“Woi Rish, kenapa muka masam mencuka je ni? Macam
orang baru lepas kena maki je gaya kau ni.” Haiqal menyapa Nedzrish yang
tiba-tiba muncul dan menyertainya yang sedang sembang kosong bersama Nadim.
“Haah lah Rish, kenapa muka kau kelat semacam je ni.
Ada benda yang tak best ke jadi pagi ni?” Soal Nadim pula yang sedang mengunyah
pop corn.
“Mood tak
berapa baiklah kawan. Assignment aku kena reject untuk kali yang keempat.” Luah
Nedzrish bersama senyuman kelat dibibirnya. Dia sudah buntu sebenarnya kerana
ini sudah masuk kali keempat dia membetulkan semula assignment yang diberikan
oleh Prof Zaini.
“Lecturer
mana pulak reject assignment kau ni?
Apa yang payah sangat ni Rish? Meh aku nak tengok sikit assignment yang sampai 4kali kena reject ni.” Pinta Haiqal. Dia sebenarnya kesian melihat kawan nya
yang sering kali bernasib malang sepanjang belajar di kampus UiTM Shah Alam.
“Prof Zaini. Dia tu kan memang anti dengan aku.
Minggu lepas aku tak pergi kelas dia je, dia terus mengadu dekat bapak aku.
Bernanah telinga aku ni dek bebelan berdas-das bapak aku tu. Kau tahu jelah
orang tua tu kalau bebel, boleh pekak setahun.” Nedzrish Eskandar mengeluarkan
laptop jenama Acer miliknya lalu diserahkan kepada Haiqal.
“Prof Zaini tu memang anti dengan kau sejak semester
pertama lagi. Yelah kau kan dah dua kali repeat
subject dia. Dia bengang lah kot.” Ujar Nadim yang sedang leka bermain game di telefon bimbitnya. Mereka sudah
bersahabat sejak semester 1 lagi. Cuma ada beberapa kelas yang mereka tidak
sama kerana Nedzrish tidak lulus beberapa subjek.
“Wei Rish. Kalau aku cakap kau bodoh, kau marah.
Tapi memang patut pun assignment kau
ni kena reject. Kalau aku jadi Prof
Zaini, dah lama aku bakar je assignment
kau ni.” Tiba-tiba Haiqal menepuk meja kuat. Nedzrish yang sedang mengelamun
terkejut bukan kepalang. Diketuk kuat bahu Haiqal dengan botol air Nadim.
“Terkejut aku Qal. Kau nak cakap tu boleh tak bagi
signal dulu? Jangan main terjah je.”
“Entah kau ni, nasib baik tak melambung telefon aku
ni.” Nadim yang turut terkejut turut sama menyokong kata-kata Nedzrish.
“Sorry guys..
Aku tak sengaja. Kau sedar tak yang kau ni tengah belajar course bisness bukan muzik?”
“Sedar lah. Apa kaitannya pulak ni?” Soal Nedzrish tidak dapat meneka apa yang cuba ingin
disampaikan oleh sahabatnya.
“Prof Zaini suruh kau buat summary tentang apa-apa article
berkenaan dengan business dekat Malaysia ni. Bukan nya buat summary pasal muzik. Yang kau pergi
melalut cerita pasal seni muzik tanah air dah kenapa? Benda senang kot Rish.”
Haiqal menepuk dahinya. Dia tidak menyangka dia mempunyai seorang kawan yang
tahap pemikirannya boleh dikatakan seperti kanak-kanak kecil sahaja.
Nadim sudah ketawa terbahak-bahak mendengar
penjelasan Haiqal. Dia tidak dapat menahan tawanya daripada terhambur keluar.
Haiqal turut sama menyertai Nadim yang seronok mentertawakan Nedzrish.
“Diam lah! Aku tahu lah aku tak pandai macam kau
orang semua. Tak payah nak memperlekehkan aku.” Nedzrish sudah tarik wajah
masam.
“Rish Rish. Aku tak sangka yang kau buat assignment pasal minat kau tu. Tak
pernah dibuat orang weh. Kau ni memang dah betul-betul kritikal tahap benci kau
dekat course ni Rish.” Ujar Nadim
setelah tawanya reda.
“Bukan salah aku lah. Prof suruh buat summary tentang apa-apa article. So aku pun dengan bangganya cerita lah pasal benda yang aku minat.”
Nedzrish membela dirinya. Dia memang menyampah apabila bercakap soal pelajaran.
“Apa-apa article
tentang bisness Nedzrish Eskandar. Bukan nya article umum. Aku tahu lah soalan assignment kau ni sebab sedara aku si Finaz tu satu kelas dengan
kau. Kau tak payah nak kelentong aku lah Rish.” Haiqal menutup kembali komputer
riba Nedzrish lalu diserahkan semula kepada Nedzrish.
“Entah, aku terlepas pandang kot. Biar lah benda dah
berlalu.” Mudah sahaja jawapan yang diberikan. Langsung tidak ada riak wajah
bersalah ataupun mengakui kesalahan diri sendiri.
“Senang nya hidup kau kan Rish. Kan dah menyusahkan
diri kau sendiri. Benda yang kita tak suka ni, kalau boleh kita nak hadap
sekali je dalam hidup kita. Ini kau lain pulak, kau tak suka course ni tapi kau tak nak cuba untuk
cepat-cepat habiskan belajar. Tak faham aku dengan kau ni.” Haiqal menasihati Nedzrish
meskipun dia tahu tiada guna menasihati lelaki itu.
“Weh guys,
sabtu ni jom kita main futsal. Aku teringin nak lawan dengan junior kita.
Dengar cerita diaorang power-power jugak tu.” Nadim pantas mencelah. Nedzrish
yang berwajah muram seperti tertarik mendengar cadangan daripada sahabatnya.
“Alamak. Aku tak ada duit lah. Korang kalau nak
main, korang main jelah. Aku tak ada duit nak join.” Wajahnya kembali hampa mengenangkan wang sakunya yang hanya
cukup-cukup untuk belanja makan dan duit minyak motorsikalnya.
“Alahhh Rish. Bukannya banyak pun. Sorang RM10 je.
Kita share-share kan. Jom lah Rish.
Kalau kau tak ada tak sedap lah pulak.”
“Macam kau tak kenal dengan Rish ni. Dia memang
sepanjang masa tak pernah cukup duit. First
time aku jumpa anak Datuk, tapi dompet sentiasa kering. Anak orang ternama,
tapi pergi kelas naik motor cabuk. Bapak kau untung berjuta-juta dengan bisness
dia, tapi anak yang sorang ni hidup macam anak orang miskin je.” Selamba Haiqal
mengutuk Nedzrish. Dia sendiri tidak mengerti cara bapa Nedzrish mendidik
anaknya. Motorsikal Nedzrish yang digunakan untuk ke kampus setiap hari dibeli
hasil titik peluhnya sendiri bekerja di pizza hut semasa cuti semester.
Langsung tidak dimanjakan dengan kemewahan yang tidak terhitung milik keluarganya.
“Bapak aku potong duit aku untuk bulan ni. Itu yang
aku rasa macam tak boleh nak hidup sampai hujung bulan ni.”
“Apasal pulak
dia tiba-tiba potong duit kau? Dah lah duit yang dia bagi tu sikit je, macam
duit belanja untuk budak sekolah je. Dia tak tahu ke zaman sekarang ni semua
perlukan duit?” Nadim tidak suka cara bapa Nedzrish itu. Meskipun dia bukanlah
berasal daripada keluarga berada seperti Nedzrish, tetapi ibu bapanya akan
memastikan keperluan, duit belanjanya cukup dan tidak pernah kurang sedikit
pun.
“Sebab Prof Zaini lah mengadu dekat dia perangai
aku. Aku tak pergi kelas je, selalu datang lambat. Itu je bapak aku dah naik
hantu. Terus dia potong duit aku RM50. Elok-elok sebulan aku dapat RM200, ni
dah tinggal RM150. Mana lah cukup. Duit minyak, duit makan, fotostate nota,
topup, internet setiap bulan. Banyak weh.” Nedzrish melepaskan keluhan berat.
Bapanya memang sangat berkira apabila dengannya. Kadang-kadang tertekan juga
dirinya dibuatnya.
“Melampau lah bapak kau ni Rish. Tak adil dia buat
kau macam ni.”
“Apa susah, kau pergi lah minta dekat awek
kesayangan kau tu. Dia tu kan kemaruk sangat bercinta dengan kau, mesti dia
bagi punya Rish.” Ujar Nadim sambil tersenyum nakal. Jarinya dihalakan ke arah
Amelda Imani yang sedang duduk di hujung kafe bersama seorang lelaki. Mereka
sedang rancak bersembang.
“Eh tu bukan Mel ke Rish? Lelaki mana pulak dia duk dating tu? Boyfriend baru dia ke?” Soal Haiqal pula. Matanya dan mata Nadim
sedang difokuskan kepada pasangan wanita dan lelaki yang sedang bergelak tawa
itu.
“Kawan sekelas dia kot. Biar lah dia, dia dah
bagitahu dah dekat aku tadi dia nak keluar dengan lelaki.” Ujar Nedzrish tanpa
perasaan.
“Kau tak kisah Rish? Weh kawan apa macam tu, siap
duk cuit-cuit bahu lagi tu. Aku syak mesti ada sesuatu yang berlaku ni.” Nadim
sudah membuat andaian yang bukan-bukan.
“Kau ni sebenarnya sayang ke tidak dekat Mel tu? Aku
tengok macam orang tak sayang girlfriend
je. Kau tak serius langsung dengan Mel tu. Kalau lelaki lain tengok awek keluar
dengan lelaki lain, dah bertumbuk agaknya.” Haiqal semakin pelik dengan sikap
Nedzrish yang seperti tidak kisah melihat kemesraan kekasihnya bersama lelaki
lain.
“Aku nak pesan kat korang satu benda ni, bila kita
bercinta. Jangan nak over sangat.
Takut bercinta bagai nak gila, sayang separuh mampus, tapi akhirnya naik
pelamin dengan orang lain. Sayang tu biarlah sederhana, simpan sayang tu dalam
hati. Tak perlu riak tunjuk kat satu dunia.” Nedzrish mengemas barang-barangnya
lalu disimpan ke dalam beg sandangnya. Dia terus berlalu meninggalkan
kawan-kawannya yang sedang termagu-magu memikirkan kata-katanya sebentar tadi.
Sejujurnya Nedzrish tidak pernah ambil kisah dengan siapa teman wanitanya ingin
berkawan, selagi Amelda tidak lupa siapa dirinya kepada gadis itu. Itu sudah
cukup baginya.
*****
Dato’ Ezzudin sedang leka membaca surat khabar di
laman rumahnya. Angin petang yang begitu mendamaikan membuatkan dirinya tidak
mahu masuk ke dalam rumah. Dia ingin menghabiskan petangnya disitu sahaja
sehingga senja menjelma.
“Abang… Jauh termenung. Baca surat khabar ke
memikirkan sesuatu?” Datin Khalidah menegur suaminya yang sedang termenung
sambil tangan kirinya memegang surat khabar Metro Harian. Dia menatang dulang
berisi sejag air kopi serta semangkuk keropok lekor dan pisang goreng.
“Fikir tentang anak-anak. Awal Idah balik? Kata nak
balik lepas maghrib?” Dato’ Ezzudin menolak kerusi untuk isterinya melabuhkan
duduk. Setahunya tadi isterinya keluar ke rumah sahabat lamanya di Selayang
setelah lama tidak bertemu.
“Tak jadi, Idah rasa tak sedap pulak tinggalkan rumah lama-lama daripada pagi, malam baru balik.
Nanti bila-bila Idah free, Idah pergi
lah melawat Salwa.” Dato’ Ezzudin tersenyum mendengarnya. Dia beruntung mempunyai
seorang isteri yang sentiasa memikirkan tentang keluarga walau apa jua
situasinya. Datin Khalidah juga seorang isteri yang setia mendengar kata-kata
suaminya.
“Kan abang dah cakap abang okay. Bukan nya selalu
awak keluar jumpa kawan-kawan. Apa salahnya.”
“Tak apalah, nanti lainkali boleh jumpa lagi. Minum
bang.” Datin Khalidah menuang perlahan-lahan air kopi yang masih lagi panas
kerana baru sahaja dibancuh ke dalam cawan lalu disua kepada suaminya.
“Dah alang-alang Idah ada sekali ni, abang ada benda
nak bincang dengan Idah.”
“Apa dia abang? Tentang anak-anak kita ke?” Soal
Datin Khalidah dengan perasaan ingin tahu.
“Tentang putera kesayangan awak tu. Rish.” Ujar
Dato’ Ezzudin dengan nada memerli. Sejak dari kecil lagi Nedzrish lebih akrab
dengan mamanya berbanding dengan dirinya sebagai seorang bapa. Peribadi Dato’
Ezzudin yang tegas membuatkan Nedzrish tidak selesa untuk rapat dengan papanya.
“Kenapa dengan Rish? Dia ada buat sesuatu yang
menyakitkan hati abang lagi?” Datin Khalidah sering kali diburu rasa risau
setiap kali suaminya ingin membicarakan tentang hal anaknya yang seorang itu.
Ada sahaja perkara yang tidak berkenan di mata suaminya tentang apa yang
dilakukan oleh Nedzrish Eskandar.
“Anak kesayangan awak tu mana pernah buat saya
tersenyum gembira dengan dia. Selalu buat saya ni naik darah. Ini saya ingat
nak kahwin kan dia dengan anak kawan lama saya.”
“Apa abang? Nak kahwin kan budak Nedzrish tu dengan
pilihan abang? Abang jangan nak memandai-mandai ya, mengamuk Rish kalau dia
tahu nanti.” Awal-awal lagi Datin Khalidah sudah membantah keputusan suaminya.
Dia betul-betul tidak setuju dengan rancangan suaminya kali ini.
“Abang bukan nak tunjuk pandai, tapi abang rasa ini
adalah jalan yang terbaik untuk anak awak yang keras kepala tu. Sekurang-kurangnya
bila dia kahwin nanti, dia dah ada tanggungjawab terhadap keluarga, isteri dan
anak-anak. Saya percaya Rish boleh berubah dengan cara ni.” Dato’ Ezzudin
melepaskan keluhan berat. Benar sangkaannya, isterinya sudah tentu tidak
bersetuju dengan cadangannya. Apa sahaja yang cuba dilakukan untuk Nedzrish
sering kali mendapat tentang daripada si isteri.
“Kenapa abang tak habis-habis nak tentukan hidup
Rish? Daripada soal study, masa depan
dia semua abang yang aturkan. Tak kan lah soal jodoh pun abang nak masuk
campur.”
“Abang nak yang terbaik untuk Rish. Idah, awak ingat
lagi tak dengan Haji Azman kawan abang masa kita muda-muda dulu? Masa tu kita
duduk dekat Seremban. Abang terjumpa dia semalam lepas balik dari pejabat.
Kebetulan yang membawa kepada pertemuan setelah bertahun-tahun tak jumpa. Idah
ingat tak?” Cerita Dato’ Ezzudin ceria. Disentuh lembut tangan isterinya.
Mana boleh lupa. Idah dengan Kak Zie tu rapat macam
adik-beradik. Abang dengan suami dia pulak
selalu main golf sama-sama dulu. Diaorang
tinggal dekat mana sekarang bang?” Datin Khalidah seolah-olah terlupa tentang
perbincangan mereka sebentar tadi. Dia tiba-tiba teringat tentang kisah lama
mereka yang sarat dengan kenangan manis.
“Nanti kalau kita ada masa kita melawat mereka ya,
mereka tinggal di Cheras. Lama abang bersembang dengan dia, Haji Man kan ada
anak tunggal perempuan. Besar panjang dah budak tu. Cantik bukan main lagi.
Abang berkenan dekat budak tu. Abang ingat nak jodohkan dia dengan Rish.” Jelas
Dato’ Ezzudin sambil tersenyum senang.
“Abang tak kenal pun secara dekat dengan anak Haji
Man tu. Dulu budak tu kecil lagi, mana lah kita tahu perangai dia macam mana.
Nak pilih calon isteri ni bukan ambil kira soal cantik je bang, itu semua
perhiasan dunia.” Datin Khalidah tidak mahu suaminya terburu-buru dalam membuat
keputusan kerana suaminya sering kali tersilap dalam membuat sesuatu keputusan
leih-lebih lagi yang melibatkan Nedzrish Eskandar.
“Kalau Idah ada sekali semalam, mesti Idah
sependapat dengan abang. Baik budi pekerti budak tu, abang ni kan susah nak
suka dekat seseorang. Jadi bila hati abang ni dah berkenan walaupun baru
pertama kali jumpa setelah lama terpisah dengan keluarga mereka, abang rasa ni
pilihan yang terbaik.”
“Idah tetap tak setuju abang. Entah-entah budak tu
dah ada calon suami ataupun dah nak kahwin. Jangan lah kita sekat kebebasan
Rish tu. Cukup lah selama ni abang dah buat dia tak suka abang. Idah tak nak
dengan keputusan abang ni buat Rish bertambah benci dekat abang.”
“Abang dah tanya dengan Haji Man, dia kata kalau
boleh dia nak anak perempuan dia cepat-cepat kahwin. Tak ada calon lagi
katanya, abang dah bincang dengan Haji Man soal ni. Haji Man tak ada masalah
apa-apa. Cuma dia belum berbincang dengan isteri dia lagi. Sudah lah Idah,
kalau awak nak fikir tentang kepuasan Rish tu. Sampai bila-bila budak tu tak
akan berubah.” Kata Dato’ Ezzudin lalu dia mengunyah keropok lekor yang dibeli
oleh isterinya tadi.
“Idah yakin Rish tak akan setuju dengan rancangan
abang ni. Budak tu muda lagi lah abang, biar lah dia habiskan belajar dulu. Dah
ada kerjaya, baru lah dia cari calon isteri dia sendiri. Ini soal kebahagiaan
anak kita tu, sanggup ke abang musnahkan kebahagiaan Rish?” Datin Khalidah
tidak pernah jemu menasihati suaminya yang tidak mahu langsung mendengar
pendapat dirinya sebagai isteri.
“Suka atau tidak, Rish tetap kena berkahwin dengan
anak Haji Man. Kalau nak tunggu dia cari calon sendiri, memang sampai kita ni
dah bertongkat dia masih lagi membujang. Nanti kita pergi ke rumah Haji Man
bincang pasal ni.” Dato Ezzudin pantas memutuskan untuk meneruskan rancangannya
meskipun isterinya tidak bersetuju.
“Idah tak tahu lah nak kata apa lagi, daripada A
sampai Z kisah hidup Rish tu abang nak tentukan. Pandai-pandailah abang
bercakap dengan dia soal ni, Idah tak nak masuk campur. Idah memang tak
setuju.”
“Baiklah, kalau Idah tak nak masuk campur Idah duduk
diam-diam. Pandai lah abang nak uruskan budak degil tu. Kalau harapkan dia nak
berubah sendiri, abang berani jamin budak tu tak akan berubah sampai mati sekalipun.
Keras kepala dia tu dah sebati dalam diri dia.” Dato’ Ezzudin segera bangun
dari duduknya dan meninggalkan isterinya yang sedang termenung itu. Dia tahu
tindakannya agak keterlaluan namun dia hanya mahu yang terbaik buat anaknya
itu. Perangai Nedzrish Eskandar terlalu sukar untuk ditangani.
****
Nedzrish menyumpah seranah motor kesayangannya yang
selalu saja menyusahkan dirinya. Kalau bukan kerana sikap papanya yang selalu
dingin dengan dirinya, sudah tentu dia tidak perlu bersusah payah sebegini.
Dato’ Ezzudin langsung tidak bertolak ansur dengan Nedzrish. Nedzrish meminta
papanya membelikannya sebuah kenderaan untuk memudahkannya untuk berulang alik
ke kelas. Namun Dato’ Ezzudin terlalu tegas dengan dirinya, kesudahannya
Nedzrish hanya mampu membeli motorsikal second
hand yang sering saja menyusahkan dirinya.
“Sayang jangan lah buat aku macam ni, aku dah lambat
nak pergi kelas ni. Kenapa masa ni lah kau nak buat perangai!” Nedzrish menguak
kasar rambutnya, jam tangannya dikerling sekilas. Dia tidak mahu terlewat lagi
ke kelas kerana bimbang pensyarahnya akan mengunci pintu kelas.
“Apa bising-bising ni Rish? Sampai ke dalam dengar
suara Rish.” Datin Khalidah keluar mendapatkan anaknya yang sedang duduk
bersimpuh di tepi motorsikalnya.
“Si cabuk ni buat perangai lah mama. Rish dah lambat
nak ke kelas ni.” Nedzrish bangun dan berdiri di sebelah mamanya.
“Tak boleh start
ke?” Soal Datin Khalidah sambil matanya meliar mencari seseorang.
“Kalau boleh start,
tak adalah anak mama ni tersadai dekat sini.” Sudah tahu lagikan mahu bertanya,
gerutu Nedzrish dalam hati.
“Hmm tak apalah kalau macam tu, mama suruh Pak Awie
hantarkan Rish ke kampus.” Datin Khalidah ingin melangkah untuk mencari driver mereka.
“Pak Awie kan hantar papa pergi ofis. Mama nak
keluar ke?” Soal Nedzrish sambil membelek pakaian mamanya seperti mahu keluar
berjalan.
“Aah, mama nak pergi rumah kawan mama sekejap. Mari
lah mama hantarkan Rish sekali. Nanti lewat pulak.” Cadang Datin Khalidah lalu
dia mengeluarkan kunci keretanya dari poket seluarnya.
“Er mama... Boleh tak kalau mama pinjam kan Rish
kereta mama, untuk hari ini je.” Nedzrish memaut lengan mamanya manja, dengan
mama dan kakanya sahaja dia senang berbuat begitu.
“Eh tak apalah, mama hantar kan ajelah Rish ke
kampus. Nanti bila dah habis kelas, Rish call mama.”
“Mama. Mama pun sama macam papa ke? Tak percaya kan
Rish? Rish bukan tak nak mama hantar, tapi Rish ada banyak tempat nak kena
pergi hari ini. Kalau motor Rish tak rosak, tak adalah Rish nak susahkan mama.”
Nedzrish sengaja membuat suara sedih untuk memancing perhatian mamanya. Datin
Khalidah sudah tersenyum mendengarnya.
“Hmm. Mama bukan tak percaya dekat Rish. Tapi kalau
Rish buat kereta mama ni macam kereta racing
macam mana? Bukan mama tak kenal dengan Rish, mana reti bawa kereta elok-elok.”
Datin Khalidah sudah masak benar dengan perangai anaknya. Salah satu sebab
mengapa suaminya enggan memberikan kenderaan kepada Nedzrish kerana sikap
gila-gila anaknya itu ketika memandu. Nedzrish pernah terlibat dalam kemalangan
yang hampir meragut nyawanya dan kenderaan kesayangan papanya hancur remuk.
Sejak dari itu Nedzrish tidak dibenarkan memandu kereta milik keluarganya.
“Mama, tu kan cerita lama. Rish tak buat macam tu
lagi lah mama. Please mama? Kita
bukan kekurangan kereta pun, kalau mama bagi Rish pinjam kereta mama. Mama
boleh drive Mercedes papa tu. Boleh
la ma.” Nedzrish masih lagi giat memujuk mamanya.
“Boleh percaya ke ni?” Datin Khalidah sengaja
bermain tarik-tali dengan anaknya.
“Ma.. Rish dah lambat ni ma… Nanti papa bising lagi
Rish tak pergi kelas.”
“Hm yelah. Janji dengan mama bawa kereta elok-elok?
Jangan buat jalan raya tu macam litar sepang pulak. Mama percaya kan Rish ni.” Datin Khalidah akhirnya mengalah
lalu dihulurkan kunci keretanya kepada Nedzrish. Bersinar-sinar mata anaknya
itu memandang dirinya.
“Yes! Thank
you mama. Rish pergi dulu. Assalamualaikum ma.” Nedzrish Eskandar tunduk
mencium tangan mamanya lalu dikucup lembut kedua belah pipi mamanya. Datin
Khalidah hanya mengangguk kemudiannya.
“Yes! Dapat
pun aku drive kereta mama setelah
sekian lama papa gantung lesen aku. Bawa elok-elok ya, hm memang tak lah nak drive dengan berbudi bahasa. Ini
Nedzrish lah, racer terhebat!
Nedzrish tergelak sendirian lalu dia segera masuk ke dalam perut kereta
mamanya.
*****
Nedzrish menyanyi kecil sambil memandu laju kereta
mamanya. Dia yang sudah lama tidak memandu mana-mana kenderaan merasakan hari
ini adalah hari bertuah buat dirinya. Dia tidak hiraukan hon daripada kenderaan
lain yang turut menggunakan jalan raya pada waktu itu, dia memecut laju
seolah-olah jalan raya itu miliknya seorang sahaja. Tiba-tiba kereta di
hadapannya berhenti secara mengejut, Nedzrish pantas menekan brek sekuat yang
mungkin kerana bimbang berlanggar dengan kereta tersebut.
“Dummmm!” Nedzrish tersentak melihat kereta mamanya
mencium kenderaan yang berhenti secara mengejut tadi. Dia mengeluh panjang
dengan mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah. Lantas pintu kereta dibuka
dengan kasar lalu dia mengatur langkah untuk menemui pemandu kenderaan itu.
Belum sempat Nedzrish mahu mengetuk cermin tingkap
kenderaan itu, si pemilik kereta sudah menurunkan tingkap keretanya tanpa
dipinta.
“Hei, kau fikir ini pertandingan main tekan-tekan
brek ke? Sesuka hati kau je nak berhenti mengejut. Kau tengok, hancur dah bumper kereta aku tu!” Tidak menunggu
lama, Nedzrish terus memuntahkan amarahnya. Si gadis yang berada di dalam
kereta itu hanya memandangnya dengan dahi berkerut.
“Encik ni tak ada budi bahasa ke? Saya nak bagitahu
ya, bukan salah saya sorang je okay!” Amboi sombongnya dia, membalas dengan
wajah yang membuatkan Nedzrish terasa mahu menampar sekuat hatinya sahaja.
“Salah kau, sebab kau bawa kereta guna kepala lutut.
Kalau kau guna kepala otak, tak adalah sampai kereta aku bercium dengan kereta
kau ni!” Terik mentari terus memancar tepat ke wajahnya, dia berdiri
betul-betul di tengah jalan raya. Kedengaran hon bertalu-talu menginginkan
mereka berdua berbincang di tepi jalan kerana pengguna lain mahu menggunakan
jalan raya itu. Nedzrish buat tidak tahu sahaja, dia mahu selesaikan masalahnya
dengan perempuan itu secepat mungkin.
“Encik dengar tak bunyi hon tu? Boleh tak kalau nak
berbincang ke nak bergaduh kita ketepi dulu? Bukan bertekak dekat tengah-tengah
jalan raya ni, malu semua orang tengok.” Gadis itu pantas menaikkan semula
tingkap kenderaannya. Nedzrish mengeluh kasar, dia turut menapak kembali ke
arah Honda Civic milik mamanya.
“Encik, sekarang ni kita dah dekat tepi jalan. Okay,
apa yang Encik tak puas hati sila suarakan.” Gadis bertudung merah hati
bersuaru sejurus dia keluar dari keretanya. Dia mendekati Nedzrish yang sedang
berpeluk tubuh menunggunya turun dari kereta.
“First,
kau dah berhenti secara mengejut. Second,
kau dah menyusahkan aku sebab kerosakan kereta aku tu bukan sikit punya duit. Third, kau nampak kan traffic light tu dah bertukar ke warna merah. Kenapa tak bersedia untuk berhenti?”
“Masa saya tengah drive tadi, traffic light
tu baru je bertukar ke warna kuning. So
bukan salah saya. Kalau saya tak brek tadi, saya dah dikira menyalahi
undang-undang. Sebab lampu tu dah merah.” Gadis itu tidak mahu mengalah,
Nedzrish merenung tajam wanita itu yang sedang membuang pandang ke arah lain.
“Wowowowoo... Sesuka rasa kau je kan cakap kau tak
salah? Kalau kau tak tekan brek mengejut tadi, tak adalah kita tersadai dekat
tepi ni macam orang tak ada hala tuju. Ini mesti kau tak lepas ujian memandu
kan? Lesen pun mesti lesen beli, itu pasal traffic
light pun tak lepas.” Kutuk Nedzrish selamba. Walhal dia tidak mengenali
langsung wanita di hadapannya itu. Namun dek kerana dia tidak mahu mengaku
silapnya sendiri yang memandu laju, dia terus-terusan menyalahai perempuan itu.
“Eh dia ni, melampau-lampau nampak? Saya ada lesen
lah, halal lagi tu. Bukan nya lesen beli. Yang awak ni teringin nak jadi racer ke? Sedar tak kita ni dekat atas
jalan raya bukan dekat litar? Kalau awak tak bawa kereta macam orang gila tadi,
kita tak accident lah!”
“No no.
Yang salah tu engkau sebenarnya. Kalau aku bawa laju sekalipun, aku tak akan langgar
kereta depan aku, tapi disebabkan adanya pengguna jalan raya yang otak tiga
suku macam kau ni. Inilah salah satu punca kemalangan jalan raya. Kau lah salah
satu penyumbangnya.” Gadis itu terlopong mendengar celoteh panjang lebar lelaki
yang tidak dikenalinya itu. Apa benda mamat ni duk merepek erk? Sakit jiwa kot!
“Apa yang awak merepek ni?!” Soalnya sedikit kuat,
tipis juga kesabarannya berhadapan dengan manusia sebegini rupa.
“Fact,
perempuan kalau bawa kereta memang failed.
Apa nama kau?”
“Habis tu lelaki bawa kereta macam lah bagus sangat.
Ini bukan soal lelaki perempuan tau. Ini soal attitude diri sendiri yang menjengkelkan.” Dia tidak mengendahkan
soalan lelaki itu sebaliknya dia membalas kata-kata sindiran lelaki itu.
“Panjang nya nama kau. Nak panggil mana satu ni?”
Nedzrish menyoal sambil tersenyum sinis.
“Banyak mulut pulak minah ni, macam
mak nenek”. Desisnya dalam hati.
“Tu bukan nama saya lah! Nama saya Qa..
“Okay Cik Qamariah. Kau dengar baik-baik apa aku nak
cakap.” Nedzrish pantas memotong. Dia mengerling sekilas jam tangannya yang
sudah menunjukkan jam 10pagi. Dia hampir saja terlewat ke kelas jikalau semakin
lama dia disini.
“Siapa pulak
Qamariah ni? Nama saya bukan Qamariah lah!” Merah padam wajah wanita di hadapan
Nedzrish. Sesuka hati sahaja mengubah nama orang. Alahai Nedzrish!
“Miss
whatever, kau dah langgar kereta aku. So
now aku tak nak bawa hal ni ketengah ke, kelaut ataupun ke timur. Aku nak
selesaikan dekat sini. Bayar, lepas tu settle.”
Ujar Nedzrish serius.
“What???!
Bayar? Hello! Awak pun ada salah juga
okay, kita sama-sama salah. Awak tak ada hak nak nak suruh saya bayar. Ini
semua punca dari awak lah!” Terbuntang biji mata gadis itu mendengar kata-kata
yang baru sahaja meluncur dari mulut Nedzrish.
“Kenapa? Tak kan pakai kereta Nissan Teana tak ada
duit nak bayar kot? Mintak je lah dekat bapak kau, settle masalah. Yang salah tu kau ya, Cik Qamariah.” Nedzrish
sengaja menyindir wanita itu bersama wajah masam mencuka. Bertambah sakit hati
gadis itu melihatnya.
“Amboi awak ni memang mulut tak ada insurans kan?
Makan apa lah agaknya, mulut tak tapis langsung!”
“Bayar ataupun aku jerit dekat sini, kau perempuan
simpanan aku. Mana kau nak? Ataupun aku boleh hon kuat-kuat sampai ganggu
pengguna jalan raya ni. You choose.”
Nedzrish memberinya kata putus.
“Macam lah berani.” Kata-kata cabaran daripada gdis
itu disambut dengan gelak kecil daripada Nedzrish. Dia pantas mengatur langkah
kembali ke keretanya lalu dengan sekuat hati dia menekan hon berkali-kali.
“Okay okay stop!
Saya bayar! Stop!”Akhirnya Nedzrish
tersenyum kemenangan. Wanita itu mengeluarkan sesuatu daripada beg tangannya.
Dengan wajah yang tiada secalit senyuman, dia meghulurkan beberapa keping wang
tunai RM100.
“How much?”
Soal Nedzrish tanpa mengambil huluran wang tunai itu. Sekali lagi gadis itu
tergamam dengan keangkuhan lelaki itu.
“RM 3000 cash.
Apa ingat saya tak ada duit ke? Kira lah kalau tak percaya.” Balas gadis itu
sambil menghadiahkan jelingan tajam kepada Nedzrish.
“Thank you so
much, miss Qamariah. Lepas ni ambil kelas memandu lagi sekali ya? Supaya
tak berhenti mengejut macam budak tak pernah drive. Have a nice day!” Nedzrish tersenyum puas hati sambil
menayangkan wang tunai yang sudah berada di tangannya ke muka gadis itu. Dia
terus berlalu ke arah Honda Civic mamanya. Gadis itu memandang pemergian
Nedzrish dengan pandangan mata seperti hendak mencekik-cekik lelaki itu. Dia
segera masuk ke dalam kenderaannya dengan hati yang sebal!