Qalish Audrina keluar
semula setelah dia menyalin pakaiannya. Dia menapak mendekati kerusi kayu di
luar rumah mereka. Matanya sesekali mencuri pandang suaminya yang sedang tekun
mengelap kenderaannya. Keretanya baru selesai dicuci oleh Nedzrish. Dalam diam
dia mengulum senyum. Meskipun dia tidak tahu mengapa suaminya beria-ria mahu mencuci
keretanya. Dia kemudiannya masuk semula ke dalam rumah.
“Apa yang susah sangat
nak basuh kereta sendiri? Tak sampai satu hari satu malam pun kau basuh kereta
tu, itu pun malas.” Omel Nedzrish sambil melemparkan kain di atas lantai.
Selesai mencuci tangannya, dia menapak menuju ke isterinya yang sedang menuang
air ke dalam mug.
“Saya mana ada masa.”
Balasnya pendek. Malas mahu bertelagah lebih panjang dengan Nedzrish yang tidak
pernah mahu beralah.
“Lish, kau tu bukan tak
ada masa. Tapi sebab nilai wang tu dah tak ada erti pun bagi kau, kau tak kisah
pun berapa banyak duit yang kau keluarkan. Walhal kereta tu kau boleh basuh
sendiri.” Wah.. Nedzrish, sudah pandai menasihati orang.
“Saya tak pernah basuh
kereta sendiri. Selalunya saya hantar car
wash je. Lagipun kan senang, dekat sana diaorang tahu lah nak buat apa.”
“Senang je kau cakap
kan. Kereta tu kau beli hasil titik peluh kau jugak kan? Sepatutnya kau sayang
nak bagi orang lain sentuh kereta kau, ini tidak. Tak ambil peduli langsung.”
“Relaks lah Rish. Zaman
sekarang ni semuanya kan dah mudah. Jadi kenapa kita nak pusing kepala
merumitkan sesuatu yang mudah?” Ujarnya memberikan pendapatnya. Dia
kadang-kadang tidak mengerti mengapa Nedzrish gemar membesarkan hal yang kecil
baginya.
“Itulah kau, ambil
mudah. Kau ni sama ajelah dengan orang-orang kat rumah aku tu. Pemalas nak
basuh kereta sendiri.” Selamba dia mengutuk ahli keluarganya sendiri. Cuma
mamanya sahaja yang rajin membasuh keretanya sendiri. Kakak, papa dan abangnya
tidak pernah mencuci kereta mereka sendiri. Mereka seperti Qalish, mengambil
jalan mudah untuk tidak mahu pening kepala.
“Eh tak lah, Abang Rief
kan tak pernah biarkan orang lain basuh kereta dia. Dia basuh sendiri lah.”
Qalish Audrina tiba-tiba teringatkan akan perbualan pertamanya dengan abang
iparnya sewaktu dia masih tinggal di rumah ibu bapa Nedzrish.
“Kau buat cerita apa
ni? Bila masa mamat bongkak tu basuh kereta sendiri?”
“Ada lah Rish. Masa
kita mula-mula kahwin dulu saya nampak Abang Rief basuh kereta sendiri. Dia
siap bagitahu saya lagi yang dia tak suka hantar kereta dia kat car wash, dia tak suka orang lain sentuh
kereta dia.”
“Kau percaya lah cakap
mamat tu. Aku ni hidup dengan dia dari umur aku setahun jagung lagi, tak pernah
pulak Rief tu basuh kereta sendiri.
Agaknya haritu dia dah buang tebiat kot.” Ujarnya seraya meneguk kopi panas
yang dibancuh oleh isterinya.
“Tak baik lah awak ni.
Abang awak tu kan.”
“Aku kenal lah abang
aku macam mana. Kau tak payah lah nak kenalkan aku dengan watak abang aku
sendiri. Sebab aku dah cukup masak dengan perangai sorang-sorang dalam rumah
tu.” Ujarnya mendatar. Qalish perasan, apabila berbicara mengenai papa dan
Abang Rief, pastinya suaminya akan mempamerkan reaksi tidak senang. Dia masih
tidak menemui jawapan untuk persoalannya.
“Kenapa awak tak suka
dengan Abang Rief? Awak ada masalah apa dengan dia?” Soalnya lembut. Kalau
hendak tunggu suaminya buka mulut dahulu, alamatnya sampai ke sudah dia tidak
akan tahu.
“Nah, kunci kereta
kau.” Nedzrish tidak membalas pertanyaan isterinya. Sebaliknya, dia menyerahkan
kunci kereta isterinya.
“Terima kasih sebab
tolong basuh kan kereta saya. Hmm, dari jauh nampak berkilat.”
“Tengok orang lah!”
“Awak ni pernah kerja
dekat kedai cuci kereta ke? Handal semacam je masa awak basuh kereta saya tadi?”
Gila tak handal, sampai berkilat-kilat kereta kau aku buat. Memang terror lah
jawabnya!
“Kerja apa je yang aku
tak pernah buat Lish? Cuci kereta orang, jaga tempat letak kereta, jadi cashier, jual goreng pisang tepi jalan.
Semua aku pernah buat.”
“Awak biar betul? Tapi
bila awak kerja?” Soalnya dengan nada tidak percaya. Masakan bapa mertuanya
tidak menanggung Nedzrish sehingga lelaki itu terpaksa cari duit sendiri?
“Kau tengok jelah aku
yang sekarang ni. Kau tengok motor apa yang aku pakai, kau tengok cara hidup
aku. Kau sendiri tahu jawapannya.”
“Tak kan papa tak bagi
awak duit?” Soalnya lagi.
“Papa bagi aku duit,
tapi tak pernah nak cukup.”
“Awak, boleh saya tanya
sikit?”
“Tanya jelah, tak payah
nak minta izin.”
“Kenapa saya nampak
awak tak macam anak-anak papa yang lain? Yelah, macam Abang Rief dan Syaq,
mereka ada kereta sendiri. Papa pun selalu cakap elok-elok dengan diaorang.
Tapi kenapa bila dengan awak, papa macam lain eh?” Berhati-hati dia melontarkan
soalan. Bimbang kalau soalannya membuatkan suaminya tidak senang untuk
menjawabnya.
“Diaorang ada kereta
sendiri sebab diaorang tu kerja lah. Aku kan belajar lagi.” Sangkal Nedzrish.
Meskipun dia tahu kesemua kemewahan yang dinikmati oleh abang dan kakanya
bukanlah hasil titik peluh mereka sepenuhnya.
“Tapi kenapa papa tak
bagi awak kereta? Kan bahaya naik motor. Motor tu papa yang beli kan ke?”
Qalish Audrina masih lagi gigih mengorek rahsia daripada suaminya.
Sekurang-kurangnya Nedzrish sudah mula mahu berbicara dengannya mengenai diri
lelaki itu.
“Kalau papa nak belikan
aku motor, tak kan lah motor cabuk tu yang dia bagi. Kan? Dia mampu nak beli
kan motor yang lagi gah dari itu. Kau sendiri tahu, bapak mertua kau tu ahli
korporat tersohor.”
“Tahu. Sebab tu lah
saya pelik. Papa awak kan kaya, kenapa
anak dia yang sorang ni hidup macam orang tak ada duit?” Kadangkala dia
bersimpati melihat suaminya. Bukan dia tidak tahu sekarang ini suaminya
bekerja, cuma dia tidak tahu sahaja suaminya kerja apa. Pernah sekali dua
ketika Nedzrish sedang mandi, dia melihat beg duit suaminya hanya ada beberapa
keping wang kertas bernilai RM5 sahaja.
“Entah, mana lah aku
tahu. Tanya lah dia sendiri.” Ringkas jawapannya. Dia tidak terfikir lagi untuk
menceritakan tentang hubungan dinginnya dengan papanya kepada Qalish.
“Okay. Awak, lain kali
kalau saya nak cuci kereta saya…
“Aku boleh basuh kan.
Tak payah hantar kedai!” Laju dia memotong kata-kata isterinya. Nedzrish adalah
seorang insan yang tidak suka akan pembaziran.
“Nak upah tak?”
“Tak payah lah. Aku
ikhlas.” Senyum. Aduh, Qalish Audrina terasa mahu lari dari situ sahaja. Comel
juga laki aku ni….
“Tapi! Kau kena masak
untuk aku!”
“Kan itu memang tugas
saya setiap hari Rish. Hari-hari saya masak untuk awak.”
“Heh. Hari-hari lah
sangat. Apa pasal hari ni aku buka tudung saji, botol kicap je yang aku nampak?
Mana makanan?” Soalnya sinis. Sebenarnya dia tidak pernah kisah jikalau
isterinya tidak mahu masak untuknya. Namun dari sehari ke sehari, Qalish tetap
menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri. Nedzrish cuba untuk sambut baik
apa yang dilakukan oleh isterinya.
“Erkk.. Sorry awak. Saya bangun lewat pagi tadi,
saya tak sempat nak siapkan apa-apa untuk awak sebab saya ada appointment dengan customer saya. Sorry sangat…”
Tuturnya ikhlas memohon maaf. Tidak sangka pula suaminya akan mempersoalkan
tentang itu.
“Aku gurau jelah. Tak
payah lah nak over sangat minta maaf
tu. Masak ke tak masak ke, sama je. Tak ada beza pun pada aku.” Ujarnya,
kembali dingin. Tanpa kata, dia terus mengangkat punggungnya lalu menapak ke dalam
rumah. Qalish Audrina hanya membiarkan sahaja tanpa menegur suaminya.
******
Beberapa ketul ayam
goreng yang telah siap dihidang dipandang dengan satu keluhan dilepaskan oleh
Qalish Audrina. Hangus lagi! Huh. Sudahlah tadi dia menggoreng telur dadar juga
hangus. Ini semua gara-gara kesilapan diri sendiri yang asyik bermain telefon bimbit
sewaktu memasak. Bukan apa, rambang matanya melihat koleksi terbaru beg tangan keluaran
jenama kegemarannya.
“Er.. Macam mana nak
panggil Rish makan ni? Jatuh lah air muka aku. Dua-dua lauk pulak tu hangus. Nasib baik sayur bayam
tu elok sahaja keadaannya. Haish!” Dia memarahi diri sendirinya kerana terlalu
leka sehingga terlupa untuk menutup api.
“Cakap minyak dah habis
jelah senang. Ajak dia makan kat luar, okay tak?” Qalish kehulur kehilir sambil
mindanya sedang mencari-cari idea yang terbaik untuk diberi kepada si suami
sebagai alasan untuk tidak makan di rumah malam itu. Kalau lah Nedzrish melihat
lauk pauk yang hangus itu, sudah tentu lelaki itu akan mengutuknya sepuas hati.
“Kau ni apasal
termagu-magu depan rezeki? Tak reti-reti ke nak panggil aku makan? Tahu tak
siang tadi aku makan Maggie je?”
Nedzrish sudah berlalu ke sinki untuk mencuci tangan. Tanpa menghiraukan
isterinya yang berdiri serupa patung cendana, dia terus menarik kerusi dan
mencapai sebiji pinggan.
“Er. Rish, boleh tak
kalau malam ni kita makan dekat luar je?”
“Kau ni apa masalah pulak tiba-tiba nak makan dekat luar?
Kau dah masak ni kan, yang nak membazir je dah kenapa?” Nedrish mengomel sambil
tangannya menyenduk nasi ke dalam pinggannya. Matanya masih lagi tidak
memandang lauk pauk yang disediakan oleh isterinya.
“Kau tak nak makan tu
kau punya masalah. Aku dah kebulur tahap orang dekat Somalia dah ni.” Nedzrish
mencapai dua ketul ayam goreng lalu diletak di dalam pinggan. Dia turut
mencubit sedikit telur dan mencedok sayur bayam. Selesai membaca doa makan,
Nedzrish segera menjamah lauk yang “hangus” dimasak oleh isterinya dengan penuh
berselera.
“Er.. Awak tak kisah?”
Soal Qalish teragak-agak. Dia seperti tidak percaya melihat suaminya sungguh
berselera menikmati hidangan pada malam itu.
“Kisah apa? Kau ni yang
buat perangai macam orang baru keluar hutan ni apahal?”
“Tak lah. Ayam goreng
dengan telur tu, hangus. Sorry awak.
Saya tak sengaja.”
“Ini baru hangus, belum
rentung lagi kan? Yang kau nak gelabah semacam ni dah kenapa? Makanan jugak kan
ni? Tak mati pun lah makan makanan yang terlebih masak macam ni.” Nedzrish
sendiri tidak mengerti mengapa Qalish Audrina mempertikaikan mengapa dia tidak
kisah untuk makan masakan sebegitu. Dia bukan lah seorang yang cerewet, orang
sudah masak untuknya itu pun sudah cukup bagus.
“Awak ni bagus lah,
sesetengah lelaki. Kalau isteri dia tersalah masak macam ni, tak menepati
selera dia. Boleh hilang selera dia nak makan.” Ujarnya memberikan fakta yang
sememangnya benar. Dia kemudiannya menarik kerusi berhadapan dengan suaminya.
“Itu suami orang lain,
bukan suami kau kan? Lagi pun apa yang dijadikan isu besar? Tak ada benda
sempurna dalam dunia ni. Susah lah kalau semua benda nak ambil kira. Boleh mati
lah untuk cari kesempurnaan tu.” Meskipun kata-kata yang dituturkan oleh
Nedzrish kedengaran agak kasar, namun pada Qalish Audrina, ada benarnya juga
kata-kata suaminya itu.
“Yelah.. Bila dah
hangus kan tak sedap.”
“Tak sedap bagi kau,
tapi bagi aku sedap je.”
“Sedap ke saya masak?
Wah. Kalau macam tu, lepasni saya nak masak sampai hangus lah. Awak lagi suka
kan?”
Er... Nedzrish sedar
yang dia sudah terlepas bicara.
“Macam mana aku boleh
puji masakan perempuan ni? Aduhai kau ni pun Rish. Tak reti nak cover line langsung!” Kutuknya dalam
hati.
“Ala.. Awak tu kalau
nak puji masakan saya sedap, tak payah lah malu-malu. Awak puji je depan-depan
macam tadi tu. Saya tahu, air tangan
saya ni dah setaraf dengan chef dekat hotel kan?”
“Heh. Kau tak payah nak
angkat bakul sendiri lah Lish. Kalau ayam-ayam ni masih bernyawa, dia pun lari
dengar kau punya kuat perasan tu.”
“Kau kenapa tak makan
sekali? Kenyang ke tengok aku makan? Ataupu kenyang tengok muka aku ni?”
Tegurnya apabila dilihat isterinya hanya menunggunya makan tanpa mencapai
pinggan sedari tadi.
“Saya dah kenyang lah.”
“Kenyang? Yang kau
pergi masak banyak-banyak ni siapa nak
makan?”
“Sebelum masak lapar.
Lepas dah masak, tiba-tiba kenyang pulak.”
Dia cuba mencipta alasan. Bukan tidak lapar, tapi..
“Ah engkau. Tak payah
nak kelentong aku lah. Kau tu sebenarnya tak berselera kan nak makan makanan
hangus ni? Kau sendiri yang masak, lepas tu kau tak nak makan? Apa lah kau ni.”
Nedzrish selamba mengutuk isterinya. Qalish Audrina hanya diam sahaja, tidak
mahu berbalah dengan suaminya.
“Aku nak keluar kejap
lagi ni, kau ada nak kirim apa-apa tak? Tapi aku balik lambat lah.”
“Awak nak kemana?”
“Lepak mamak. Tengok
bola.”
“Erk... Mamak? Tak apalah.”
“Tahu dah kau ni, nanti
mula lah kau nak bersyarahan cakap makanan dekat situ tak bersih lah apalah.
Kau ni kolot jugak kadang-kadang.”
“Bukan kolot lah. Dah
memang saya tak biasa makan tempat macam tu, nak buat macam mana kan?”
“Susah kalau kahwin
dengan orang berduit ni. Kau sedar tak yang kau ni terlalu memilih?” Semakin
lama dia mengenali isterinya, sedikit sebanyak dia tahu Qalish Audrina adalah
seorang yang sangat menjaga standard.
“Saya bukan memilih lah
awak. Tapi saya tak suka makan dekat tempat terbuka macam tu. Tak ada privasi
lah.”
“Dah nama pun tempat
awam. Kalau kau nak privasi, pergi buat rumah dekat hujung dunia. Kat situ tak
ada siapa nak kacau kau.”
“Yelah, nanti saya cari
tempat yang jauh daripada semua orang. Terutamanya lelaki menjengkelkan macam
awak ni.”
“Siapa yang
menjengkelkan sebenarnya ni? Kau tu lah. Ini tak boleh, itu tak kena. Semua
benda dekat mata kau ni tak pernah lah nak betul. Miss perfect, huh?”
“Saya bukan terlalu
mencari kesempurnaan lah Rish. Saya tak suka tempat yang saya rasa tak bersih,
tempat yang bising. Kedai tepi jalan semua tu. Saya lebih suka pergi tempat
yang proper. Kan tak serabut kepala?”
“Aku okay je pergi
tempat macam tu. Tak ada pulak aku jadi gila ataupun stress sebab pergi tempat-tempat macam tu.” Ujarnya seraya meneguk
air sirap laici yang baru sahaja dituang oleh isterinya.
“Lain orang lain cara,
boleh tak hormat citarasa orang lain?”
“Yelah.. Duit kau kan
terlalu banyak tak terhitung. Sebab tu orang macam kau ni suka membazir.”
“Terserah lah awak nak
fikir apa pun pasal saya. Awak, esok awak ada apa-apa tak?” Qalish Audrina
segera menukar topik. Dia malas mahu bertelagah dengan suaminya kerana semenjak
mereka berkahwin, hampir setiap hari mereka akan bertikam lidah.
“Esok aku tak kerja.
Kenapa?”
“Jom kita pergi rumah
papa. Tadi siang saya terserempak dengan Abang Rief. Dia kata papa dah duk
tanya kenapa kita dah lama tak balik sana. Eh, sejak kita pindah, kita tak
pernah balik ke sana lagi kan?”
“Tak.” Balasnya
sepatah. Pantang sahaja nama papanya disebut, pasti reaksi hambar yang
diberikan.
“So, awak okay tak kalau kita balik rumah papa? Kita tidur sana satu
malam. Boleh?”
“Ikut suka kau lah.”
Balasnya, tanpa perasaan.
“Eish awak ni, saya tanya
awak ni. Awak setuju tak kalau kita balik rumah papa esok?”
“Ikut suka kau lah, kau
yang nak drive kan. Aku ni duduk
dekat tempat pemandu je. Kemana kau bawa aku, aku ikut jelah.” Nedzrish masih
lagi berkias. Dia malas mahu memberikan jawapan yang sebenar. Sengaja dia
membiarkan isterinya berfikir mengenai jawapannya itu. Sejurus kemudian dia
segera membawa pinggan ke sinki untuk mencuci mulut.
No comments:
Post a Comment