Nedzrish Eskandar sedang duduk berehat di tepi kolam
renang rumahnya. Sudah seminggu lebih dia tidak bertemu dengan kekasih hatinya,
Amelda Imani. Berkali-kali gadis itu cuba untuk menghubunginya namun dia buat
tidak tahu sahaja. Jauh di sudut hatinya dia tidak berniat untuk menjauhkan
diri daripada gadis itu namun perasaan bersalah bersarang di dalam dirinya.
“Hoi! Termenung apa tu!” Sergah satu suara dari arah
belakang mematikan lamunan Nedzrish Eskandar. Dia berpaling memandang kakaknya
yang sedang tersengih-sengih lalu dengan selamba Syaqilah mengambil tempat di
sisi Nedzrish.
“Apahal kau ni kak main sergah-sergah aku.” Marah
Nedzrish bersama jelingan tajam. Dia yang mahu bersendirian merasakan kehadiran
kakanya itu menganggu dirinya.
“Yang Rish beria nak marah Syaq ni kenapa?”
“Sebab kau kacau mood
aku. Aku tengah tak ada rasa nak bercakap dengan orang ni Syaq.” Balas Nedzrish
keras. Syaqilah mengeluh melihat sikap adiknya yang semakin berubah dari sehari
ke sehari. Nedzrish lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap dengan
dirinya. Perubahan drastik Nedzrish dek kerana keputusan papanya membuatkan Syaqilah
terasa seolah-olah Nedzrish hilang dari pandangan matanya.
“Relaks lah dik oi…. Papa baru suruh kau kahwin,
bukan nya papa paksa kau buat bukan-bukan. Cuba terima setiap apa yang orang
tentukan untuk kau tu sebagai satu benda yang positif.” Ujar Syaqilah lembut.
“Senang gila kan kau cakap kak? Sebab tak kena
batang hidung kau, boleh lah kau sembang macam tak ada apa yang berlaku.” Ujar
Nedzrish kasar. Dia cukup menyampah apabila setiap kali hal perkahwinannya
dibangkitkan. Dia boleh naik hantu secara tiba-tiba.
“Rish ni cepat emosi lah. Tak penat ke asyik nak
fikir negatif je? Sekali sekala Rish kena ambil sesuatu dugaan tu sebagai
cabaran. Kata anak lelaki, hati mestilah kental bro.”
“Aku tak tahulah sejak bila Syaq yang aku kenal tak
faham aku. Kau pun sama macam papa kan? Sengaja nak tengok hidup aku
terumbang-ambing kan? Baru semua orang dalam rumah ni puas hati!” Sengaja dia
menekan suaranya supaya orang lain boleh dengar. Syaqilah memberi isyarat
kepadanya supaya memperlahankan suara kerana hari sudah lewat malam.
“Biar semua orang dengar, biar papa tu tahu aku tak
pernah setuju dengan apa yang dia buat untuk aku.” Tambah Nedzrish lagi.
“Syaq bukan nak sebelahkan papa. Syaq tahu apa yang
Rish rasa sekarang. Dalam diri Rish tu penuh dengan perasaan marah, sakit hati,
benci, menyampah. Semua ada kan? Sebab tu Syaq cakap, Rish kena belajar cool. Lagi Rish fikir tentang masalah
ni, lagilah kepala Rish berserabut.” Syaqilah menepuk lembut bahu Nedzrish cuba
memberi adik lelakinya kekuatan.
“Syaq, aku terpaksa kecewakan seorang perempuan yang
dah 3tahun kejar aku. Bukan main susah lagi dia nak dapat kan aku,
senang-senang je papa hancurkan perasaan dia. Kau faham tak sekarang ni? Bukan
hati aku je yang papa hancurkan, tapi hati Mel. Girlfriend aku.” Ujar Nedzrish meluahkan rasa hati.
“Amelda Imani ke? Yang Rish pernah cerita dekat Syaq
dulu?” Syaqilah cuba mengingati sebaris nama perempuan yang diceritakan oleh
Nedzrish.
“Ingatan kau boleh tahan kuat eh kak, yelah. Amelda
Imani. Aku sayang dia Syaq, walaupun selama ni aku macam tak kisah je pasal
dia. Tapi sebenarnya aku sayang dekat dia sampai aku tak tahu nak berhadapan
dengan dia lagi bila benda ni berlaku.” Nedzrish panggung kepala, dia
benar-benar kusut saat itu.
“Mesti lah ingat, kan pernah terserempak dengan kau
orang masa kau orang dating. Hmm, nak
buat macam mana Rish. Dah itu keputusan papa, Syaq percaya Mel boleh terima
semua ni kan? Kalau dia betul-betul cinta kan Rish, dia akan mengalah demi
kebahagiaan Rish.”
“She’s a strong
girl. Kalau Rish ada dekat tempat dia, Rish tak rasa yang Rish boleh terima
semua ni dengan tenang.” Ujar Nedzrish seraya melepaskan helaan nafas berat.
“Dia tahu tentang ni?”
“Tahu. Rish dah cerita dekat dia masa Rish lari dari
rumah tu. Rish tak pernah tengok Mel menangis teruk macam tu selama kitaorang
berkenalan. Entah lah Syaq, kusut kepala Rish ni.”
“Biar Syaq jelaskan dekat dia, yang semua ni
bukannya kehendak Rish. Syaq tak nak nanti dia salah kan Rish. Sedangkan Rish
pun turut terluka dengan semua ni.” Ujar Syaqilah memberi cadangan.
“Tak payah lah Syaq. Dia tahu bukan Rish yang nak
kahwin dengan perempuan tu, ini semua sebab terpaksa. Dia faham situasi ni,
tapi yang Rish kesalkan impian kitaorang nak hidup bersama dah hancur musnah.”
Cerita Nedzrish lalu dia tersandar lesu ke belakang.
“Rish, nak lepaskan seseorang yang dah lama ada
dalam hati kita bukan sesuatu yang senang. Syaq faham apa yang Rish rasakan
sekarang ni. Tapi percaya lah cakap Syaq ni dik, kalau Rish ikhlaskan diri Rish
untuk terima perubahan baru dalam hidup Rish. InsyaALLAH semuanya akan berjalan
dengan lancar.”
“Macam mana dengan Mel?”
“Rish sendiri cakap dia tahu semua ni bukan atas
kerelaan hati Rish. Dia tak ada sebab nak salahkan Rish sebab putuskan hubungan
cinta kalian berdua. Lambat laun dia boleh terima semua ni. Rish bagi dia masa
ya?” Lembut kedengaran suara Syaqilah menasihati adiknya yang kelihatan kusut
itu.
“Hopefully
dia boleh hadapi semua ni dengan tabah. Pray
for us kak.” Ujar Nedzrish lemah.
“Rish jangan lah fikirkan sangat tentang tu, lebih
baik Rish fokus untuk sesuatu yang memang Rish perlu berhadapan dengannya.
Perkahwinan ni memang pada awalnya terpaksa, tapi mana tahu dengan keterpaksaan
nanti akan membawa kepada kebahagiaan.” Ujar Syaqilah cuba untuk memujuk hati
adiknya yang kelihatan resah.
“Rish masuk dalam dulu lah, rasa penat pulak badan
ni petang tadi kehulur kehilir. Goodnight
Syaq.” Nedzrish meminta diri untuk masuk ke dalam rumah, Syaqilah hanya
mengangguk sambil tersenyum.
******
“You pergi mana? I call you sampai masuk voicemail.
I pergi tempat you selalu lepak pun you tak ada. You kemana?” Amelda Imani
memuntahkan pertanyaan demi pertanyaan sejurus Nedzrish tiba di rumahnya petang
itu.
“Kalau ye pun you rindu I, tak boleh ke ajak masuk dalam rumah dulu?”
Balas Nedzrish selamba seperti tiada apa yang berlaku.
“Tak boleh. Rumah I tak ada orang. Cakap dekat luar
je.” Balas Amelda Imani kasar.
“Oh, kalau macam tu jom lah kita lepak tempat biasa.
Boleh sembang panjang lebar sambil minum teh tarik.” Ujar Nedzrish bersama
senyuman nipis.
“Tak ada masa lah nak pergi lepak dekat kedai! I nak
dengar penjelasan you sekarang jugak. Cukup-cukup lah selama ni you mengelak
dari I Rish.” Wajahnya sudah membahang menahan marah. Dia amat merindui lelaki
itu, namun sakit hati yang masih bersisa kerana Nedzrish meninggalkannya tanpa
khabar berita membuatkan dirinya bertindak garang.
“Amboi garang nya dia. Makan apa lah masa
kecil-kecil ni, dah besar macam singa.” Ujar Nedzrish sambil tersengih-sengih.
“Rish! You jangan sampai I hilang sabar tau dengan
perangai you ni!”
“Gurau sikit pun tak boleh. Yelah-yelah. You nak
suruh I jelaskan apa?” Nedzrish menarik kerusi plastik yang terdapat di laman
rumah gadis itu. Amelda Imani turut mengikut perbuatan teman lelakinya itu.
“Kenapa you lari daripada I? I ada buat salah ke
dengan you?”
“You tak ada buat salah apa-apa pun dengan I Mel. I
bukan sengaja nak larikan diri dari you, tapi I rasa I ni jahat sangat sebab
kecewakan you. Sebab tu I rasa kita dah tak perlu jumpa lagi dah. I tahu
fikiran I macam budak-budak, sorry
Mel.” Tutur Nedzrish serius. Dia merenung sepasang anak mata yang sering kali
menyapa pandangannya selama ini, yang sering kali membuatkan hatinya
berdebar-debar.
“Boleh tak lain kali sebelum you nak buat sesuatu,
you bincang dulu dengan I? Bukan nya buat keputusan sendiri macam ni. I sendiri
tak tahu apa salah I. You buat I tertanya-tanya selama you menghilang ni.” Luah
Amelda Imani bersungguh-sungguh. Dia mahu Nedzrish tahu betapa dalamnya
cintanya buat lelaki itu.
“You tercari-cari I ke?”
“Mesti lah! You kan boyfriend I! Selama ni you tak pernah senyap macam ni pun, mana I
tak pelik. Lepas ni jangan buat macam ni lagi tau?”
“Lepas ni I dah jadi husband orang dah Mel..” Tutur Nedzrish lemah. Dia runsing setiap
kali teringat bahawa dirinya bakal memikul tanggungjawab besar itu tidak lama
lagi.
“Tapi you tetap boyfriend
I kan Rish?” Amelda Imani memegang erat tangan Nedzrish mahukan kepastian.
“Forever
and always, sweetheart.”
“I nak you janji something
dengan I, walaupun you dah kahwin dan dah ada tanggungjawab dekat wife you nanti. I nak hubungan kita
masih macam dulu, I tak nak sebarang perubahan pun. Boleh tak? I tak kisah you
ni suami orang sekalipun, yang penting I dapat you dulu sebelum perempuan tu
dapat you.” Amelda Imani menguak lembut rambut Nedzrish yang sudah terjuntai ke
dahinya. Ditatap penuh sayang wajah yang putih kemerah-merahan itu.
“You ingat I ni kemaruk sangat ke nak kahwin dengan
perempuan tu? Of course boleh sayang!
I cuma ada seorang perempuan yang I sayang selain dari family I. I nak you jadi wife
I walau macam mana sekalipun. I akan jadikan impian you kenyataan.”
“Promise?”
“Promise!
You boleh pegang kata-kata I ni sampai mati.” Ujar Nedzrish penuh yakin.
“You nak I datang tak nanti majlis akad nikah you?”
Tiba-tiba soalan itu terpacul keluar dari mulut Amelda Imani. Nedzrish
tersentak lalu dia segera menggelengkan kepalanya.
“Untuk apa? Untuk tengok air mata you jatuh depan
mata I? No, kau duduk rumah
diam-diam. Nanti habis je majlis tu aku datang rumah bawa kau jalan-jalan naik
motor.”
“Janji dengan I, perempuan lain tak boleh naik motor
cabuk you tu?”
“Janji lah, kau sorang je yang kemaruk sangat nak
naik besi buruk aku tu. Sebab tu aku sayang kau, kepala kau masuk air macam
aku.” Balas Nedzrish seraya tersengih. Amelda Imani adalah jiwanya, gadis itu
seolah-olah memahami setiap tingkah lakunya yang gila-gila dan sempoi itu. Dia
merasakan tidak ada perempuan lain yang boleh menggantikan tempat gadis itu di
hatinya.
“Jom masuk, I ada buat kan cake untuk you.”
“Eh, tadi kau kata rumah kau tak ada orang? Ha, mana
satu ni?” Soal Nedzrish seraya mengangkat kedua-dua belah keningnya.
“Hahaha.. Padan lah muka kau siapa suruh lurus
sangat!” Balas Amelda Imani sambil ketawa besar. Lalu dia segera masuk ke dalam
rumahnya.
“Sengal punya perempuan! Siap kau Mel!” Jerit
Nedzrish nyaring lalu dia turut mengikut langkah kaki gadis itu.
*****
Dia mengelap peluh yang sudah memenuhi sebahagian
wajahnya. Tangannya juga berpeluh-peluh seolah-olah baru sudah berlari mengelilingi
stadium sahaja lagaknya. Tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis pernikahan
pagi itu sudah mengambil tempat masing masing. Nedzrish menanggalkan songkok di
kepalanya. Penghawa dingin yang dipasang tidak terasa langsung. Sebaliknya dia
merasakan kepanasan yang tidak terkata.
“Kamu ni sihat ke tidak? Kenapa berpeluh-peluh aje
ni Rish?” Soal Haji Azman aneh melihat bakal menantunya yang tidak senang duduk
itu. Dia yang sudah bersedia untuk berjabat tangan dengan Nedzrish bagi
memulakan majlis itu terkesima sebentar.
“Er. Rish okay. Rasa macam nak pergi toilet lah pulak.” Balas Nedzrish bersama wajah yang sudah berkerut seribu.
“Eh, tadi kan kamu dah ke bilik air? Majlis nak mula
dah ni Rish.”
“Rish nak betul kan rambut sekejap. Rish rasa rambut
Rish macam kena patuk ular je.” Jawab Nedzrish sambil tersengih-sengih.
Sebenarnya bukan itu yang dia mahu katakan, kalua boleh dia mahu pergi sejauh
mungkin. Dia tidak rela untuk bernikah dengan perempuan selain Amelda Imani.
Mindanya tertumpu pada gadis itu sedari tadi.
“Kamu ni buat abah risau saja lah. Rambut kamu tu
dah elok dah duduk atas kepala kamu tu. Dah, tak elok melengahkan majlis.”
Bantah Haji Azman bersama wajah serius. Nedzrish hanya menurut tanpa mampu
membalas apa-apa.
“Nedzrish Eskandar Bin Dato’ Ezzudin.”
“Saya.” Jawabnya lemah. Dia merasakan tangan kananya
sedang menggeletar hebat. Haji Azman hanya beriak selamba tanpa mengendahkan
wajah Nedzrish yang masam mencuka itu.
“Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku, Qalish
Audrina Binti Azman dengan mas kahwinnya senaskah Al-Quran, dibayar tunai.”
“Aku.. Aku.. Aku terima Qalish sebagai orang gajiku.”
Balas Nedzrish gugup. Semua hadirin yang hadir sudah terpinga-pinga mendengar
ayat yang baru sahaja dituturkan oleh pengantin lelaki. Qalish Audrina di
belakang sudah menepuk dahi. Merah padam wajahnya mendengar bakal suaminya
sesuka hati mahu dia menjadi orang gajinya.
“Apa kamu merepek ni Rish?” Soal Dato’ Ezzudin
lantang.
“Er. Rish tak sengaja pa. Gugup. First time kan..” Balas Nedzrish cuba
meraih simpati. Ayat yang spontan keluar dari bibirnya itu langsung tidak dijangka
oleh dirinya sendiri. Semuanya berlaku secara spontan.
“Tak apa, kita buat sekali lagi ya?” Haji Azman
mencelah apabila dilihat Dato’ Ezzudin seperti mahu memarahi Nedzrish. Dia tidak
mahu majlis itu menjadi kecoh pula.
“Nedzrish Eskandar Bin Dato’ Ezzudin.”
“Saya.” Kali ini suaranya agak bertenaga dan tidak
lemah seperti tadi. Wajah cemberut papanya dipandang gerun. Kalau dia buat
perangai, mahu papanya mengamuk sepuluh tahun pun tidak mungkin akan habis
marahnya.
“Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku, Qalish
Audrina Binti Azman dengan mas kahwinnya senaskah Al-Quran, dibayar tunai.”
“Aku terima nikahnya, Qalish Audrina Binti Azman
dengan mas kahwinnya senaskah Al-Quran dibayar tunai.” Dia menarik nafas lega
kerana berjaya juga melafazkan lafaz akad nikah. Kedengaran saksi-saksi yang hadir
menjawab “sah”.
Qalish Audrina hanya tersenyum tawar saat matanya
bertaut pada wajah lelaki yang sudah sah bergelar kepada suaminya. Nedzrish
bersimpuh di hadapan wanita itu dengan wajah kosong tanpa secalit senyuman.
Saat itu, tidak ada secebis cinta yang mekar di hati mereka. Mereka bernikah
semata-mata memenuhi permintaan kedua-dua belah keluarga sahaja. Dengan
teragak-agak, Nedzrish menyarungkan cincin ke jari manis isterinya. Qalish Audrina
pula hanya menundukkan wajahnya, satu perasaan asing singgah bertamu dalam
hatinya saat itu. Dengan tangan yang terketar-ketar dia menyalami tangan kanan
Nedzrish lalu dikucup perlahan. Nedzrish cepat-cepat melarikan tangannya
apabila Qalish selesai mengucupnya sekejap. Seketika kemudian, jurukamera yang
diupah khas untuk majlis pernikahan mereka pada hari itu mula menjalankan
tugas. Permintaan daripada jurukamera yang menyuruh Nedzrish tunduk untuk
menghadiahkan kucupan ke dahi si isteri dilakukan dengan penuh terpaksa. Qalish
Audrina juga kelihatan kekok saat bibir itu mendarat ke dahinya. Saat tangan
lelaki itu menyentuh pinggangnya, Qalish menghadiahkan jelingan kepada si
suami. Nedzrish pula membalas dengan menjuihkan bibirnya. Dia hanya menurut
permintaan jurukamera yang sudah dibayar untuk menjalankan tugas, kalau tidak,
jangan harap lah dia mahu bersentuhan dengan wanita itu.