“Hei kawan! Asal jumpa aku
je muka kau monyok, asal aku lepak dengan kau je muka kau tak ceria. Kenapa ni
kawan?” Haiqal menepuk lembut bahu Nedzrish untuk menyedarkan sahabatnya itu
daripada lamunan pendeknya.
“Susah hati lah bro.. Itu pasal muka tak ada senyum.”
Nedzrish membalas senyuman Haiqal dengan senyuman yang hambar. Dia meneguk
sedikit air milo panas yang dipesannya sebentar tadi.
“Kenapa pulak ni Rish? Cuba cerita apa masalah
kau, mana tahu aku boleh tolong.”
“Dah 3hari aku cari
kerja, tapi tak ada satu pun kerja yang
berkenan dengan jiwa aku.”
“Lah, kau tak dapat
kerja lagi? Bukan ke 2hari lepas kau kata kau dah dapat kerja dekat kedai
kasut?”
“Itu 2hari lepas punya
cerita, harini aku dah tak kerja. Aku kerja 1jam je, lepastu aku kena buang.”
Cerita Nedzrish bersama wajahnya yang agak sugul.
“Hah?! Kerja hanya 1jam
je? Kau buat apa Rish sampai kena buang?” Jelas wajah Haiqal mempamerkan reaksi
tidak percaya mendengar cerita sahabatnya.
“Entah, mana lah aku
tahu.”
“Hei Rish, mana ada
majikan berhentikan pekerja dia tanpa sebab. Kau ni biar betul, cerita perkara
yang sebenarnya dekat aku.” Desak Haiqal agak keras. Kadangkala dia tidak gemar
dengan sikap Nedzrish yang sering saja tidak serius dalam semua perkara.
“Aku tertumpahkan cat
warna merah dekat kasut yang berharga RM100 setiap satu.”
“What?!! Kau kerja dekat kedai kasut ke kau kerja dekat kedai cat?
Ataupun kau mengecat rumah orang?” Sindir Haiqal bersama sisa tawanya. Dia
memandang Nedzrish seraya menggelengkan kepalanya mendengar kelakuan Nedzrish
yang seperti budak kecil saja lagaknya.
“Aku kerja dengan
along, simbah cat dekat muka kau! Tak kelakar pun Qal! Aku bukan sengaja lah.
Tak kan lah aku ni bodoh sangat sampai susahkan diri sendiri.” Dia sudah
mengetap bibirnya tanda geram. Insiden kelmarin terlayar kembali di ingatan nya
disaat dia dimarahi teruk oleh bekas majikannya.
“Tak sengaja kau cakap.
Kan dah menyusahkan diri kau sendiri sekarang ni. Berapa banyak kasut yang
terkena cat tu?”
“Ada la dalam 4 pasang.”
“4pasang maknanya RM400
kau kena bayar dekat dia? Kau memang cari nahas lah Rish. Ni kalau bapak kau
tahu teruk kau kena marah dengan dia ni Rish.”
“Aku dah malas nak
fikir lah, buat aku sakit kepala je. Daripada otak aku serabut fikir soal ni,
lebih baik aku kerja lain.”
“Nak tak nak kau kena
fikir juga Rish. Kau kena cari jalan penyelesaian untuk bayar balik ganti rugi
kat bekas majikan kau tu.” Haiqal sudah panggung kepala. Selalunya jikalau
teman baiknya didalam kesusahan, dia yang akan berusaha untuk mencari jalan
penyelesaian untuk menyelesaikan masalah Nedzrish. Nedzrish seperti biasa,
tidak ambil peduli setelah dia buat hal.
“Yelah.. Sebab tu lah
aku datang jumpa kau ni Qal. Cina tu bagi aku tempoh 10hari je untuk aku bayar
balik duit dia. Satu sen pun aku tak bayar lagi. Aku mana ada duit.”
“Kau nak guna duit aku
dulu ke Rish? Aku boleh bagi, tapi aku cuma boleh bantu sikit je lah. Setakat
RM150 tu aku adalah. Lebih-lebih aku sendiri pun nak guna jugak.” Ujar Haiqal
jujur.
“Tak payah lah Qal. Aku
tak nak susahkan kau pulak. Kau pun
dah banyak tolong aku settle kan
masalah aku yang mengarut-mengarut ni. Benda ni tak patut terjadi pun.” Dalam
diam dia mengakui kesilapan dirinya yang tidak pernah cuba untuk
bersungguh-sungguh dalam apa saja yang dia lakukan.
“Aku ingat kan hati kau
ni konkrit sangat lah. Ada jugak hati sebenarnya kau ni. Dah tahu diri tu
selalu cuai, tak pernah nak belajar untuk jadi lebih baik.”
“Ye tuan. Aku tahu aku
salah, dah lah. Aku datang sini bukan nak dengar kau memekak ceramah aku. Salah
aku, puas hati?”
“Kau nak minta tolong
aku cari kan kerja untuk kau ke? Kau nak kerja macam mana?” Haiqal pantas
mengubah topik perbualan mereka apabila dilihat Nedzrish sudah bosan mendengar
bebelannya. Dia tidak mahu lelaki itu bertambah tertekan.
“Halal. Kerja yang mudah,
tak serabut kan kepala otak aku. Yang penting aku tak nak kerja pagi-pagi buta.
Selepas pukul12 okay.”
“Memang susah lah kau
nak dapat kerja Rish. Kau ni memilih betul lah.”
“Bukan memilih lah,
kalau kau suruh aku angkut sampah pun aku sanggup. Tapi jangan lah kerja tu
ganggu tidur aku. Pagi-pagi untuk masa aku terbongkang atas kati. Ada faham?”
“Kau ni dah jauh
tersasar sangat dah ni kawan. Setahu aku, pagi-pagi adalah waktu untuk keluar
cari rezeki. Ini lah anak melayu, pemalas. Lebihkan tidur daripada keluar
bekerja cari duit. Macam mana lah kau ni Rish.”
“Kau nak tolong aku tak
ni Qal? Kalau kau nak teruskan hujah-hujah kau nasihat aku, aku rasa elok aku
balik dulu.” Nedzrish yang mahu mencapai topi keledar di sudut meja makan itu,
tiba-tiba tangannya ditepis oleh Haiqal.
“Kau ni lembik lah.
Cakap sikit nak lari. Haish. Mana boleh aku biarkan kau terkontang-kanting
sorang-sorang walaupun kau ni sebenarnya terlampau banyak susahkan orang.”
“Macam ni lah orang
putih panggil, blood brother!”
Nedzrish tersenyum nipis. Dia tahu meskipun Haiqal agak keberatan untuk
membantunya pada awalnya, namun teman baiknya itu tetap akan membantunya walau
apa pun masalah yang dihadapinya.
“Kebetulan kawan aku
perlukan orang. Kau reti kan betulkan motor?”
“Motor? Kapal terbang
pun boleh. Tak ada masalah bro.”
Jawab Nedzrish seraya tersengih menampakkan giginya yang sedikit jarang.
“Kalau macam tu kau
kerja atas kapal je lah senang. Kau kan hebat dalam semua benda.”
“Agak-agak lah bro nak perli aku pun. Bengkel dia buka pukul
berapa?”
“Dah kau tu, bercakap
pun nak main-main. Kau kerja dengan dia daripada pukul 12 tengah hari sampai
pukul 6 petang. Boleh?”
“Eh, cantik sangat lah
tu. Kira aku dah boleh kerja esok ke Qal?”
“Kau nak kerja sekarang
pun boleh, itupun kalau kau rajin lah.”
“Qal aku serius ni!”
Nedzrish menyepak kuat kaki Haiqal yang tidak jauh dari kerusinya.
“Tahu pun kau nak
marah, bila aku serius, kau main-main. Ye Rish, esok kau dah boleh mula kerja
dengan dia. Tapi kau kena janji dengan aku jangan malu kan aku dengan perangai
tak semegah kau ni?”
“Kau ni sama lah macam
papa aku. Tak boleh nak bagi kepercayaan dekat aku langsung.”
“Woi! Kalau aku sama
macam papa kau, dah lama aku biar kau merana sorang-sorang cari kerja. Cakap
biar elok sikit bro.”
“Heh. Cakap sikit nak
sentap. Yelah-yelah aku kerja bagus-bagus. Tak buat hal dah lepas ni.”
“Boleh percaya ke kau
ni?”
“Senang macam ni, kalau
kau rasa muka aku ni macam muka penjenayah suka tipu orang. Kau tak payah
tolong aku. Habis cerita.” Nedzrish bingkas mencapai topi keledarnya lalu dia
menghanyunkan kakinya menuju ke arah motorsikalnya. Haiqal hanya mampu
melakarkan senyuman sinis melihat sikap rakannya yang sukar untuk diduga itu.
*****
Qalish Audrina baru
sahaja mahu memulakan kerjanya selepas dia pulang semula ke butiknya setelah
menjamu selera. Dia yang hendak mengambil sehelai kertas di sisi kirinya,
tiba-tiba dia terpandangkan beg kertas serta sejambak bunga ros merah yang
terletak elok di sisi komputer ribanya. Tanpa menunggu lama dia terus mencapai beg
kertas itu untuk melihat apa yang ada didalamnya. Qalish Audrina melakarkan
senyuman nipis saat tangannya menyentuh bekas minuman kegemarannya, dia sudah
dapat mengagak siapa pemberi hadiah itu. Sudah tentu Ammar Riyadh, kerana
lelaki itu sahaja yang mengetahui apa yang digemarinya dan apa yang tidak
disukainya. Tiba-tiba dia terkenangkan saat manis mereka berdua sebelum dia
dipaksa berkahwin dengan Nedzrish Eskandar. Setiap hari dia akan mengunjungi
kafe Ammar Riyadh yang tidak jauh dari butiknya, lelaki itu pasti akan
membancuh sendiri minuman kegemarannya. Kemudian tangannya beralih pula kepada
kotak kecil yang mengandungi kek kegemarannya, red velvet. Di atas kotak kecil itu pula terdapat sekeping nota
untuknya, dengan penuh teliti dia membaca setiap bait perkataan yang ditulis
oleh Ammar Riyadh.
“Yadh rindu semua tentang kita Qalish Audrina. Yadh rindu Qalish yang
selalu datang teman Yadh kerja dekat kafe Yadh. Yadh rindu sangat nak tengok
Lish tersenyum disamping Yadh. Yadh terlalu rindukan semuanya Lish. Kalau lah
dalam dunia ni ada pilihan untuk kembalikan waktu, Yadh lah orang pertama yang
akan kembalikan waktu kepada dulu. Sebelum Lish selamat bergelar isteri kepada
lelaki tu. Yadh tahu semua ni salah Yadh, tapi tak ada ke peluang untuk Yadh
sayang? Ataupun Lish sudah bahagia dengan suami Lish? Lish dah lupakan Yadh? I
miss you.. So much. Yadh rindukan bae Yadh :(…”
Qalish Audrina sudah
menangis teresak-esak sebaik sahaja dia selesai membaca surat daripada bekas
kekasihnya. Dia tahu lelaki itu amat tersiksa dengan perpisahan mereka namun
untuk menolak perkahwinan antara dia dan Nedzrish Eskandar, dia tidak punya
kudrat untuk melakukannya.
“Kalau Yadh fikir Lish
tengah bahagia sekarang ni, tak Yadh. Yadh silap. Setiap malam Lish menangis
bila teringatkan semua janji yang pernah kita buat dulu. Lish rindu sangat.”
Qalish bermonolog sendirian seraya memejam matanya rapat-rapat. Kertas itu
dibawa ke dadanya dan di cukup merasakan ada sesuatu yang menyesakkan dadanya
kala itu.
“Lish.. Kau okay?”
Sofina menyapa lembut Qalish Audrina yang sedang bersandar di kerusi kerjanya.
Dia dapat melihat ada air mata jernih mengalir di pipi mulus temannya.
“Eh, Sofi. Ada apa cari
aku? Ada customer nak jumpa aku ke?”
Soal Qalish kalut kerana tidak menyedari Sofina sudah pun masuk ke dalam
biliknya. Dengan pantas dia terus menyeka sisa airmatanya.
“Tak. Tak ada siapa pun
cari kau. Aku cuma nak inform dekat
kau yang Datuk Izlan nak ubah appointment
kau dengan dia. Esok malam dia ada hal.”
“Dia nak tukar kepada
hari apa?”
“Lusa, lunch hour. Boleh?”
“Cuba kau check jadual aku, lusa tu aku ada
apa-apa tak?” Pinta Qalish Audrina kerana dia sendiri tidak mengingati jadual
kerjanya.
“Tak ada pun. Dalam
jadual kau ni kau memang free.”
“Okay kalau macam tu
kau tolong comfirm kan dengan Datuk
Izlan.”
“Baik boss. Eh Lish, kau
sihat tak sebenarnya?”
“Aku okay lah. Kenapa
tanya macam tu?” Qalish memandang Sofina dengan pandangan yang pelik. Dia
seboleh-bolehnya melakarkan senyuman manis untuk menutupi kesedihannya.
“Qalish.. Dengan orang
lain mungkin kau boleh tipu. Tapi dengan aku, tak ada ruang sikit pun kau nak
tipu aku tau.” Seperti biasa, Sofina sememangnya handal dalam bab-bab mengorek
rahsia teman baiknya.
“Kan aku dah cakap, aku
tak apa-apa. Aku sihat je ni, sayang. Apa yang kau nak risau sangat ni Sofi?”
“Macam lah aku tak tahu
yang kau baru lepas menangis. Kenapa pulak ni Lish? Yadh ganggu kau lagi ya?”
Tanpa disuruh Sofina terus melabuhkan punggungnya di hadapan Qalish Audrina
yang sedang meneguk sedikit minuman kegemarannya.
“Mana ada dia kacau
aku. Dia cuma hantar minuman dengan kek kegemaran aku. Itu je.”
“Kau tak rasa ke yang
dia tu buat semua ni sebab nak dapat kan kau balik? Kau selesa ke dengan
keadaan macam ni?” Sofina hairan mengapa Ammar Riyadh masih tidak mengalah
daripada menganggu hidup Qalish Audrina meskipun lelaki itu sudah mengetahui
perempuan itu telahpun berkahwin.
“Habis tu kau nak suruh
aku buat apa Sofi? Dia sendiri yang nak bagi semua ni, aku tak minta pun. Bila
orang dah bagi, tak kan nak tolak kan? Aku ambil je lah.”
“Senang nya kau cakap.
Kau sedar tak status kau yang sekarang dengan kau yang dulu tu dah jauh
berubah? Kalau kau dengan dia masih lagi kekasih, dia nak bagi kau satu lori
kek red velvet pun aku tak kisah lah. Masalahnya sekarang ni kau dah
berkahwin.”
“Aku dah pernah
bagitahu dia yang aku tak nak ada apa-apa lagi dengan dia. Aku bukan tak pernah
cakap dengan dia supaya jangan kacau aku lagi. Dah berbuih mulut aku ni marah
dia. Tapi kau tengok sendiri lah, dia tu kan keras kepala.” Qalish Audrina
menghela nafas berat. Dia juga bingung dalam menangani situasi ini. Walaupun
tidak ada sekelumit cinta untuk suaminya namun dia tetap harus menjaga batasnya
sebagai isteri yang sah kepada seorang lelaki.
“Kau kena tegas sikit
dengan dia Lish. Ini dia baru kacau kau je tau, kalau dia kacau suami kau macam
mana? Aku tahu kau dengan suami kau tak suka each other, tapi sebagai seorang lelaki. Suami kau tetap akan rasa
tak selesa kalau ada lelaki lain kacau rumah tangga kauorang.”
“Hmm... Aku harap dia
tak bertindak sejauh tu lah. Aku tak nak sampai Rish tahu aku tentang aku
dengan Yadh.”
“Kalau kau tak nak
benda ni berlarutan, kau sendiri kena ambil serius. Kau pergi jumpa Yadh.
Terus-terang dengan dia tentang perasaan kau. Suruh dia lupakan kau kalau dia
betul-betul sayangkan kau. Cakap dengan dia kau nak fokus dengan rumah tangga
kau. Anggap sajalah antara kauorang berdua memang tidak ada jodoh.” Panjang
lebar Sofina menasihati temannya kerana dia tidak mahu rumah tangga Qalish
Audrina hancur angkara orang ketiga.
“Aku tak nak jumpa dia
lah Sofi. Kau tahu kan aku masih sayangkan dia. Aku tak mampu nak berhadapan
dengan dia selagi hati ni milik dia.”
“Kau kena lawan
perasaan kau ni Lish. Jangan terlalu ikutkan sangat desakan hati kau. Kau perlu
buat semua ni, kalau dibiarkan nanti aku takut keluarga kau dan suami kau tahu
tentang ni.”
“Hmm. Yelah-yelah..
Nanti aku cuba slow talk dengan Yadh.
Thank you for your advise.” Qalish
Audrina memegang erat tangan Sofina. Dia berasa sedikit lega kerana telah
meluahkan sedikit demi sedikit rasa hatinya kepada teman baiknya itu.
“Tak ada masalah. Kalau
kau ada apa-apa nak cerita, kau cerita je dekat aku. Aku tak nak kau pendam
masalah kau sorang-sorang.”
“Baik lah doktor cinta.
Saya ikut nasihat awak. Awak tak ada kerja nak buat ke? Ke awak nak goyang kaki
dalam bilik saya ni sampai bulan depan?” Sengaja Qalish Audrina ingin mengusik
teman baiknya itu yang dilihat tidak mahu keluar dari biliknya untuk menyambung
kembali tugasannya.
“Eh. Eh. Amboi. Tahu
lah dia boss. Halau kita nampak?”
“Mana ada halau. Cuma
tanya bila kau nak sambung kerja kau yang berlambak tu?”
“Yelah-yelah.. Aku nak
sambung lah ni. Kau tu jangan nak berangan je, kerja pastikan jalan!”
“Eh, mengarah boss
nampak?”
“Tak salah kan saling
menasihati? Hehehe.. Lawa lah bunga ros ni. Kau mesti tak nak kan? Daripada kau
biar dia terbuang, lebih baik kau bagi aku.” Tanpa sempat Qalish Audrina mahu
berkata apa-apa, tangan Sofina pantas menyambar jambangan bunga yang terletak
di atas meja Qalish. Dia berlalu keluar dari bilik temannya itu dengan sengihan
di bibirnya. Qalish hanya menggelengkan kepalanya melihat kerenah Sofina yang
amat sukakan bunga ros.