“Apa???! Kahwin? Papa ni dah buang tebiat ke pa?”
Jeritan kuat daripada Nedzrish memeranjatkan kedua ibu bapanya. Sebentar tadi
Dato’ Ezzudin memberitahu tentang perkahwinannya dengan anak kepada sahabat
lamanya, Qalish yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Wajah Nedzrish jelas
berubah selepas bapanya memberitahu perkara yang tidak pernah langsung dia
terfikir selama ini.
“Buang tebiat apanya Rish. Kan bagus mendirikan
masjid, apa yang tak elok nya.” Balas Dato’ Ezzudin bersahaja. Dia sudah dapat
mengagak respon sebegitu yang bakal diterimanya namun dia buat tidak tahu
sahaja. Dia tetap mahukan Nedzrish berkahwin dengan gadis pilihannya.
“Memang bagus. Yang tak bagus nya sebab papa menyemak
campur tangan. Apa masalah papa ni tiba-tiba nak suruh Rish kahwin? Rish
belajar pun tak habis lagi lah pa. Tak payah lah nak sibuk tentukan dengan
siapa Rish kena kahwin.” Nedzrish menguak kasar rambutnya yang sudah disikat
kemas. Dia tidak menyangka sekali lagi bapanya akan campur tangan dalam hal
peribadinya.
“Zaman sekarang ni kahwin tak ikut usia. Berapa
ramai budak-budak yang masih lagi belajar dah melangkah ke alam perkahwinan.
Pada papa itu bukan menjadi satu masalah besar.”
“Memang lah bukan masalah besar, sebab dalam kepala
otak papa tu tak habis-habis nak menyusahkan hidup Rish. Daripada Rish kecil
sampai Rish dah besar panjang, papa tak pernah bagi peluang untuk Rish tentukan
hidup Rish sendiri. Papa kejam!” Bentak Nedzrish sekuat hati. Datin Khalidah
sebak melihat anaknya tertekan di usia muda dengan keputusan terburu-buru yang
dibuat oleh suaminya.
“Rish. Papa buat semua ni untuk kebaikan Rish. Papa
tak pernah terfikir nak hancurkan hidup Rish. Rish anak papa, tak kan lah papa
sanggup buat macam tu dekat anak kandung papa.” Ujar Dato’ Ezzudin
bersungguh-sungguh. Dia bukan tidak sedar kadangkala tindakannya sudah
melampaui batas, namun dia tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk mengubah
sikap Nedzrish yang menggusarkan hatinya hari demi hari.
“Daripada dulu sampai sekarang, setiap apa pun
paksaan daripada papa mesti papa akan cakap ini semua demi kebaikan Rish. Tapi
Rish tak pernah nampak pun yang selama ni papa layan Rish macam anak sendiri.
Rish ni tak ubah seperti sampah di mata papa!” Nedzrish meluahkan segala
kekecewaan yang terbuku di hatinya selama ini. Wajah serius bapanya dipandang
dengan penuh rasa benci.
“Sekarang ni memang Rish akan salah kan papa.
Mungkin perasaan benci yang memang ada dalam diri Rish terhadap papa semakin
membuak-buak. Tapi papa yakin, kebahagiaan yang papa nak tengok dalam hidup
Rish adalah dengan perkahwinan ni. Papa tak nak tengok Rish jadi manusia yang
tak bertanggungjawab.” Ujar Dato’ Ezzudin tegas. Datin Khalidah disebelahnya
hanya menjadi pemerhati perbincangan dua beranak ini. Dia tidak berani ingin
bersuara kerana bimbang Nedzrish akan berfikir dia juga turut bersetuju dengan
rancangan suaminya.
“Exactly
pa. I hate you so much. So much!”
Jerit Nedzrish lantang dengan matanya sudah kemerah merahan menahan marah. Dato’
Ezzudin tidak pernah memberinya peluang untuk hidup seperti orang lain. Hatinya
merintih sayu apabila sekali lagi papanya masuk campur dalam urusan
kehidupannya.
“Terserah lah Rish nak cakap apa pun. Sikit pun
kata-kata Rish tak menjadi kudis bagi papa. Keputusan papa tetap sama dan tak
akan berubah. Papa akan hantar rombongan meminang secepat mungkin. Papa harap
Rish bersedia memikul tangggungjawab sebagai seorang suami.” Dato’ Ezzudin
menuturkan kata-kata yang mengguris hati anaknya.
“Papa ni dah kenapa ha? Papa ingat Rish ni robot ke
papa boleh arah ikut suka hati papa? Apa anak kawan papa tu dah kemaruk sangat
nak berlaki ke sampai Rish yang masih lagi belajar ni terpaksa kahwin dengan
dia? Nak suruh Rish jadi pak sanggup ke?!”
“Kau jangan kurang ajar Rish!” Dato’ Ezzudin yang
tadinya tenang sudah berubah intonasi. Dia berang mendengar ayat yang
dituturkan oleh Nedzrish. Dia menganggap Nedzrish sudah melampaui batas dalam
menuturkan kata-kata.
“Rish jadi macam ni sebab papa. Sebab Rish ada
seorang papa yang sebenarnya tak layak langsung nak dipanggil papa. Seorang
papa yang kaya raya, tapi sanggup biarkan anak dia hidup susah payah depan mata
dia. Seorang papa yang sanggup hancurkan hidup anak dia sendiri. Seorang ayah
tak akan sanggup tengok anak dia menderita. Tapi papa adalah manusia yang tak
ada hati dan perasaan!” Sesudah meluahkan rasa hatinya dengan lantangnya,
sebuah tamparan hinggap di pipi kirinya. Nedzrish tergamam namun dengan berani
dia menatap wajah papanya yang sedang memandang tajam ke arahnya.
“Terima kasih untuk ni. Dato’ memang seorang papa
yang terbaik dalam dunia ni!” Nedzrish segera berlalu meninggalkan ruang tamu
rumah mewah itu sesudah menyudahkan kata-kata perliannya yang terakhir. Dato’
Ezzudin seakan-akan terkesima mendengar Nedzrish menggelarkan dirinya “Dato’”.
Seingatnya selama ini meskipun Nedzrish marah kepadanya tidak pernah sekalipun
anak bongsunya itu menggelarkan dirinya dengan panggilan itu. Dato’ Ezzudin
terduduk lemah di atas sofa. Datin Khalidah turut terkesima melihat adegan
pertengkaran hebat dua beranak yang berlaku di depan matanya. Tangannya
mengusap lembut belakang badan suaminya cuba untuk menenangkan si suami.
*****
Amelda Imani melepaskan keluhan berat setelah dia
mendengar masalah yang sedang dihadapi oleh teman lelakinya. Selepas bertengkar
dengan papanya, Nedzrish segera menemui Amelda Imani di rumahnya dan membawa
gadis itu keluar. Gerai tepi jalan menjadi destinasi mereka pada malam itu.
“You dengar tak Mel? I akan berkahwin. I kena paksa
Mel. I tak nak.” Nedzrish memandang wajah Amelda Imani yang masih beriak tenang
dengan matanya sedikit berair.
“I tahu Rish… Tak lama lagi teman lelaki yang I
cinta selama 3 tahun ni akan jadi suami orang.” Tutur Amelda Imani sayu. Dia
turut terkesan dengan keputusan yang telah dibuat oleh bapa Nedzrish. Dia
bagaikan tidak percaya tentang apa yang baru sahaja diturutkan oleh Nedzrish.
Dua hari lepas mereka baru sahaja menghabiskan masa bersama-sama sehingga lewat
pagi. Cepat sungguh masa berlalu, hari ini dia merasakan dunianya seperti kelam
tidak bercahaya. Dia tidak sanggup untuk melepaskan lelaki yang dia cintai
sepenuh hatinya.
“I tak nak pun Mel. I tak pernah terfikir pun nak
mengkhianati kesetiaan you dengan I selama ni. I tak kenal langsung perempuan
tu. Ini semua plan bodoh papa I.” Nedzrish merenung wajah comel Amelda Imani
yang selama ini setia disisinya. Dia merasakan saat ini tuhan mahu menduga
betapa dalamnya cintanya kepada gadis itu.
“Tipu lah kalau I cakap I tak sedih dengan semua ni.
I rasa macam benda ni berlaku cepat sangat, I tak puas lagi mencintai you Rish.
I tak nak lepas kan you pergi ke tangan perempuan lain. I nak bahagia dengan
you.” Nedzrish turut sebak mendengar kata-kata ikhlas yang terluah dari bibir
mungil itu. Tanpa dia sedari dia menyeka perlahan air mata yang mengalir di
pipi gadis itu dengan tangan kanannya.
“Jangan nangis untuk I. I tak nak air mata kecewa
you mengalir lagi untuk I. I tak suka tengok you sedih macam ni Mel. Selama you
dengan I. I tak pernah pun tengok you menangis macam ni. So please..” Nedzrish merayu lembut sambil tangan kekarnya mengelus
lembut pipi Amelda Imani demi untuk memujuk gadis itu.
“I tak kecewa dengan you Rish. I tahu you turut
terluka dengan keputusan ni. I harap kita sama-sama kuat hadapi dugaan ni. Tuhan
nak uji sejauh mana teguhnya cinta antara kita.” Ujar Amelda Imani bersama
senyuman tawar terukir di bibirnya.
“I baru sedar yang selama ni I sayang sangat dekat
you Mel. I cinta kan you seluhur hati I. I sedar satu perkara ni, iaitu I takut
untuk kehilangan you.” Nedzrish benar-benar memaksudkan apa yang terlahir dari
kata hatinya. Ya, dia sangat mencintai Amelda Imani meskipun selama ini dia
tidak pernah bersungguh-sungguh melahirkan cintanya kepada gadis itu.
“I tahu you sayang kan I Rish. I tak pernah ambil
hati setiap kali you layan I kasar, sebab I tahu you tak maksudkan apa-apa
pun.”
“I tak nak kahwin dengan dia Mel. Sumpah I cakap, I
hanya akan berkahwin dengan perempuan idaman I selama ni. Perempuan tu adalah
you, Amelda.” Nedzrish memaut lembut dagu Amelda Imani dan gadis itu mendongak
memandangnya. Mata gadis itu masih lagi penuh dengan air mata yang masih
bersisa.
“Tapi you tetap tak ada pilihan untuk menolak
keputusan papa you. Rish, teguh mana pun kesetiaan dan kasih sayang I pada you,
kalau sudah ditakdirkan jodoh kita bukan sampai ke jinjang pelamin. I tak mampu
nak buat apa-apa Rish.” Amelda Imani tersentuh melihat air mata jernih yang
turut mengalir lesu di pipi lelaki itu. Dia tersentuh mendengar kata-kata yang
lahir dari hati lelaki itu. Dia tahu lelaki itu sedang berperang dengan
perasaannya sendiri. Dia turut terluka dengan keputusan drastik papa Nedzrish.
“Kita kahwin Mel. I tak sanggup nak tengok you
terluka. You kejar I selama 3tahun, lepas tu senang-senang je I kahwin dengan
orang lain. I tak dapat bayangkan macam mana hancurnya perasaan you.” Nedzrish
meraih jari jemari Amelda Imani lalu dikucup penuh kasih.
“Rish.. Kalau perkahwinan ni satu perkara yang
kecil, I tak ada masalah. Tapi ni bukan hanya melibatkan perasaan kita, kita perlu
fikirkan tentang perasaan keluarga kita. Apalah ertinya sebuah perkahwinan
tanpa restu keluarga.”
“Habis tu you sanggup nak tengok lelaki yang you
sayang dimiliki oleh perempuan lain? Tak apalah Mel kalau you tak nak
pertahankan cinta kita. I rasa macam selama ni I bertepuk sebelah tangan lah pulak.” Nedzrish memalingkan wajahnya
dari menghadap wajah Amelda Imani yang tidak berkedip memandangnya.
“Rish, you jangan lah salah faham. I bukan tak nak
ikut cadangan you, tapi I fikir tentang family
you. I tak nak hanya kerana you nak pertahankan hubungan kita, you kecewakan
hati papa you.Walau teruk macam mana sekalipun dia tetap papa you Rish.” Amelda
Imani tidak berniat untuk mengeruhkan lagi keadaan. Dia tidak mahu Nedzrish
disisihkan oleh keluarganya sendiri hanya kerana mahu mempertahankan cinta
mereka. Dia lebih rela menghancurkan hatinya sendiri daripada melihat Nedzrish
dibenci oleh papanya.
“You ada pilihan lain tak Mel? Sekarang ni I tersepit.
I sanggup berhenti belajar, kahwin dengan you. I akan tanggung you Mel. I akan
cari kerja, walaupun I tahu I tak dapat nak mewah kan you nanti. You percaya
kan I tak?” Ujar Nedzrish bersungguh-sungguh.
“I percaya kan you sayang. Walaupun semua orang
cakap you teruk, I tetap akan ada disisi you untuk berdiri di sebelah you
sebagai penguat semangat. Sayang, sekarang you tengah ada masalah. I janji I
tak akan tinggalkan you walaupun you dah jadi suami orang.”
“Teruk sangat ke I ni Mel? Sampai you sendiri tak
nak kahwin dengan I?”
“Tak Rish tak. You tak pernah pun nampak teruk di
mata I. I tak nak serabutkan lagi situasi sekarang. Kahwin dengan I bukan jalan
yang terbaik. I tahu you berusaha untuk jaga hati I, I hargai sangat Rish. But please, kalau you sayang I. You ikut
cakap papa you Rish.” Amelda Imani terpaksa akur dengan pilihan papa Nedzrish
yang mahukan lelaki itu mengahwini wanita lain secepat mungkin. Dia terpaksa
menuturkan kata-kata yang mengecewakan hatinya sendiri.
“You pun sama lah macam papa I! Tak pernah cuba nak faham apa yang I
rasa!” Nedzrish membentak lalu tangan Amelda yang melekap pada lengannya
ditepis kasar dan dia segera berdiri. Tanpa menoleh sekilas ke arah Amelda
Imani yang memanggil namanya berulang kali, dia terus memecut laju
motorsikalnya.
*****
Airmata yang tidak henti-henti mengalir diseka
perlahan dengan hujung jarinya. Dia mengurungkan dirinya di dalam bilik sedari
siang tadi sejak menerima berita yang mengecewakan dirinya. Qalish kecewa bukan
kepalang apabila bapanya memberitahu yang semalam mereka sudah bersetuju untuk
menerima lamaran daripada sahabat lamanya. Disebabkan kekecewaan itu, Qalish
mengambil keputusan untuk memerap di dalam biliknya dan tidak masuk ke butik
pada hari itu.
“Dah lah tu Lish… Umi tak suka tengok Lish keadaan
macam ni.” Pujuk Hajah Razitah lembut sambil mengusap kepala anaknya. Qalish
Audrina hanya membiarkan sahaja tanpa mahu membalas kata-kata uminya.
“Apa yang abah dengan umi buat ni semua untuk
kebaikan Lish. Tak ada ibu bapa dalam dunia ni yang nak biarkan anak dia hidup
tak bahagia.” Sambungnya lagi namun kali ini nada suaranya lebih keibuan.
“Kalau abah dengan umi nak tengok Lish bahagia,
bukan dengan ini caranya. Disebabkan keputusan abah, hubungan LIsh dengan Yadh
yang terjalin selama bertahun-tahun terlerai macam tu je.” Ujar Qalish dengan
tangisan yang masih bersisa.
“Ammar Riyadh bukan jodoh Lish. Kalau dia benar-benar
sayangkan anak umi ni, mesti dia tak akan bagi beribu alasan untuk menikahi
Lish. Berapa lama lagi masa yang dia perlukan. Sampai bila Lish nak tunggu
sesuatu yang tak pasti?”
“Yadh cuma minta setahun aje lagi mi. Susah sangat
kea bah nak faham? Lish yang nak kahwin sekarang ni, bukan abah ataupun umi.
Tak perlu lah nak terburu-buru buat keputusan, sebab Lish bukan terdesak untuk
berkahwin.” Qalish menghamburkan kekecewaan terhadap keputusan kedua-dua ibu
bapanya itu. Selalunya uminya akan menyebelahinya tetapi tidak untuk kali ini,
uminya seolah-olah tidak memikirkan tentang dirinya.
“Kalau nak tunggu budak Riyadh tu, sampai ke tualah
Lish tak kahwin. Sudah lah Lish, buat apa Lish nak fikirkan tentang orang yang
tak sudi dengan Lish. Umi dengan abah dah terima dah pun lamaran Dato’ Ezzudin
tu, tinggal nak bincang tarikh langsung aje ni.” Balas Hajah Razitah bersama
nada tegas. Dia bukan tidak simpati melihat keadaan Qalish yang terpaksa
menerima hakikat bahawa cintanya selama ini dengan lelaki pujaan hatinya bakal
berkahir.
“Yadh bukan tak sudi, tapi dia perlu kan masa. Tak apalah,
mungkin dengan perkahwinan yang terpaksa ni akan buat umi dan abah tersenyum
puas. Tapi tidak bagi Lish, hati Lish hancur bila umi dan abah terima lamaran
tu.” Qalish bingkas bangkit dari perbaringannya dan menuju ke meja kecil di
sudut biliknya.
“Qalish nak kemana tu?” Soal Hajah Razitah apabila
dilihat anak perempuannya mencapai kunci kereta yang tersangkut di dinding.
“Mana-mana jelah umi. Lish perlukan ketenangan, Lish
masih tak boleh terima yang tak lama lagi Lish akan berkahwin dengan lelaki
yang langsung Lish tak pernah kenal.” Sinis sekali Qalish Audrina berkata-kata
sebelum bayangnya sudah hilang di sebalik pintu biliknya. Hajah Razitah sudah
tidak terkata apa. Selama ini Qalish Audrina bukanlah seorang anak yang suka
memberontak apabila kemahuannya tidak ditunaikan namun kali ini penerimaan anaknya
berbeza sekali. Hajah Razitah hanya mampu mengeluh sendirian.
No comments:
Post a Comment