, dan I selalu ragu-ragu dengan dia. Tapi I percaya yang dia
memang betul-betul sibuk, bukan sibuk dengan perempuan lain ataupun dia dah tak
sayangkan I.”
“Okey, terpulang lah pada you. I tak boleh nak paksa
you. Tapi Adra, tawaran I untuk kahwin dengan you tetap akan terbuka sampai
bila-bila. Kalau you ubah fikiran, tolong bagitahu I dengan segera.” Nazhan
sudah berkira-kira untuk ke bilik air. Dia mahu membersihkan tubuh badannya
sebelum keluar dari hotel itu.
******
“Adra. Adra pergi mana semalam? Kenapa tak balik
rumah semalam? Tidur dekat mana?” Dato’ Haslan sengaja tidak masuk ke pejabat
pada hari ini. Dia mahu menanti sehingga anak sulungnya pulang ke rumah. Dia
tahu, Adra Sofia tentu akan pulang ke rumah apabila dia sedang berada di
pejabat.
Aduhai, ada pulak orang tua ni. Macam mana nak
kelentong dia ni.
Adra Sofia menelan liur berkali-kali. Dia menarik
nafas dalam-dalam sebelum menjawab pertanyaan ayahnya.
“Adra tidur rumah kawan. Bukan tak nak balik rumah,
tapi semalam berborak dengan dia sampai tak sedar yang hari dah lewat malam.
Nanti kalau Adra balik puku 3, 4 pagi, ayah bising pulak kan? So, lebih baik Adra tak payah balik.”
“Kawan mana satu ni? Setahu ayah, kamu tu bersepah
kawan lelaki, bukan kawan perempuan. Tidur rumah jantan mana semalam?” soal
Dato’ Haslan dengan wajah yang sudah menyinga. Sejak akhir-akhir ini dia sering
mendengar cerita kurang enak tentang anak sulungnya yang gemar keluar masuk
kelab malam.
“Rumah jantan mana pulak ni? Ayah ni kan, kalau tak tahu apa-apa. Tak payah nak main
tuduh ikut suka ayah je. Adra cakap, Adra tidur rumah kawan perempuan Adra,
maknanya betul lah. Tak payah nak mempertikaikan apa-apa la.” bidas Adra dengan
beraninya. Tidak dihiraukan suhu kemarahan Dato’ Haslan yang memuncak itu.
“Berapa kali ayah nak cakap dengan Adra yang ayah
tak suka Adra keluar masuk kelab malam? Selalu sangat dah ayah dengar cerita
tak best tentang anak ayah ni. Mana
ayah nak letak muka ayah ni? Dulu Adra tak macam ni pun, sejak belajar dekat
Australia, perangai dah makin meliar. Dah makin susah nak bentuk. Ayah hantar
kesana untuk cari ilmu, bukan untuk jadi rosak macam ni.”
“Adra belum rosak lagi lah ayah, setakat keluar
malam, balik lewat pagi. Itu perkara biasa la ayah. Anak muda zaman sekarang ni
memang susah nak dikawal, jadi ayah tak payah susah hati. Sampai masa nanti,
bila Adra rasa nak berubah, Adra akan berubah jugak.” ujarnya dengan penuh
selamba.
Dato’ Haslan sudah mengepal penumbuk. Kalau ikutkan
hatinya, sudah lama dia kerjakan anak daranya yang semakin hari semakin biadab.
Dulu, Adra tidak bersikap begini. Sejak dia pulang dari luar negara,
perangainya semakin sukar untuk dijangka. Adra Sofia juga sudah hilang hormat
kepada dirinya. Anak gadisnya itu bertambah biadab terhadap dirinya apabila
kemahuan gadis itu untuk menceburkan diri dalam dunia fesyen ditentang keras
olehnya.
“Tak rosak apanya Adra kalau dah kamu mengamalkan gaya
hidup bebas macam ni? Kamu ni macam tak ada agama pula. Soal solat jangan
cerita lah, bukan main payah lagi nak tunaikan kewajipan tu. Keluar rumah,
pakai pakaian tak pernah sopan. Mana kamu belajar cara hidup macam ni?” Tubuh
anaknya yang hanya memakai singlet dan skirt paras lutut dipandang dengan
pandangan yang tajam. Berbeza sungguh Adra Sofia dengan adiknya, Wafa. Wafa
bertudung litup dan menjaga maruah dirinya dengan baik sekali. Jarang sungguh
Wafa membuat sesuatu yang menggusarkan hati Dato’ Haslan.
“Ayah. Adra tak tahu lah sampai bila kita ni, asal
berjumpa je nak bergaduh. Can you please stop all this, ayah? Ayah tak penat ke
asyik nak mengamuk je dengan Adra? Adra dah letih, letih dengan semua
nasihat-nasihat ayah tu. Ayah tu dah tua tau, tak sepatutnya ayah bebankan
fikiran ayah dengan fikir masalah Adra. Infact,
Adra tak menyusahkan sesiapa pun.”
“Tak menyusahkan sesiapa Adra cakap? Hei! Kalau kamu
ni bukan anak ayah, ayah tak akan susahkan kepala otak ayah untuk fikirkan
pasal kamu. Tolong ubah perangai kamu ni Adra, sakit mata ayah tengok perangai
kamu. Semakin hari semakin liar. Seolah-olah ayah ni tak pandai nak didik
anak.”
“Ayah, Adra dah balik rumah ni pun dah cukup bagus
tau. Macam ni je lah, kalau ayah nak membebel, ayah membebel lah seorang diri.
Sebab Adra penat sangat semalam, Adra nak masuk bilik dulu dan berehat.”
Selesai sahaja berkata-kata, dia segera menghayunkan kakinya untuk ke kamarnya
di tingkat atas.
“Kenapa lah kau ni degil sangat Adra!” Dato’ Haslan
menghempas kasar punggungnya di atas sofa. Sakit kepalanya memikirkan sikap
degil dan kurang adab anak sulungnya.
*****
Ezzaidi Farhad sudah menjangka gadis itu akan
berkunjung di kafe tempatnya bekerja pada hari ini. Ketika dia menghubungi
gadis itu untuk bertanya khabar, wanita itu meluahkan ketidak puasan hatinya
terhadap ayahnya, Dato’ Haslan. Mereka tidak bercakap lama di atas talian
kerana Ezzaidi mempunyai kerja untuk diselesaikan di dapur. Kafe tempatnya
bekerja itu adalah kafe milik ibu dan ayah saudaranya. Sejak dari kecil lagi,
dia dibela oleh Encik Amran dan Puan Laila. Dia sudah menganggap kedua ibu dan
ayah saudaranya itu seperti ibu bapa kandungnya sendiri.
“Kenapa you pandang I macam tu Ez? Ada apa-apa yang
tak kena ke dengan muka I hari ni? Apa muka I ni dah berubah jadi alien ke?”
marah Adra Sofia melihat Ezzaidi hanya merenung wajahnya tanpa mahu memulakan
bicara.
“Muka you sentiasa nampak macam alien, apatah lagi
bila you monyok macam ni. Terserlah muka pelik you tu.” Sengaja dia mahu
memanaskan hati gadis itu. Sehari tidak mencari pasal dengan Adra Sofia,
seperti tidak lengkap pula hidupnya.
“You jangan nak cari pasal boleh tak? I tengah tak
ada mood ni.”
“I tahu la Adra, kalau muka you masam mencuka macam
ni, memang sah-sah la you datang kafe ni untuk mengadu. So, tak payah la nak buang masa sebab I banyak sangat kerja dekat
dapur tu. Ni I break sekejap,
semata-mata sebab you tau.”
“So sweet, I tahu walau apa pun yang terjadi. You tetap
luangkan masa untuk dengar masalah I kan?” ujar Adra Sofia dengan nada yang
sudah kembali tenang. Dia tidak menafikan setiap kali dia mempunyai masalah,
sudah tentu Kafe Lazathia menjadi destinasi untuk dituju kerana hanya Ezzaidi
Farhad yang paling setia mendengar masalahnya.
“So, apa masalah you hari ni? Gaduh dengan papa you
lagi? Pasal syarikat tu? Tak habis-habis lagi ke Adra?”
“Hisy! Kali ni bukan pasal dia bertekak dengan I
sebab syarikat, kali ni pasal dia marah I tak balik rumah semalam.”
“You tak balik rumah semalam? Dah tu you pergi
mana?” Ezzaidi juga ikut hairan. Walaupun Adra Sofia agak liar dan kerap keluar
malam, namum jarang sekali wanita itu tidak balik ke rumah dan bermalam di
tempat lain.
“I tidur hotel semalam.”
“Tidur dekat hotel? You ni tak puas bercuti lagi ke?
Dekat dalam KL ni pun you nak tidur dekat hotel. Lawak la you ni.”
“Bukan macam tu la. Semalam I pergi club, lepas tu I check in la hotel. Ingatkan nak lelap sekejap je sebab I penat
sangat semalam. Tapi bila I sedar je, dah pukul 12 tengah hari. Tak perasan I
yang tertidur dekat hotel.” cerita Adra Sofia.
“You check in
hotel dengan siapa?” soal Ezzaidi dengan nada serius. Masakan wanita itu tidur
bersama Ruzail?
“Okey la Ez, I rasa dah sampai masanya untuk I
berterus-terang dengan you. Sebelum ni you hanya tahu kewujudan Ruzail dalam
hidup I kan? Dia memang boyfriend I
dan I sayangkan dia. Tapi I sendiri manusia biasa, I tak boleh nak lari
daripada rasa bosan dan sunyi.”
Ezzaidi yang setia mendengar bicara gadis itu sudah
tercengang. Tidak sangka pula gadis itu bermain kayu tiga belakang Ruzail.
“You ada lelaki lain? Siapa lelaki tu?”
“Nama dia Nazhan. Bisnessman jugak, tapi I pelik la, dia selalu je ada masa untuk I. Ruzail tu
selalu sangat bagi alasan yang dia terlalu sibuk. Macam mana I tak cari lelaki
lain kan?”
“Adra Sofia! You sedar tak yang you sedang bermain
dengan api?”
“Bermain dengan api apanya? I tahu la apa yang I
buat. You tak payah la nak nasihatkan I. Benda dah jadi dah pun.”
“Kalau la sampai si Ruzail tahu tentang you ada
lelaki lain, apa you fikir dia boleh buat dekat you? You sendiri tahu kan yang Ruzail
selama ni setia dengan you, kenapa you balas macam ni dekat dia? Kalau dia tahu
tentang perkara ni, I tak tahu la dia masih boleh teruskan hubungan korang
berdua ataupun tidak. Masa tu, you jangan melalak cari I pulak.” Keras kedengaran suara Ezzaidi. Sungguh dia langsung tidak
menyangka Adra Sofia sanggup curang dengan lelaki sebaik Ruzail hanya kerana
lelaki itu sibuk dengan urusan kerjanya.
“Ez, you tak ada dekat tempat I, sebab itulah you
boleh salahkan I seratus peratus. I nak ajak dia makan malam dengan I pun
terlalu payah, I nak ajak dia teman I shopping,
lagi lah tak payah cerita. Telinga I ni, dah muak dengar alasan yang sama.
Sibuk sangat ke dia sampai tak ada masa langsung untuk I?”
“You fikir boyfriend
you tu kendalikan kedai runcit ke? Kalau dia tu buka kedai runcit, boleh la you
nak marah kalau dia bagi alasan yang dia selalu sibuk. You kena la faham
keadaan orang, you tak boleh nak paksa orang untuk ikut je kehendak you. Apa
you ingat Ruzail tu macam you ke? Tak ada hala tuju dalam hidup?” bidasnya
dengan kata-kata perlian. Padanya Adra Sofia tidak sepatutnya menduakan Ruzail
kerana dia juga mengenali lelaki itu dan pada pandangannya, Ruzail adalah
lelaki terbaik untuk Adra Sofia.
“Sebab tu la I malas nak cerita dekat you pasal ni.
I dah agak dah, you mesti nak salahkan I.” Adra Sofia tayang wajah bosan. Air
limau ais diteguk sehingga habis.
“Dah memang you bersalah dalam hal ni, takkan I nak
jadi bodoh semata-mata nak backup you?”
“I tak suruh pun you backup I.”
“Kejap, tadi you cakap you check in hotel dengan kekasih gelap you tu kan. You ada buat
apa-apa ke?”
“I nak buat apa dengan dia?” soalnya kembali. Bukan
dia tidak tahu Ezzaidi bertanyakan soalan itu kerana lelaki itu risau tentang
dirinya.
“Adra, you tahu apa maksud disebalik soalan I tu
kan?”
“Of course la I tak ada buat apa-apa. I mengaku memang I tidur
satu katil dengan dia. Tapi I tak buat perkara yang tak elok pun.”
“Oh, so
tidur satu katil dengan lelaki bukan muhrim, perkara yang baik lah ye Cik Adra
Sofia? Mazhab mana you ikut ni? Mazhab kepala otak you?” Bengang sungguh dengan
jawapan mudah yang diberikan oleh gadis itu. Kalau ikutkan hatinya mahu saja
dia menyampaikan tazkirah kepada gadis itu hingga esok pagi. Biar insaf sikit.
“Tak la. Maksud I, I tak serahkan diri I dekat dia.
I cuma izinkan dia peluk, cium I bila-bila dia nak. Dia boleh peluk I sepanjang
I tidur dengan dia, tapi I tak benarkan dia ragut mahkota I.” jelasnya untuk
membetulkan persepsi Ezzaidi yang sudah salah faham dengan kata-katanya
sebentar tadi.
“Sempat lagi you fikir pasal kesucian you kan? Habis
tu, you biarkan tubuh badan you disentuh oleh dia, you rasa you masih suci lagi
ke?”
Merah padam wajah Adra mendengar soalan celupar yang
diutarakan oleh Ezzaidi. Ezzaidi hanya beriak selamba sambil menanti jawapan
daripada gadis itu.
“Tapi I tak buat seks. Apa yang penting pada I, I
nak biarkan suami I yang sah yang boleh buat apa saja dekat diri I, sebab dia
lebih berhak. Ya, I mengaku, I memang tak kisah dia peluk cium I. Sebab pada I,
I tak luak apa-apa pun. Bukannya dengan ciuman yang dia hadiahkan dekat I, akan
menyebabkan I mengandung ataupun hilang dara.”
“Okey, kalau macam tu, I pun boleh pegang you lah
kan? Sebab you sendiri tak kisah lelaki sentuh anggota tubuh you.” Ezzaidi yang
duduk bersebelahan dengan gadis itu segera meletakkan tangannya di atas peha
gadis itu. Wajah Adra Sofia sudah berubah riak, bengang kerana Ezzaidi sengaja berbuat
begitu bertujuan untuk memperlekehkan dirinya.
“Apahal? Marah ke? La, I letak tangan I atas peha
you, lepas tu I usap-usap peha you. Tak menyebabkan you mengandung pun kan? Nak
risau apa?” soal Ezzaidi bersama senyuman sinis.
“Stop it Ez! Tak payah nak perli-perli I. I tahu la I ni
teruk, I tak jaga maruah I. I biarkan lelaki suka-suka je pegang I. You nak
anggap I ni perempuan murah ke, terpulang pada you la.” marah Adra Sofia lalu
dia segera berpeluk tubuh.
“I tak faham la kenapa you boleh jadi liar sampai
tahap macam ni. Sebelum you pergi Australia, you tak macam ni pun. Walaupun you
memang tak pakai tudung dari dulu lagi, tapi perangai you tak seteruk ini. I
macam dah tak kenal kawan baik I sendiri.” Ezzaidi mengeluh perlahan. Hendak
dimarah, sudah berbuih-buih mulutnya memberi nasihat namun gadis itu tidak
hairan akan nasihat yang diberi.
“You tak payah la nak risau sangat, muka tu tak payah
nak over sangat boleh tak Ez? I
sendiri tak kisah, I lagi enjoy tau
hidup macam ni.”
“You masih muda lagi Adra, memang lah you seronok
dengan cara hidup macam ni. Tapi sampai bila? Sampai bila you nak bergelumang
dengan dosa?”
“Stop it! I datang sini bukan nak dengar you bersyarah, you
boleh simpan semua kata-kata nasihat you tu. I tak perlukan langsung.” Adra
mulai rimas kerana sejak dari tadi dirinya dibebel oleh Ezzaidi.
“Okey, kalau macam tu, I pun tak ada masa nak duduk
dengan you dekat sini. Nanti jangan tak bayar pulak minuman ni.” Ezzaidi segera bangkit dari duduknya. Malas mahu
bertekak dengan gadis itu kerana hatinya cepat sahaja mahu mengamuk mendengar
bicara selamba gadis itu.
“Ezzaidi! Berani you blah macam tu je?”
“Berani lah, sebab you pun berani belakangkan hukum
Tuhan semata-mata nak hidup bebas. You sedarlah yang you tu dilahirkan sebagai
seorang muslim, tak payah nak acah-acah mat salleh sangat la.”
Adra Sofia mengetap bibirnya kerana geram dengan
kata-kata perlian yang menyentap hatinya. Tanpa suara, dia segera bangun dari
duduknya dan sekeping not berwarna merah diletak dibawah cawan minuman.
Seketika kemudian dia segera berlalu meninggalkan kafe itu. Ezzaidi yang masih
lagi berdiri disitu hanya diam tanpa mahu bersuara. Not berwarna merah dicapai
lalu dia melangkah santai untuk ke dapur.