“Rish, ada orang nak jumpa kau.” Nadim yang baru
sahaja pulang dari kerja menegur Nedzrish yang sedang memetik gitar sambil
menyanyikan sebuah lagu. Sudah 3hari sahabatnya itu menumpang di rumah sewanya.
Rumah sewa itu dikongsi bersama rakan-rakan yang lain termasuklah Haiqal
terletak tidak jauh daripada kampus mereka.
“Siapa pulak?
Mel ke? Mana dia tahu aku ada dekat sini?” Jari jemarinya yang tadinya laju
memetik tali gitar serta merta terhenti. Dikerling sekilas wajah sahabatnya yang
kelihatan agak letih.
“Bukan Mel. Kau pergi lah tengok sendiri, dia duduk
dekat kerusi kayu depan rumah ni. Pergi lah Rish. Dia tunggu kau tu.” Ujar
Nadim seraya tersenyum nipis.
“Siapa pulak
ni Nadim? Kau ni main teka teki dengan aku pulak.”
“Pergi jelah keluar jumpa dia sendiri. Aku nak naik
atas dulu, berlengas dah badan aku ni.” Nadim yang masih menyorokkan identiti
sebenar tentang siapa yang ingin berjumpa dengan Nedzrish sudah berlari anak
meninggalkan Nedzrish yang sudah berdiri di muka pintu. Nedzrish hanya menurut
sahaja kata-kata sahabatnya lalu dia segera keluar dari rumah itu.
“Rish…” Sapa suara itu apabila Nedzrish sudah
melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Macam mana Syaq boleh tahu Rish ada dekat sini?”
Soal Nedzrish dingin, dia agak terkejut menerima kedatangan kakaknya yang
tiba-tiba muncul di hadapan rumah sahabatnya. Seingatnya selama ini tiada siapa
pun ahli keluarganya tahu dimana rumah sahabatnya. Nedzrish memang gemar
menyembunyikan diri di situ jikalau dia menghadapi masalah dan mahu melarikan
diri daripada papanya.
“Syaq kan ada nombor telefon kawan-kawan Rish. Apa
susah, Syaq call aje lah Nadim. Tepat
tekaan Syaq, Rish memang ada dekat sini.” Ujar Syaqilah sambil membetulkan
rambut yang sedikit mengerbang ditiup angin.
“Syaq nak apa ni?”
“Syaq nak jumpa Rish. Syaq rindu dekat satu-satunya
adik Syaq yang comel sangat ni. Bosan tau dekat rumah tu tak ada penghibur
jalanan Syaq.” Syaqilah sengaja melembutkan suaranya. Wajahnya tersenyum manja
memandang Nedzrish. Dia yang baru sahaja pulang daripada Dubai kerana ada
urusan kerja di negara itu terkejut apabila mamanya memberitahunya yang adik
bongsunya tidak pulang ke rumah sudah hampir 3 hari.
“Bila Syaq balik? Syaq bukan sepatutnya balik
Malaysia hari Khamis ni ke?” Soal Nedzrish sambil merenung wajah ceria kakaknya.
Selain daripada mamanya, Syaqilah juga sangat mengambil berat tentang dirinya.
Wanita yang berusia 25 tahun itu selalu ada disisi Nedzrish disaat adiknya itu
di dalam situasi yang rumit.
“Sepatutnya memang Syaq balik hari Khamis ni, tapi
mama call Syaq bagitahu yang Rish tak
balik-balik rumah. Mama terpaksa call
Syaq sebab papa tak benarkan mama cari Rish, papa nak Rish balik sendiri. Syaq
balik sebab nak jumpa Rish lah ni.” Terang Syaqilah panjang lebar.
“Kenapa susah-susah balik sini sebab Rish? Mama ni
pun satu lah, tak payah lah risau sangat sampai susah kan akak. Nanti papa
bertambah marah dekat Rish lah. Kerja Syaq macam mana?” Nedzrish bertambah
resah mendengar khabar yang baru sahaja disampaikan oleh kakaknya. Dia bimbang
papanya akan memarahinya lagi hanya kerana Syaqilah pulang ke Malaysia untuk
menemuinya.
“Rish ingat Syaq berani ke nak balik sini kalau
kerja Syaq tak settle? Soal kerja
Syaq, Syaq dah selesaikan semuanya. Syaq bagitahu papa yang Syaq balik Malaysia
awal sebab kawan Syaq masuk hospital, nak pergi melawat dia. Dah, jangan lah
risau ya?”
“Kalau tujuan Syaq datang sini jumpa Rish sebab nak
ajak Rish balik. Syaq lupakan je lah eh? Sebab Rish masih lagi nak duduk dekat
sini, Rish perlukan ruang untuk diri Rish sendiri.” Ujar Nedzrish berterus
terang. Dia kalau boleh tidak mahu berjumpa dengan sesiapa pun terutama ahli
keluarganya buat sementara waktu ini.
“Rish, Syaq tahu bukan senang untuk Rish akur dengan
keputusan papa yang tiba-tiba je nak suruh Rish kahwin dalam masa terdekat ni.
Tapi Rish, sejauh mana pun Rish lari. Masalah tak akan selesai. Bukan masalah
yang kejar Rish, tapi Rish yang perlu bijak untuk selesaikan apa yang perlu
diselesaikan.” Syaqilah menggunakan pendekatan menasihati Nedzrish secara lembut.
Dia tidak mahu terlalu mendesak adiknya seperti apa yang sering dilakukan oleh
papanya. Dia tidak mahu menambah tekanan yang sedia ada yang sedang ditanggung
oleh Nedzrish.
“Syaq nak cakap Rish pengecut sebab larikan diri
daripada menghadapi kenyataan? Suka hati Syaq lah nak cakap apa pun. Rish yang
hadap benda ni semua, jadi Rish sahaja yang tahu apa yang Rish rasa.”
“Syaq tahu bukan Syaq yang sedang menghadapi situasi
ni. Tapi Rish, tolong lah fikir pasal mama. Hari-hari mama risau kan soal Rish.
Rish tak pernah tau tak balik rumah berhari-hari macam ni. Mama langsung tak
tahu Rish ke mana.” Syaqilah terbayang wajah muram mamanya. Sebaik sahaja di
sampai di rumahnya, mamanya terus meluru mendapatkannya. Risau sungguh wajah
wanita yang sudah menjangkau usia 55 tahun itu resah memikirkan tentang anak
bongsunya.
“Syaq bagitahu dekat mama yang Rish okay. Tak ada
apa pun yang mama perlu risaukan sebab Rish tak lari jauh mana pun. Nanti lah
Syaq, Rish masih sakit hati lagi dengan papa. Rish rasa macam tak boleh nak
tengok muka papa sekarang ni.” Ujar Nedzrish bersama keluhan kasar.
“Mama nak Rish balik rumah kita, mama tak nak
sekadar tahu yang Rish okay. Hati ibu mana yang tak risau bila memikirkan
tentang anak dia yang menghilangkan diri. Rish dah tukar nombor kan? Macam mana
mama tak risau? Dia sampai tak tahu nak cari Rish dekat mana. Nak keluar rumah
cari Rish, papa menghalang.”
“Syaq tahu tak bila majlis perkahwinan Rish akan
dilangsungkan?” Soal Nedzrish tiba-tiba menyentuh soal perkahwinannya.
“Kalau tak silap Syaq hujung bulan depan. Papa
dengan mama dah hantar rombongan meminang dah pun.”
“Keluarga sana setuju ke?” Soal Nedzrish
berdebar-debar.
“Terima Rish. Dia orang tu kan kawan lama papa, tak
kan lah dia orang nak tolak pulak.”
Jawapan ringkas daripada kakaknya membuatkan Nedzrish menundukkan wajahnya
lemah. Dia masih lagi mengharapkan agar perkahwinan itu tidak akan
dilangsungkan, namun kecewa yang bertamu di hatinya.
“Rish, walau apa pun yang terjadi Syaq nak Rish tahu
yang Syaq dan mama tak akan tinggalkan Rish seorang diri. Walaupun kami tak
boleh nak buat apa-apa, tapi percayalah Rish. Syaq tak setuju langsung dengan
cara papa ni Rish.” Syaqilah meluahkan apa yang difikirkan olehnya sejurus dia
menerima berita itu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa papanya tidak pernah
berhenti untuk menentukan apa yang seharusnya dilakukan oleh Nedzrish. Tindakan
di luar jangakaan papanya itu turut mendapat tentang daripada dirinya. Namun
siapalah dia untuk bersuara di dalam rumah itu, semua kata-kata papanya sahaja
yang betul.
“Thanks
Syaq. Kau selalu ada saat aku rasa aku dah tak ada siapa-siapa untuk aku
harapkan. Kau dengan mama jelah yang percaya kan aku selama ni.” Ujar Nedzrish
terharu.
“Rish.. Nanti Rish balik lah rumah kita ya? Kesian
dekat mama. Syaq tak sanggup dah nak tengok mama asyik muram je fikirkan
tentang Rish. Balik tau nanti?” Syaqilah memegang erat tangan Nedzrish yang
berada di atas peha lelaki itu.
“Bila Rish rasa Rish nak balik nanti Rish balik lah.
Syaq tolong jagakan mama ya sepanjang Rish tak ada ni? Sampai kan salam Rish
pada mama, katakan dekat dia Rish tak ada niat nak buat mama sedih.” Tutur
Nedzrish sebak memikirkan tentang mamanya. Sejujurna tidak ada sekelumit pun
perasaan marah kepada mamanya, dia terlalu kecewa dengan sikap papanya yang
terlalu dingin dengannya.
“Jangan ambil masa lama sangat, nanti Syaq bosan lah
sorang-sorang dekat rumah tu. Hadap mangkuk ayun dekat rumah tu boleh kena
sakit jantung tau nanti.” Ujar Syaqilah yang merujuk kepada abang sulung
mereka. Nedzrish tertawa kecil mendengarnya.
“Ye lah Syaq. Jangan risau, nanti Rish balik. Dah
lah Syaq pergi lah balik, nanti mama risau pulak.”
“Syaq balik dulu. Syaq tunggu adik kesayangan Syaq
balik rumah kita semula. Take care
dik.” Syaqilah segera berdiri. Sebelum dia berlalu ke keretanya, dia mengeluarkan
beberapa not RM50 lalu diberikan kepada adiknya.
“Syaq.. Tak payah lah.” Nedzrish menolak lembut. Dia
tidak mahu menyusahkan kakanya pula.
“Rish adik akak, bila Rish dalam kesusahan. Syaq
turut rasa kesakitan Rish.” Ungkap Syaqilah penuh makna lalu dia segera
menghulurkan tangannya kepada Nedzrish untuk bersalaman. Nedzrish segera
menyambutnya lalu dikucup tangan wanita itu dengan hormatnya.
“Terima kasih Syaq.”
Nedzrish menunggu disitu sehinga kereta kakanya
hilang dari penglihatannya. Nedzrish meraup mukanya berkali-kali. Dia tahu
walau apa pun yang terjadi dia harus menghadapi kenyataan yang menyakitkan
jiwanya. Dia kemudiannya menapak longlai ke dalam rumah.
*****
“Kalau abang tak suruh Rish kahwin dengan budak
perempuan tu, mesti semua ni tak akan jadi macam ni. Puas hati abang sekarang
anak kita tak balik berhari-hari?” Datin Khalidah meluahkan kekecewaan di
hatinya. Selama ini dia hanya berdiam diri sahaja meskipun apa yang dilakukan
oleh suaminya tidak betul.
“Idah jangan lah salah faham. Abang tak suruh pun
Rish keluar dari rumah kita ni. Dah itu yang dia nak buat masa sekarang ni,
biarkan je lah. Lambat laun dia balik jugak.” Balas Dato’ Ezzudin yang sedang
leka menonton televisyen bersama anak-anaknya. Datin Khalidah yang baru sahaja
selesai mengemas dapur duduk disamping anaknya Syaqilah untuk menyertai mereka.
“Apa yang mama nak risaukan, budak hingusan tu mesti
balik rumah lah. Dia nak pergi ke mana lagi kalau bukan berteduh dekat sini?
Berlagak nak hidup berdikari dekat luar tu.” Nazrief mencelah mengutuk adiknya
Nedzrish. Hatinya melonjak girang apabila diberitahu oleh mamanya yang adik
bongsunya tidak pulang ke rumah lebih daripada 3hari. Sekurang-kurangnya dia
tidak perlu merasa sakit hati kerana setiap kali mereka bertembung pasti akan
mencetuskan perbalahan.
“Ha. Macam itulah cara orang matang berfikir. Bukan
nya asyik nak manjakan budak Nedzrish tu. Anak bongsu awak tu dah besar lah
Idah, dia dah nak jadi suami orang dah pun. Tak payah lah awak layan dia macam
budak kecil.” Dato’ Ezzudin pantas bersuara menyokong kata-kata anak sulungnya.
Nazrief memang selalu sependapat dengan papanya, kerana itu dalam kalangan
adik-beradiknya dia yang paling rapat dengan papanya.
“Saya bukan manja kan Rish. Tapi apa yang abang buat
ni tak kena caranya. Kalau betul nak ajar Rish supaya lebih bertanggungjawab,
banyak lagi caranya abang. Idah tak rasa dengan perkahwinan yang terpaksa ni
Rish akan berubah.” Datin Khalidah masih lagi berusahaha untuk menasihati
suaminya. Dia tidak mahu anaknya Nedzrish hidup tertekan kerana hidupnya sering
sahaja diatur oleh Dato’ Ezzudin.
“Tak ada cara lain lagi nak ajar budak tu. Kalau
abang terus berdiam diri, sampai bila-bila pun Rish akan jadi budak tak ada
masa depan.” Tutur Dato’ Ezzudin tegas. Tiada siapa pun boleh mengubah
keputusan yang sudah dibuat.
“Sampai hati papa cakap anak sendiri tak ada masa
depan. Papa tak pernah nak faham Rish kan? Pernah ke papa tanya dia, apa yang
dia nak dalam hidup dia? Pernah tak papa
fikir tentang perasaan Rish?” Syaqilah yang sedari tadi hanya menjadi patung
cendana, mulai bersuara meluahkan pendapatnya.
“Dik, kau tak payah lah nak pertahankan sangat adik
kesayangan kau tu. Pernah ke selama ni dia fikir tentang perasaan papa? Budak
tu dah banyak menyusahkan papa, tengok ajelah cara dia belajar. Entah bila lah
papa ni nak tengok anak bongsu dia graduate.
Budak pemalas macam tu memang patut di ajar.”
“Rief. Mama tak suka Rief cakap macam tu. Jangan
terlalu prejudis terhadap Rish, dia bukan seperti mana yang abang dan Rief
fikirkan selama ni. Dia tak pernah diberi peluang macam orang lain. Sebab tu
dia jadi memberontak.” Datin Khalidah memarahi Nazrief yang terlalu lantang
bersuara.
“Tak ada salahnya apa yang Rief kata tu. Abang
setuju sebab hanya Rief seorang saja yang faham tindakan abang semua ni hanya
untuk kebaikan Nedzrish. Sudah Idah, Syaqilah. Keputusan papa tak akan pernah
berganjak. Rief tetap akan berkahwin dengan Qalish. Noktah.” Dato’ Ezzudin
menamatkan bicaranya tentang Nedzrish lalu dia bingkas bangun dan menuju ke
tingkat atas. Nazrief juga turut mengikut langkah kaki papanya, semakin lama
dia disitu bimbang akan dibebel oleh mamanya pula. Datin Khalidah dan Syaqiah
memandang sesama sendiri dan kedua-duanya melepaskan keluhan kecil.
******
Ammar Riyadh memicit kepalanya yang tiba-tiba
berdenyut itu. Wajah kosong Qalish dipandang dengan perasaan yang sukar untuk
difahami. Suasana sepi melingkari mereka berdua selepas Qalish memberitahu yang
tidak lama lagi dia akan berkahwin dengan pilihan orang tuanya. Hampir saja
Ammar Riyadh mahu rebah saat kekasihnya memberitahu tentang itu. Dia tidak
sangka begitu cepat semuanya berlaku.
“Yadh tak sangka abah Lish sanggup pisahkan kita. Kita
bercinta dah lama Lish, bukan sehari dua. Bukannya abah dan umi Lish tak kenal
Yadh ni siapa.” Ujar Ammar Riyadh setelah lama menyepi.
“Yadh jangan nak salahkan abah Lish ya. Why not Yadh
tengok diri Yadh sendiri sebelum nak salahkan orang lain.” Balas Qalish Audrina
bersama jelingan sinis.
“Kenapa dengan Yadh? Apa yang Yadh dah buat Lish?
Yadh tak pernah pun inginkan semua ni berlaku. Gila lah kalau Yadh sanggup
lepaskan Lish pergi dekat lelaki lain.” Soal Ammar Riyadh bertalu-talu. Wajahnya
jelas tertekan dengan kebenaran yang amat melukakan hatinya.
“Ni semua berpunca daripada Yadh tahu tak! Abah buat
keputusan macam tu sebab sikap Yadh tak tak serius dengan hubungan kita. Dah
banyak masa Lish bagi untuk Yadh fikir tentang hala tuju hubungan kita, tapi
Yadh tak pernah hargai. Yadh sia-sia kan kesetiaan Lish selama ni.”
“Yadh cuma minta masa lagi setahun je. Tak kan lah
itu pun dah dikira keterlaluan? Setahun je lah Lish, lepas tu Yadh akan nikahi
Lish. Siapa cakap Yadh tak serius? Yadh hampir nak gila tau bila tahu Lish akan
berkahwin dengan lelaki lain.” Ammar Riyadh menguak kasar rambutnya yang sudah
panjang itu. Dia benar-benar kusut waktu itu. Dia tidak rela untuk melepaskan
Qalish Audrina namun dia bukan lah seorang yang tidak berpegang pada prinsip
hidupnya.
“Parents
mana yang boleh tahan tengok hubungan anak dia terlalu lama tanpa sebarang
perbincangan untuk ke arah lebih serius? Selama 4tahun Lish dengan Yadh, tak
pernah sekalipun Yadh bincang soal kahwin dengan Lish. Lish ni hanya perempuan
simpanan Yadh saja kan?” Qalish Audrina sudah tidak mampu menahan rasa kecewa
dihatinya. Dia benar-benar bingung, di hatinya kini penuh dengan rasa marah
terhadap umi dan abahnya serta Ammar Riyadh.
“Sayang! Apa sayang cakap ni? Jangan cakap benda
yang menyakitkan hati Yadh. Tolonglah Lish, Yadh tak nak hilang Lish. Tolong katakan
pada Yadh, yang semua ni dusta semata-mata? Lish tetap jadi milik Yadh sampai
bila-bila kan?” Ammar Riyahd menggoncang-goncangkan tubuh langsing Qalish
Audrina bersama kolam matanya yang mula bertakung dengan air mata.
“Lish bukan milik Yadh lagi. Lish tak nak ada
apa-apa hubungan lagi dengan Yadh. Tak lama lagi Lish dah nak jadi isteri
orang. Suka ataupun tidak Lish tetap kena tinggalkan Yadh dan belajar untuk
setia dengan bakal suami Lish.” Ujar Qalish Audrina tanpa menoleh sedikit pun
kepada Ammar Riyadh yang masih setia merenung wajahnya. Qalish terpaksa
menuturkan kata-kata yang dia sendiri benci untuk luahkan. Dia tidak mahu
melupakan kisah cintanya bersama Ammar Riyadh kerana dia merasakan lelaki itu
cukup sempurna untuknya. Namun ketentuan sudah membataskan hubungan cinta
mereka.
“Sayang. Yadh jumpa dengan family Lish. Yadh akan explain
dekat parents Lish. Yadh akan
berjanji depan diaorang yang kali ini Yadh tak main-main lagi dah. Yadh serius.
Kalau Lish nak, Yadh masuk meminang bulan depan. Lepas tu kita kahwin, nak?”
Ammar Riyadh seakan-akan terdesak. Dia menuturkan kata-kata itu tanpa berfikir
terlebih dahulu. Di dalam fikirannya hanya memikirkan cara untuk tidak
melepaskan Qalish pergi bersama lelaki lain.
“Kenapa baru sekarang Yadh? Kenapa bila Lish dah nak
pergi dari hidup Yadh, Yadh baru nak buat semua ni? Yang sememangnya Lish
tunggu dari dulu lagi. Kenapa baru sekarang?” Qalish menyoal bertubi-tubi. Dia
turut terseksa terpaksa menghadapi situasi yang tidak pernah dia terfikir dia
akan hadapi saat-saat sukar ini.
“Sebab Yadh tak nak hilang satu-satunya perempuan
yang mampu buat Yadh tersenyum. Yadh serius ni Lish, kita kahwin. Lish lupakan
tentang bakal suami Lish yang Lish tak pernah kenal. Ini saat yang Lish tunggu
selama ni kan? Yadh akan tunaikan, bae.” Ujar Ammar Riyadh bersungguh-sungguh. Hanya
gelengan yang dibalas oleh Qalish bersama deraian air mata.
“Kenapa Lish? Lish dah tak cinta kan Yadh ke?”
“Lish cinta kan Yadh. Hanya Ammar Riyadh seorang
saja yang layak ada dalam hati ni. Tapi semuanya dah terlambat Yadh. Kalau Yadh
datang rumah sekalipun, umi dan abah tak akan terima.” Ammar Riyadh terkedu.
Dia sangkakan Qalish Audrina akan menunggunya sehingga dia bersedia untuk
mengahwini wanita itu, namun lain pula yang berlaku.
“Tapi Yadh tak tahu macam mana caranya nak hidup
tanpa Lish. Yadh dah terbiasa setiap hari dengar gelak tawa Lish. Macam mana
dengan hidup Yadh nanti?”
“Yadh nak sangat bina kerjaya Yadh sampai Yadh puas
hati kan? Now, Yadh boleh buka
seberapa banyak cawangan cafe Yadh. Yadh boleh kejar apa yang Yadh impikan
selama ni. Finally Yadh lepaskan Lish pergi bersama lelaki lain. Thank you so much, Ammar Riyadh.”
Sesudah menghabiskan ayatnya yang terakhir, Qalish Audrina segera berdiri.
“Bae,
dengar dulu Yadh nak cakap ni sayang..” Ammar Riyadh merayu sayu. Qalish
Audrina menepis kuat tangan yang sudah mula memaut lengannya. Dia tidak mahu
berada lama-lama disitu kerana bimbang dia akan lebih terluka melihat keadaan
Ammar Riyadh yang berduka di atas perpisahan mereka. Dia tahu lelaki itu bukan
tidak mencintainya, namun dia tidak punya kekuatan untuk membantah kata-kata
orang tuanya.
No comments:
Post a Comment