Klikk Jangan Tak Klik!! Duit Nikah 2016

Friday 29 May 2015

Be mine, eh? Bab4

Lelaki berkemeja hijau muda mengatur langkah dengan senyuman tersungging di bibirnya. Dia yang membawa segelas air menghampiri seorang wanita yang sedang duduk di meja agak tersorok di sudut kafe itu.

Your favourite, Cappuccino Avocado.” Dia menyapa seorang wanita yang sedang asyik merenung telefon bimbitnya. Dia melabuhkan duduk di hadapan wanita itu.

Thank you.. Awak buat ke?” Soal Qalish Audrina sambil matanya melirik ke arah minuman kegemarannya yang baru sampai ke meja itu.

“Pernah ke saya suruh staff saya sediakan air kegemaran awak?”

“Okay, awak yang buat. Kan senang kalau jawab je terus soalan saya. Suka belok kiri kanan kan?” Qalish tersenyum nipis.

“Saje, kalau straight nanti jadi tak seronok pula perbualan kita. Yadh suka dengan imej baru Lish, kekalkan sampai bila-bila eh?” Dia terpesona melihat keayuan Qalish Audrina yang buat pertama kalinya tampil bertudung. Qalish Audrina yang sebelum ini tidak memakai tudung tersenyum malu.
“InsyaALLAH. Lish rasa dah tiba masanya Lish tinggalkan dunia free hair  dan sekarang ni pegang title wanita berhijab. Yadh doakan Lish eh?”

“Mestilah Yadh doakan yang terbaik untuk Lish. Lish kan kekasih hati Yadh, tak pernah sekali pun Yadh terlupa nak sebut nama Lish dalam setiap doa Yadh.” Ammar Riyadh, seorang jejaka berusia 30 tahun adalah kekasih kepada Qalish Audrina. Dia memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana akhirnya wanita yang disayangi terbuka hati untuk berhijrah.

Thank you Yadh. Lish tahu Yadh bukan sahaja kekasih, tapi Yadh boleh bimbing Lish ke jalan yang benar. Lewat awak masuk kafe hari ini? Ada urusan dekat luar ya?” Qalish Audrina menyoal lembut. Minuman kegemarannya disisip sedikit.

“ Lish nampak cantik bila bertudung. Yadh ingatkan siapa lah tadi yang duduk dekat tempat biasa Lish duduk ni. Lain muka Lish bila bertudung tau. Yadh sampai tak kenal siapa tadi. Yadh melawat makcik Yadh dekat hospital sekejap.” Jelas Ammar Riyadh yang sudah menongkat dagu merenung wajah kekasihnya. Qalish Audrina jadi malu pula direnung sebegitu.

“Lain sangat ke muka saya bila bertudung? Oh, sebelum ni saya tak cantik ke?”

“Lain sangat. Macam bidadari. Bukan tak cantik bae, tapi bila Lish bertudung. Lagi terserlah ayumu.” Qalish sudah ketawa mengekek mendengar kata-kata romantis Ammar. Ammar hanya menayang wajah masam. Dia tahu dirinya bukanlah seorang yang puitis, kata-kata cinta juga banyak dipetik daripada internet.

“Macam lirik lagu je sayang?” Soal Qalish Audrina setelah tawanya reda.

“Mana ada, ayat tu Yadh reka sendiri tau. Yadh tak main lah ciplak ayat orang untuk bagi dekat insan tercinta ni. Nampak sangat tak ikhlas dari hati.” Balas Ammar penuh yakin.

“Banyak lah Yadh punya reka sendiri. Macam lah Lish tak kenal buah hati Lish bukan nya lelaki puitis, selalu curi ayat-ayat cinta orang kan? Dah faham sangatlah.” Ujar Qalish Audrina bersama sengihan di bibirnya. Hubungan cinta selama 4tahun yang terjalin antara mereka sudah cukup membuktikan kesetiaan mereka terhadap pasangan masing-masing. Qalish mengenali Ammar sewaktu dia menghadiri sebuah program keusahawanan. Ketika itu mereka hanyalah teman. Namun takdir telah membawa mereka ke destinasi cinta apabila secara kebetulan Qalish telah membuka butiknya sederet dengan kafe Ammar. Sejak dari itu hubungan mereka semakin akrab.

“Nanti Yadh pulang lah balik. Yadh bukan curi untuk selama-lamanya pun. Esok lusa Yadh guna ayat cinta dari doktor cinta pulak. Biar awak makin sayang dekat saya.” Ujar Ammar dengan senyuman manja terukir di bibirnya.

“Kalau tak ada ayat-ayat cinta tu pun saya dah sememangnya sayang kan awak. Tak perlu pun tu semua.”

Bae, semalam Yadh terserempak dengan bestfriend Lish si Sofi tu. Dia bagitahu yang kelmarin Lish accident. Kenapa tak bagitahu? Am I not important anymore?” Wajah Ammar sudah beruah serius. Dia benar-benar terasa kerana Qalish tidak memberitahu tentang perkara itu. Dia mudah terasa jikalau Qalish tidak berterus terang dengan dirinya.

“Er.. Bukan tak nak bagitahu Yadh, tapi Lish rasa tak penting lah. Lagi pun Lish tak apa-apa. Kereta Lish yang cedera sikit. Kemalangan kecil je.” Ujar Qalish Audrina dengan wajah serba salah. Dia tahu Ammar tidak gemar dengan sikapnya yang kadangkala tidak memberitahu apa yang terjadi kepadanya.

“Tak penting awak cakap Bae? Tak kisah lah kemalangan tu kecil ke, besar gedabak macam badak sekalipun. Saya perlu tahu, itu semua tanggungjawab saya kan. Yadh kan dah janji nak jaga Lish.”

“Okay.. I’m sorry. Lain kali saya laporkan dekat awak ya setiap apa yang terjadi dalam hidup saya.” Balas Qalish akur.

“Yadh bukan nak kongkong hidup  Bae. Yadh just nak pastikan Lish dalam keadaan selamat setiap masa. Jantung Yadh ni macam gugur tau kalau tahu Lish dalam keadaan tak okay.” Ammar Riyadh mencapai lengan Qalish Audrina yang ditutupi baju lengan panjang yang dipakainya.

“Sayang. Tak ada benda lah yang awak nak risaukan. Lepas ni Lish akan lebih berhati-hati.”

“Janji bae?” Ammar Riyadh merenung bebola mata milik si gadis. Wanita itu turut meredupkan pandangan matanya.

“Tak janji tapi pasti. Sayang, sampai bila kita nak macam ni? Yadh sedar kan hubungan kita dah terlalu lama. Umur kita berdua bukan muda lagi tau.” Qalish Audrina benar-benar menginginkan hubungan yang lebih jauh antara mereka berdua. Namun teman lelakinya tidak pernah sekalipun berbincang tentang hubungan mereka untuk melangkah ke tahap lebih serius.

“Tak nak lah cakap pasal ni. Tukar topik lain?” Ammar Riyadh sudah tayang wajah kosong. Dia bukan tidak suka setiap kali Qalish bertanyakan tentang itu, namun dia sendiri tidak tahu mahu berikan jawapan apa yang tidak akan mengecewakan gadis itu.

“Kenapa? Kenapa bila cakap soal kahwin Yadh terus berubah? Yadh tak serius dengan hubungan kita ke selama ni? Lish ni sekadar tempat untuk Yadh hilangkan kebosanan?” Qalish Audrina menyoal bertubi-tubi. Wajahnya sudah seperti mahu menangis. Dia bengang melihat respon Ammar yang tidak seperti apa yang dia harapkan.

“Apa yang Lish merepek ni? Kan Yadh dah cakap, Yadh sayang kan Lish. Yadh nak bina keluarga hanya dengan seorang perempuan yang bernama Qalish Audrina Azman. Saya perlukan masa. Itu je. Bukan Yadh tak serius dengan Lish.”

“Sayang tu semua orang boleh cakap Yadh. Lish penat lah nak jawab soalan yang sama daripada umi dengan abah tentang hubungan kita. Lish bukan apa, Lish kesian dekat diaorang. Selalu tanya bila Yadh nak datang masuk meminang.” Ujar Qalish yang sudah kembali tenang. Dia memahami sikap Ammar yang bukan jenis lelaki gemar melenting, jadi dia tidak seharusnya mengamuk tidak tentu hala.

“Kan Yadh dah cakap, bila tiba masanya Yadh sendiri akan buka mulut tentang hal perkahwinan kita. Yadh tak nak berburu-buru. Keputusan kalau dibuat secara terdesak, bimbang hasilnya nanti tak seperti apa yang kita harapkan.”

“Terdesak apa pulak Yadh? Dah lama kan kita bercinta, tak elok lah bercinta lama-lama. Kan lebih baik kalau kita segerakan perkara yang indah ni. Yadh tak nak ke halal kan Lish untuk Yadh?” Qalish memandang mata hazel milik Ammar Riyadh, tidak berkedip. Dia mahukan jawapan yang sejujurnya daripada lelaki itu.

“Sayang... Jauh di sudut hati Yadh ni, Yadh memang simpan cita-cita untuk mengahwini Lish. Yadh tak nak Lish sampai jatuh ke tangan orang lain. Sabar sikit sayang, Yadh belum ready lagi nak pikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.” Kedengaran ikhlas suara itu mengetuk gegendang telinganya.

“Lish bukan apa, Lish fikirkan tentang umi dengan abah. Kalau ikutkan Lish pun tak nak terburu-buru untuk berkahwin. Yadh jumpa lah dengan parents Lish, terangkan tentang ni. Boleh?”

“Belum tiba masanya lagi Lish. Yadh akan berjumpa dengan parents awak bila kita berdua dah bersedia untuk ke tahap yang seterusnya. Yadh nak capai dulu cita-cita Yadh sebelum Yadh tamatkan zaman bujang Yadh. Tolong faham, boleh sayang?”

“Yelah.. Lish tahu Yadh nak kembangkan bisness Yadh, bila Yadh dah puas hati. Baru lah Yadh boleh fikir tentang kita. Hm. Lish kena beralah dengan cita-cita Yadh lah ni.” Qalish Audrina beralah untuk kesekian kalinya. Dia tidak mahu terlalu mendesak Ammar supaya berkahwin dengannya. Dia tidak mahu kelihatan seperti perempuan desperate.

Bae… Bukan macam tu lah. Kalau Yadh berjaya, bae jugak yang bangga kan? Yadh nak jugak lebarkan sayap perniagaan Yadh macam mana Lish berjaya sebagai pengusaha butik sekaligus fashion designer terkenal di usia muda. Yadh nak kita sama-sama setaraf.” Ammar Riyadh memujuk.

“Okay. Apa pun yang Yadh nak buat untuk masa depan Yadh, Lish sentiasa support. Cuma tu lah, jangan biarkan Lish tertunggu lama tau. Takut nanti Yadh hanya dapat capai bayang-bayang Lish je.”

“Jangan lah buat Yadh risau sayang. Yadh janji, bila Yadh dah dapat semua yang Yadh inginkan, masa tu Yadh akan jadikan Lish wanita terbahagia dalam dunia ni.” Ujar Ammar Riyadh penuh romantis. Qalish Audrina hanya melakar senyuman nipis.

“Yadh ke dapur kejap, nanti Yadh datang semula dengan something special untuk bae. Tunggu tau.” Ammar segera bangun, namun sebelum dia berlalu dia sempat mencuit hujung hidung Qalish. Qalish hanya tersenyum manja. Dia belajar untuk mengerti permintaan kekasih hatinya.


****

“Air abah, umi.” Pelawanya lembut lalu dia turut mengambil tempat di sebelah uminya untuk bersembang kosong dengan orang tuanya.

“Kenapa lewat balik hari ini? Lama abah tunggu Lish, ingatkan Lish tidur dekat butik.” Soal Haji Azman memulakan perbualan mereka bertiga malam itu.

“Biasa lah bah, macam tak biasa Lish selalu balik lewat. Ada banyak design yang Lish kena semak daripada staff Lish. Lagipun kitaorang tengah sibuk siapkan rekaan untuk pertandingan busana pengantin bulan depan.” Terang Qalish Audrina sambil tangan kirinya memicit tengkuknya yang terasa lenguh.

“Jangan lah kerja teruk-teruk sangat Lish. Apa yang kamu nak kejar lagi? Umi rasa semuanya kamu dah ada, kemewahan yang bukan senang nak dicapai oleh orang lain di usia macam kamu ni. Bersyukurlah apa adanya nak.” Nasihat Hajah Razitah lembut.

“Lish bukan tak bersyukur dengan apa yang ALLAH kurniakan kepada Lish sekarang ni. Tapi tak salah kan kalau Lish sentiasa berusaha untuk terus maju ke hadapan? Kalau Lish tak kerja, Lish nak makan apa. Tak nak lah harapkan duit pencen umi dengan abah. Malu lah Lish.”

“Umi bukan suruh Lish berhenti kerja, umi tak suka tengok Lish selalu balik rumah lewat. Ini masa bujang tak apalah, nanti bila dah berkeluarga. Tak kan setiap hari kamu nak balik lepas isyak?” Hajah Razitah risau memikirkan perihal anak tunggalnya yang tidak kahwin-kahwin lagi sehingga sekarang.

“Nanti bila dah kahwin mestilah Lish fokus kan lebih kepada keluarga Lish. Sementara Lish masih bujang ni, apa salahnya Lish bekerja keras sikit. Ini semua untuk simpanan masa depan.” Jelas Qalish Audrina. Dia mengakui dirinya yang begitu sibuk dengan butiknya kadangkala hanya punya masa sedikit sahaja untuk bersama-sama dengan umi dan abahnya walhal mereka tinggal serumah. Kesibukan Qalish menguruskan butiknya kadangkala membimbangkan fikiran kedua-dua orang tuanya.

“Lish. Apa sebenarnya status hubungan kamu dengan budak Riyadh tu? Dia tu hanya nak mempermainkan perasaan anak abah ataupun macam mana?” Haji Azman yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, mencelah perbualan dua beranak.

“Abah.. Tak baik cakap macam tu. Yadh serius dengan Lish. Dia tak pernah ada niat pun nak mainkan perasaan Lish. Cuma Yadh minta abah dengan umi bagi dia sedikit masa. Soal kahwin ni bukan hal kecil bah, biarlah dia bersedia dulu.”

“Bagi masa lagi? Berapa banyak masa yang dia perlukan lagi? Sudah lah jarang menjenguk kita disini, kalau betul dia nak kamu jadi isteri dia. Dia mesti selalu datang sini, ziarah abah dengan umi. Ini kalau nak bawa kamu keluar, hanya tunggu di luar rumah. Umi tak suka lah macam tu.” Hajah Razitah tidak berniat untuk masuk campur dalam hal peribadi anak perempuannya. Dia hanya mahu Qalish segera berkahwin dengan sesiapa sahaja yang dia suka.

“Yadh bukan tak nak datang melawat abah dengan umi. Lish pun banyak kali ajak dia masuk rumah, tapi tu lah dia segan. Dia cakap bila tiba masanya nanti, dia akan bawa rombongan meminang. Abah dengan umi jangan lah risau.” Qalish menerangkan hal sebenar. Dia sudah agak pasti bapa dan ibunya akan menyoal tentang kekasihnya. Itu yang dia buntu memikirkannya.

“Macam mana kami tak risau. Lish ni satu-satunya puteri yang abah dan umi ada. Lish sedar tak umur Lish tu dah nak masuk angka 30 dah. Tak elok lah kamu melewat lewatkan perkahwinan sedangkan semua dah ada. Calon pun dah ada, harta pun kamu dah miliki sekarang ni.” Haji Azman meneguk sedikit air panas yang dibancuh oleh anak tunggalnya.

“Calon memang lah dah ada bang, tapi tak pernah nak bersedia. Bercinta bertahun-tahun pun, dikatanya tak bersedia. Tak fahamlah umi cara orang zaman sekarang bercinta.”

“Macam ni lah Lish. Siang tadi kawan lama abah datang jenguk abah dengan umi. Dia bukan datang saja-saja, tapi mereka ada hajat besar. Abah tak sampai hati nak tolak.” Haji Azman bersuara terlebih dahulu apabila dilihat Qalish Audrina seakan-akan mahu membalas omelan uminya.

“Hajat apa, abah umi?” Soal Qalish tidak sabar-sabar. Jangan lah bagitahu yang ada orang mahu menyunting dirinya. Boleh pecah kepala memikirkannya.

“Mereka nak jodohkan Lish dengan anak bongsu mereka.”

Hampir tersembur air di dalam mulutnya. Qalish segera menekup mulutnya dengan kedua-dua belah tangannya. Dia segera mencapai tishu lalu mengelap mulutnya yang sedikit lembab.

“Maksud abah, mereka nak Lish kahwin dengan anak mereka? Haish merepek jelah. Kenal pun tak. Ingat zaman dulu ke mak ayah yang cari kan jodoh.” Wajahnya sudah cemberut. Benarlah tekaannya tadi.

“Kalau nak tunggu anak-anak yang cari jodoh mereka sendiri. alamatnya sampai berjanggut kami ni, anak-anak tak kahwin lagi. Lish, Dato’ Ezzudin dan Datin Khalidah tu banyak tolong abah masa keluarga kita susah dulu. Hajat mereka yang satu ni, rasanya susah abah nak tolak.” Haji Azman melepaskan keluhan kecil. Dia tidak pernah berniat untuk menentukan siapa yang layak berdampingan disisi anaknya. Dia kalau boleh mahu Qalish mencari sendiri jodohnya.

“Habis tu abah setuju ke? Abah. Abah dengan umi tahu kan Qalish sayang sangat dekat Riyadh. Jangan lah buat Qalish macam ni.” Qalish sudah mahu menangis. Daripada gaya percakapan abahnya, dia tahu lelaki itu dalam dilemma.

“Dia orang baru sampai kan hajat mereka. Kita ada hak untuk terima ataupun tidak. Umi kalau boleh nak Lish cepat-cepat kahwin. Kalau boleh sebelum kami tutup mata, kamu dah ada anak. Keluarga yang bahagia.”

“Umi, jangan lah desak Lish. Lish bukan tak bincang perkara ni dengan Yadh. Tapi dia sendiri yang cakap dia tak bersedia lagi. Tak kan Lish nak paksa dia.”

“Abah bagi Lish kata putus. Sama ada Lish suruh Yadh masuk meminang secepat mungkin, ataupun abah terima pinangan mereka. Bila-bila masa je diaorang boleh hantar rombongan meminang. Masa ni lah kamu tahu Riyadh betul-betul ikhlas dengan kamu ataupun tidak. Kalau dia sayang kan Lish, dia tak akan bagi seribu alasan lagi.” Qalish terkesima mendengar kata dua yang diberikan oleh abahnya. Dia merenung wajah serius abahnya yang sedang meneguk minuman.

“Abah. Mana adil. Kan Lish dah cakap, Yadh memang tak bersedia untuk jadi suami Lish buat masa sekarang ni. Kita tunggulah sampai dia betul-betul bersedia.”

“Abah bagi tempoh sampai hujung bulan ni saja, kalau dia tak masuk meminang jugak. Kamu kahwin dengan anak Dato’ Ezzudin.” Tegas kedengaran suara Haji Azman.

“Abah, sekejap sangat tempoh yang abah bagi. Boleh tak abah bagi peluang untuk Lish pilih sendiri siapa bakal suami Lish?” Qalish merayu meminta cebisan simpati dari abahnya. Dia tertekan mendengar kata dua yang diputuskan oleh Haji Azman.

“Sudah Lish. Kamu jangan nak banyak songeh. Pergi masuk bilik sekarang. Abah dah bagi pilihan, terserah pada kamu.”

“Tapi pilihan abah tu tak adil untuk Lish!”


“Jangan nak naik kan darah abah. Apa yang abah buat ni semua untuk kebaikan kamu. Jangan cuba-cuba nak tunjuk pandai.” Haji Azman sudah bangun dari duduknya. Qalish turut sama bangun untuk berlalu ke dalam biliknya dengan jiwa yang bengang. Ya, dia bengang dengan pilihan yang diberi oleh abahnya. 

Wednesday 27 May 2015

Be mine, eh? Bab3

Qalish Audrina melangkah longlai ke dalam biliknya. Dia merebahkan badannya di atas sofa yang terdapat di dalam bilik pejabat nya itu. Kepalanya yang berdenyut-denyut secara tiba-tiba itu minta untuk direhatkan.

“Makcik! Kau okay tak ni? Muka pucat lesi. Kau tak apa-apa ke ni?” Sahabat baiknya, Sofina sudah meluru mendapatkan yang tersandar lemah di atas sofa. Sofina meraba dahi teman baiknya.

“Tak panas pun. Tapi kenapa kau nampak lemah sangat ni? Kau cedera ke Lish? Siapa yang langgar kau ni?” Bertalu-talu dia menyoal Qalish. Qalish yang memejamkan matanya memicit-micit kepalanya dengan kedua-dua belah tangannya.

“Lish. Kau ni sampai hati biar kan aku cakap sorang-sorang kan. Aku ni risau tau bila kau bagitahu kau lambat masuk butik sebab kau accident. Aku rasa macam aku berkemungkinan akan kehilangan kau.” Qalish membuka sedikit matanya. Dia sudah berkerut memandangn sahabatnya. Sofina sememangnya seorang yang suka berfikiran bukan-bukan. Dia juga seorang yang kalut. Sebab itu Qalish malas mahu memberitahu jikalau dia terlibat dengan kecelakaan kerana mulut gadis itu tidak henti-henti menyoalnya. Rimas dia mahu melayannya.

“Apa lah yang kau merepek ni. Aku tak apa-apa lah Sofi. Yang cedera parah tu kereta aku. Yang kau perlu risaukan tu kereta aku. Bukan aku.”

“Aku caring pun salah. Apa lah kau ni, kalau kereta tu cedera parah, hantar je lah ke bengkel. Aku bukan nya mekanik reti betul kan apa yang rosak. Kau sakit kepala eh?” Soal Sofina lalu tanpa disuruh dia memicit lembut kepala Qalish. Qalish memang menghidapi penyakit migraine sejak di bangku sekolah lagi. Persahabatan yang lama terjalin antara mereka membuatkan Sofina cukup arif tentang Qalish.

“Biasalah Sofi, kalau cuaca panas terik macam ni memang senang lah kepala aku ni nak berdenyut. Pasal kereta, aku dah minta tolong kawan aku yang kerja bengkel ambil kereta tu then betul kan apa yang patut.”

“Macam mana kau boleh accident ni? Setahu aku, kau ni bukan lah seorang pemandu jalan raya yang bawa kereta gila-gila. Kau salah seorang pemandu yang berhemah tau. Ini mesti kereta kau kena sondol kan?” Sofina yang terkenal dengan sifat ingin tahunya mengorek cerita sebenar daripada Qalish meskipun dia tahu Qalish bukan seorang yang suka bercerita dengannya.

“Kau sorang je lah yang faham aku macam mana Sofi. Aku tak bawa laju pun, ada mamat gila mana entah bawa macam dia sorang je ada dekat atas jalan tu. Aku pulak brek mengejut sebab aku tak perasan traffic light dah merah. So nak dijadikan cerita, dia yang bawa kereta laju snagat tu langgar kereta aku.” Cerita Qalish Audrina dengan wajah yang masam. Sakit sungguh hatinya mengenangkan lelaki yang tidak berbudi bahasa itu.

“Ha! Aku dah agak ni. Mesti orang yang langgar kereta kau. Haish, habis tu mamat tu cakap apa? Kereta dia teruk tak? Kau dah minta ganti rugi kat dia?”

“Malas lah aku nak ambil tahu kereta dia teruk ke tak. Kereta dia hancur remuk lagi bagus lah. Dia punya salah, aku pun terlibat sekali. Bukan dia yang bayar ganti rugi dekat aku. Tapi kawan kau ni hah tak pasal-pasal kena bayar.” Wajahnya masih lagi cemberut seperti tadi. Dia menyentuh tangan Sofina lalu dijatuhkan lembut. Qalish bangun dari pembaringan dan dia duduk di atas sofa itu.

“Hah?? Apasal kau pulak yang kena bayar dekat dia? Kalau ikutkan daripada cerita kau, kalau kau tak tipu lah kan. Memang dia yang salah, sebab dia bawa kereta laju sampai ganggu kenderaan di hadapan dia. Tak patut lah kau bayar.” Sofina membalas dengan wajah tidak puas hati.

“Dia paksa aku bayar. Kau ingat aku nak sangat ke keluarkan duit untuk mamat gila tu? Dah lah aku tak kenal dia tu  siapa, menyusahkan aku. Dia boleh hon kuat-kuat dekat jalan raya tadi sebab aku tak nak bayar duit dia. Kau rasa?”

“Aku rasa mamat tu ada masalah jiwa lah! Mana boleh macam tu. Haish kalaulah aku ada sekali, dah lama dah aku sembur mamat tu. Orang tak ada budi bahasa macam tu kena ajar sikit Lish. Kau jangan lemah sangat.”

“Mamat tu memang gila. Aku pun tak tahu lah kenapa orang macam dia tu wujud. Dah lah lepas dia langgar kereta aku, sempat dia mengutuk aku. Dia cakap perempuan kalau bawa kereta memang selalu failed. Dia cakap aku ni beli lesen kereta. Sebab tu tak reti bawa kereta. Ya ALLAH sakitnya hati aku ni!” Qalish Audrina mengepal penumbuk. Di hadapan lelaki itu dia terasa kecut untuk membidas lebih-lebih. Baran seorang lelaki tidak dapat dijangka. Nanti tak pasal pasal dia masuk wad ICU pula.

“Er.. Lancang nya mulut dia berkata-kata. Apa dia tak servis ke mulut dia tu? Suka hati dia je cakap kau macam-macam. Aku rasa macam nak jumpa je lah mamat tu, macam nak ajak bergaduh!” Wajah Sofina sudah berubah warna. Qalish tergelak melihat reaksi sahabatnya. Sikap Sofina yang kadang-kadang over itu mencuit hati Qalish.

“Aku nak tergelak tengok muka kau ni Sofi. Aku tak tahu lah kalau kau ada dekat tempat aku tadi berhadapan dengan mamat tu, agaknya bertumbuk sakan kau orang ya. Dah lah Sofi, malas aku nak fikir pasal mamat yang entah dari planet alien mana muncul tu. Buat serabut kepala je.” Qalish Audrina bangun dari duduknya setelah dia berasa sedikit lega selepas kepala diurut oleh Sofina. Dia mendekati meja kerjanya yang penuh dengan kertas-kertas kerja.

“Kau tak nak balik dulu ke berehat? Kalau kau nak balik rumah, aku boleh tolong hantar kan.”

Thanks. Tapi aku rasa aku dah okay, kau sambung lah kerja kau. Aku nak semak design yang baru kau buat ni.” Ujarnya seraya melabuhkan duduk.

“Oh ya aku lupa nak bagi tahu kau, customer kita daripada Singapura nak jumpa dengan kau. Dia nak kau sendiri yang design busana untuk majlis dia nanti.” Meskipun mereka bersahabat, namun Sofina tetap menghormati Qalish sebagai ketuanya.

“Miss Anne ke? Dia ada datang sini?”

“Dia datang pagi tadi sebab dia ada urusan dekat sini. Tapi dia dah balik dah. Lagi pun dia tak bagi tahu yang dia nak datang.”

“Hmm.. Tu lah masalah customer kita. Selalu sangat tak buat appointment dulu. Kan dah membazir je datang.”

“Alah biasa lah tu pelanggan kan banyak kerenah. Aku sambung kerja aku dulu Lish. Kalau kau nak apa-apa nanti, sakit kepala ke apa ke, call je aku okay? Take care.” Selesai memberikan pesanan penajanya dia terus keluar dari bilik Qalish. Qalish menghantarnya dengan ekoran matanya sahaja. Dia tersenyum sendirian. Qalish beruntung dikurniakan seorang sahabat yang sempurna untuknya, sangat memahami dan begitu prihatin terhadap dirinya.

*****
Datin Khalidah menerpa kalut ke arah Nedzrish Eskandar yang baru sahaja turun dari kereta dan mengatur langkah untuk masuk ke dalam rumah.

“Rish. Rish okay tak?” Datin Khalidah memeriksa jikalau ada mana-mana anggota badan anaknya yang luka. Dia memandang Nedzrish dengan wajah yang resah.

“Rish okay lah mama. Kenapa mama kalut sangat ni?” Nedzrish membalas dengan wajah hairan. Dia pelik mengapa mamanya begitu risau tentang dirinya sedangkan dia tidak memberitahu apa-apa tentang apa yang berlaku pagi tadi.

“Kenapa tak call mama bagitahu Rish accident? Rish tak apa-apa ke?”

“Siapa bagitahu mama ni? Rish okay, tak ada cedera apa-apa pun. Mama sepatutnya risau dekat kereta mama tu. Sorry mama…” Nedzrish meraih tangan mamanya. Dia berasa bersalah kerana menjadi penyebab kereta mamanya terlibat dalam kemalangan kecil. Nedzrish merasakan dirinya sering saja membawa masalah kepada keluarganya.

“Kawan mama ternampak kereta mama tersadai dekat tepi jalan. Itu yang dia terus call mama. Dia ingatkan mama yang bawa kereta tu. Risau mama Rish. Syukurlah Rish tak apa-apa.” Datin Khalidah tidak menghiraukan keretanya sebaliknya dia khuatir jika anaknya mengalami sebarang kecederaan. Peribadi mamanya cukup berbeza dengan papanya membuatkan Nedzrish lebih senang berurusan dengan mamanya berbanding papanya.

Sorry mama sebab Rish tak jaga kereta mama elok-elok. Rish tak sengaja. Kereta depan Rish tiba-tiba berhenti mengejut. Rish dah tekan brek tapi tetap langgar kereta dia jugak. Sorry mama.”

“Tak apalah Rish. Benda dah nak jadi. Bukan nya Rish minta semua ni berlaku kan? Nanti mama suruh Pak Awie hantarkan Honda Civic mama tu ke bengkel. Dah, mari masuk.” Datin Khalidah menarik lembut lengan anaknya supaya masuk ke dalam rumah.

“Elok sangat lah tu. Mama selalu menangkan budak Rish ni. Kalau dia mencuri pun, mama kata tak apa kan?” Nedzrish baru sahaja masuk ke dalam rumah, dia sudah dikejutkan dengan suara abangnya. Nazrief yang baru sahaja keluar dari biliknya dan bergerak ke ruang tamu bersama briefcase di tangannya.

“Rief. Tak baik doakan yang tak baik untuk Rish. Rish bukan nya sengaja. Sampai bila Rief nak dingin dengan Rish ni?” Datin Khalidah bersuara terlebih dahulu apabila dia melihat Nedzrish kelihatan seperti mahu membalas kata-kata si abang. Ini pun menjadi satu masalah juga. Nazrief dan Nedzrish pantang bertemu, pasti akan wujud perbalahan antara mereka. Sifat Nazrief mirip bapanya yang selalu bersikap dingin dengan Nedzrish.

“Kalau mama asyik nak bela je budak ni, sampai ke tua nanti dia tak tahu dimana salah dia. Sekali sekala mama kena berkeras juga, jangan bagi muka sangat. Hari ini kereta mama remuk, esok lusa entah hancur barang-barang mama dalam rumah ni.” Nazrief tunduk memakai stoking sambil mulutnya mengomel.

“Yang hancur tu kereta mama, aku bukan drive kereta kau sampai accident pun. Yang kau nak memekak macam kereta tu kau punya kenapa? Mama sendiri tak bising, kau pulak nak melebih.” Nedzrish membalas dengan wajah masam. Bengang sungguh dia dengan perangai Nazrief yang gemar masuk campur dalam urusannya.

“Sebab mama manja kan kau sangat. Kalau mama ikut cara papa didik kau, tak adalah kau naik lemak macam ni. Sampai dah tak boleh nak dibentuk jadi manusia lagi dah.”

“Jadi kau nak salah kan mama sebab aku jadi macam ni? Hei Rief. Perangai aku tak ada kaitan dengan mama. Mama dah didik aku sempurna, cukup semuanya. Kau tak payahlah nak salahkan mama sebab manja kan aku sangat. Kau tu cemburu kan sebenarnya?” Bergerak-gerak rahangnya menahan marah. Angin sungguh dirinya apabila mamanya turut disalahkan kerana perangainya yang tidak disenangi oleh abangnya itu.

“Sudah lah tu Rief, Rish. Kau orang bergaduh teruk macam mana sekalipun, sampai bila-bila hubungan adik-beradik tetap tak akan terputus. Buang masa saja lah bergaduh dengan darah daging sendiri.” Datin Khalidah berusaha untuk meleraikan pertengkaran yang baru saja bermula. Dia bimbang jika dibiarkan dua beradik ini akan bergaduh pula.

“Rief tak ada adik yang menyusahkan mak ayah Rief!” Nazrief segera berlalu meninggalkan mama dan adiknya dengan wajah bengang. Dia sering makan hati dengan mamanya yang selalu sahaja membela adiknya dalam setiap kesalahan yang Nedzrish lakukan.

“Sudah Rish. Pedulikan apa yang Abang Rief katakan tu. Rish belum makan lagi kan? Mama ada masak lauk kegemaran Rish.” Datin Khalidah mengusap lembut dada Nedzrish. Dia tahu Nedzrish tidak suka dengan sikap abangnya yang menjengkelkan.

“Rish ganti baju dulu ma. Nanti Rish turun makan ya. Mama tunggu Rish dekat meja makan.” Nedzrish melemparkan senyuman tawar kepada mamanya sebelum berlalu ke biliknya.

****
“Kenapa you pandang I macam tu? Ada apa-apa yang pelik ke dekat muka I ni?” Soal Nedzrish tidak berpuas hati dengan Amelda Imani yang sedari tadi memandangnya dengan pandangan yang aneh. Dia sedang enak menikmati Spaghetti Meatballs yang baru sahaja sampai di meja nya sebentar tadi.

“I rasa pelik kenapa you tiba-tiba bawa I makan dekat sini.” Balas Amelda Imani sambil bermain dengan rambutnya sendiri.

“Kenapa? I nampak macam tak mampu ke nak bawa you makan tempat macam ni?” Nedzrish menyoal sambil mulutnya sibuk mengunyah makanan. Hari ini dia membawa kekasihnya berjalan-jalan di Mid Valley kerana sudah lama mereka tidak keluar bersama. Hanya bertemu di kampus, itu pun jika ada kelapangan waktu.

“Tak adalah sampai macam tu sekali I fikir. Rish, you ni bukan jenis yang senang tau nak bawa I makan dekat Mall. Selalunya kita makan dekat tepi jalan, mamak, warung, restoran biasa. Itu jelah tempat yang you selalu bawa I makan. Tiba-tiba hari ini ajak I makan dekat Secret Recipe, mana I tak pelik.” Ulas Amelda Imani. Dia sudah mengerti dengan kewangan Nedzrish yang sering sahaja tidak cukup setiap masa. Kadangkala dia kesian melihat teman lelakinya bersusah payah untuk mengharungi kehidupan sedangkan dia bukan lah berasal dari keluarga susah.

“You kan tahu, I ni simple orang nya. I tak suka makan dekat tempat mewah-mewah sebab I rasa I tak layak. I bukan berduit, maaf lah kalau selama ni you segan keluar dengan I. Kereta pun tak ada. Menumpang kereta you je setiap kali kita dating.” Ujar Nedzrish sedikit menjauh. Dia mula terasa dirinya tidak berguna untuk orang-orang yang rapat dengan dirinya. Nedzrish sendiri tidak mengerti mengapa Amelda masih lagi bertahan dengan dirinya meskipun dia merasakan dia seorang lelaki yang tidak punya apa-apa.

“Apa you cakap ni? I tak pernah kisah pun pasal semua tu Rish. Tak apalah kita makan dekat tempat biasa pun, bukan nya kita merempat tepi jalan. I okay, selagi I ada you. Hari-hari I ceria sentiasa.” Balas Amelda Imani bersama senyuman ikhlas.

“Tak payah cakap soal ikhlas lah, geli telinga I ni dengar tau. Mel, you ni cantik, you ada semuanya. You boleh dapatkan lelaki yang jauh lagi sempurna daripada I. Kenapa I yang selekeh ni, yang duit sentiasa kering jugak yang you kejar?”

“I sayang you. Duit tak boleh beli cinta Rish. Kalau hati ni dah sayang, buruk macam mana pun pasangan kita, kita tetap akan boleh terima.” Amelda Imani menyentuh lembut tangan kiri Nedzrish, dia mahu lelaki itu merasakan kesetiaan cintanya selama ini. Dia benar-benar ikhlas mencintai Nedzrish meskipun lelaki itu berperangai pelik, tidak seperti lelaki lain.

“You simpan je lah falsafah cinta you tu. I bawa you makan dekat sini sebab I baru dapat duit. Ada duit sikit, I belanja lah orang yang paling menyusahkan dalam hidup I. Tak suka?”

“Kalau you rasa I ni menyusahkan hidup you, tak payah lah layan I lagi lepas ni. I kan hanya menyesakkan kepala otak you. Untuk apa simpan I lagi?” Soal Amelda Imani sambil tersenyum sinis. Dia sengaja ingin mencabar Nedzrish Eskandar, kadangkala kata-kata Nedzrish menghiris hatinya. Hendak marah, itulah perangai Nedzrish yang memang tidak dapat diubah lagi.

“You merajuk? Merajuk lah you sampai bulan terbenam. I tak kuasa nak pujuk.” Ujar Nedzrish selamba tanpa menghiraukan soalan yang diajukan kepadanya sebentar tadi.

“Okay, kalau macam tu I balik dulu. You balik lah naik bas ke naik teksi ke. Tak kisah kan?” Amelda Imani mahu bangkit dan meninggalkan Nedzrish bersendirian. Dia bengang dengan respon dingin yang diterimanya.

“Mel.. Kalau aku tak cinta kan kau, kenapa selama setahun lebih ni aku hanya berkepit dengan kau? Kenapa selama ni aku turutkan kerenah kau? Kalau aku tak sayang kau, tak ada maknanya aku nak stick dengan perempuan gedik macam kau ni. Semua sebab sayang lah.” Nedzrish melembutkan suaranya. Dia benar-benar memaksudkan kata-katanya. Selama dia bermadu kasih dengan Amelda Imani, tidak pernah sekalipun dia berniat untuk mempermainkan perasaan gadis itu.

“I tahu you sayang kan I, tapi tak boleh ke sekali sekala tu you jaga sikit perasaan I?” Amelda Imani tidak jadi untuk bangun. Dia kembali menikmati hidangan yang dipesannya.

“Sayang tu tak perlu nak tunjuk keterlaluan sangat. Aku selesa dengan cara aku macam ni. Tak kan kau tak faham-faham lagi aku macam mana?”

“Faham. Sorry lah sayang I emotional sikit tadi. Hmm you cakap you baru dapat duit kan? Papa you bagi duit bonus ke dekat you?” Amelda Imani memaniskan wajahnya. Dia tidak mahu Nedzrish rimas dengan sikapnya yang kadang-kadang agak kebudak-budakkan.

“Dato’ nak bagi duit dekat I? Hei boleh menangis I kalau tiba-tiba Dato’ Ezzudin mewahkan I dengan harta dia yang berlambak tu. Memang tak lah papa I nak kasi I  duit, dia tu haji bakhil. Kedekut dengan anak sendiri.” Selamba Nedzrish mengutuk papanya. Dia memang cepat berang jika tiba-tiba nama papanya disebut. Seolah-olah Dato’ Ezzudin bukan papa kandungnya.

“Tak baik tau you cakap macam tu, walau apa pun yang terjadi dia tetap papa you. Habis tu, you dapat duit dari mana?  You kerja ke?” Sepanjang mengenali Nedzrish, tidak pernah sekalipun Amelda menyokong apa-apa kenyataan yang memburukkan papa Nedzrish. Dia berusaha untuk menasihati teman lelakinya agar tidak berterus-terusan membenci papa kandungnya.

“Seorang papa tak akan berkira dengan anak sendiri. Papa I ni antara papa yang terpelik dalam dunia ni, sanggup dia biarkan I pergi kelas redah hujan. Naik motor cabuk tu. Layak ke dia I panggil papa?” Wajah Nedzrish sudah berubah warna. Cara papanya mendidiknya sejak kecil lagi membuatkan dirinya seolah-olah tidak menganggap Dato’ Ezzudin sebagai bapa kandungnya.

“Sayang. I tahu you tak suka papa you, tapi jangan ikut kan sangat kata hati you. Biarkan aje lah apa yang papa you nak buat, mesti dia ada sebab yang tersendiri. I percaya papa you sebenarnya sayang dekat you. Cuma dia tak tunjuk.” Amelda memujuknya lembut.

“Semalam I accident. Tapi I okay je lah, kereta mama I yang rosak sikit dekat bahagian depan. Nak diringkaskan cerita, I dapat duit daripada orang yang I terlanggar tu.” Terang Nedzrish menukar topik perbualan mereka. Dia tidak mahu merosakkan harinya dengan membuka cerita mengenai papanya.

“Sejak bila you boleh drive kereta? Papa you kan tak bagi you drive lepas you accident teruk tu?”

“Kebetulan je sebab semalam motor I rosak, I pinjam kereta mama I untuk ke kampus. Mama jelah yang percayakan I. Jangan harap papa nak bagi muka dekat I, nasib baik bukan kereta dia yang I drive. Kalau tak mahunya mengamuk sakan orang tua tu.”

“Kelakar lah you ni. I rasa you ni tak sesuai lah nak bawa kereta. Rasanya sampai bila-bila you boleh bawa motor je kot. You dengan accident, macam sebati sangat dalam diri you.” Amelda Imani mencebik. Bukan dia tidak tahu perangai Nedzrish yang gemar memandu laju ketika di atas jalan raya.

“Ewah-ewah mulut kau, tak ada tapisan nampak? Main sembur je tak tengok kiri kanan.” Nedzrish menjegilkan matanya mendengar kata-kata Amelda Imani.

“Eh, macam tak biasa. You selalu cakap macam tu dengan I tak apa pulak ya? Mana adil!”

“Rasanya dulu mulut you tak seover ni. Belajar dari mana ha?”

“Belajar dari you lah, I kan ada boyfriend mulut macam longkang.” Tutur Amelda Imani selamba. Dia segera menyambar tas tangannya di atas meja lalu dia ingin bangun meninggalkan Nedzrish.


“Dah puas mengutuk, nak blah macam tu je? Ni siapa nak bayar ni? Bertuah punya girlfriend!” Bebelan Nedzrish hanya dibalas dengan cebikan dibibir Amelda Imani. Nedzrish segera berlalu ke kaunter sementara Amelda Imani menunggunya di luar.