“Abang. Dah lewat dah
ni. Esok-esok lah abang sambung baca buku tu.” Datin Khalidah yang baru sahaja
melangkah masuk ke dalam bilik menegur suaminya yang masih duduk di atas sofa
membaca sebuah buku motivasi. Itu adalah rutin setiap malam suaminya sebelum
masuk tidur.
“Pukul berapa dah
Idah?”
“Pukul 12.30 malam dah
bang.”
“ALLAH. Abang ingat
baru pukul 11malam.” Dato’ Ezzudin menepuk lembut dahinya. Dek kerana terlalu
kusyuk membaca buku yang baru dibelinya, dia tidak perasaan waktu bergerak
begitu pantas.
“Mana abang nak
perasan. Kalau dari tadi abang duk seronok membaca.”
“Awak dari dapur ke
ni?” Soal Dato’ Ezzudin seraya bangun dari duduknya menuju ke arah katil.
Isterinya sudah elok berbaring di atas katil sambil tersenyum mesra
memandangnya.
“Tak lah. Saya baru
lepas berbual dengan Rief. Dah lama tak berbual dengan dia. Hero abang tu sibuk
sangat dengan kerja dia sejak kebelakangan ni. Susah nak nampak dia dekat rumah
sekarang ni.”
“Syarikat kita baru
sahaja dapat projek besar. Itu yang Rief terpaksa beri tumpuan lebih. Nanti
bila selesai projek tu, dia kembali lah macam dulu balik.” Terang Dato’ Ezzudin
yang memahami sikap isterinya yang tidak gemar jikalau anak-anak mereka sering
tiada di rumah.
“Tak habis-habis dengan
projek baru. Bagilah peluang dekat syarikat yang lebih memerlukan.”
“Idah, dalam dunia
perniagaan. Tidak ada istilah beri peluang kepada yang memerlukan. Selagi kita
boleh raih keuntungan, kita usaha untuk dapatkan nya. Lagi pula Nazrief tu muda
lagi, biarlah dia kerja puas-puas sekarang ni.”
“Yelah-yelah.. Saya kan
tak tahu apa-apa tentang bisness abang ni.” Datin Khalidah malas mahu bertekak
dengan suaminya, dia mengalah sahaja.
“Tak payah tahu pun tak
apa. Awak jaga hal rumah pun sudah cukup. Oh ya, sejak Rish kahwin. Dah lama
dia tak balik ke sini kan. Dia ada telefon awak tak Idah?” Dato’ Ezzudin mengubah topik perbualan
mereka. Tiba-tiba dia terfikir mengenai anak bongsunya.
“Dekat sebulan jugak
lah mereka tak balik ke sini. Qalish sibuk kot bang uruskan butik dia. Saya
jelah ada telefon dia minggu lepas. Nak harap kan Rish tu, tahun depan pun
belum tentu.”
“Iyelah tu si Qalish
sibuk. Sesibuk mana pun dia, tak kan lah nak balik ke rumah kita ni tak ada
masa langsung? Ke Rish tak pernah ajak dia kemari?” Belum apa-apa lagi, Dato’
Ezzudin sudah menyalahkan anaknya.
“Abang ni, cubalah
jangan buat tuduhan yang melulu. Entah memang betul Lish tu sibuk, anak kita tu
kahwin dengan wanita bekerjaya. Kita kenalah faham bang.”
“Kerja-kerja jugak.
Tapi tanggungjawab terhadap mak bapak tu kena ambil peduli juga. Awak
nasihatkan si Rish tu, rajin-rajin kan diri jenguk awak dekat sini. Saya ni tak
apa tak kisah sangat, awak tu nanti karang demam lah apalah. Rindukan budak
bertuah tu.”
“Rindu tu memang lah
rindu. Tapi kalau mereka sibuk, saya perlu faham juga keadaan anak menantu kita
tu.”
“Awak rasa, macam mana
hidup mereka sekarang ya? Boleh ke si Rish tu sesuaikan diri dengan keadaan
sekarang?”
“Abang risau ke dia tak
boleh terima semua ni?” Datin Khalidah kerut dahi. Tak kan suaminya sudah
berubah kot?
“Abang risau kalau Rish
tak mampu jaga Qalish dengan baik. Abang risau kalau keputusan yang abang buat
ni bukan untuk kebaikan Rish.” Entah mengapa, tiba-tiba dia berasa bersalah
kerana begitu mendesak anaknya supaya menikahi anak rakan baiknya.
“Abang yang buat
keputusan ni, abang pun dah fikir sehabis mungkin sebelum suruh Rish kahwin
dengan Lish kan. Kalau abang nak menyesal, bukan sekarang. Tapi beberapa bulan
yang lepas.”
“Setiap apa yang abang
buat untuk Rish bukan bertujuan untuk buat dia hidup dalam keadaan tertekan.
Abang nak Rish belajar, macam mana nak pikul tanggungjawab yang lebih berat.
Abang harap Rish dapat laksanakan tugas sebagai seorang suami sebaik mungkin.”
“InsyaALLAH. Kita
sebagai orang tua dia, hanya mampu berdoa supaya ALLAH berikan yang terbaik
untuk rumah tangga mereka. Saya tengok Qalish pun lembut orangnya, mungkin dia
boleh bantu kita untuk ubah perangai Rish tu.” Ujar Datin Khalidah optimis. Dia
sudah semakin boleh menerima bahawa keputusan suaminya untuk menjodohkan
Nedzrish dan Qalish adalah satu keputusan yang tidak salah.
“Dalam masa yang sama,
awak jangan putus asa nasihatkan si Rish. Kalau saya bercakap dengan dia, tak
kan jalan. Dia pun bukan nak dengar nasihat saya.”
“Saya sentiasa bang,
doakan yang terbaik untuk dia. Nasihat kan dia supaya lebih peka dengan keadaan
sekeliling. Saya percaya satu hari nanti Rish tak buat abang susah hati dah.”
Datin Khalidah mengusap lembut jari jemari suaminya bersama segarit senyuman.
“Bagus lah macam tu.
Dah, mata abang dah layu dah ni. Tidur lah, esok awak nak bangun pagi kan.”
“Nak kemana pulak?”
“Bukan hari-hari ke
awak bangun pagi, solat subuh? Lupa dah?” Dato’ Ezzudin sengaja mengusik
isterinya.
“Abang ni, cara abang
cakap macam saya ada benda penting je nak kena buat esok. Kalau bangun subuh tu
memang tugas setiap hari.”
“Abang gurau pun tak
boleh?”
“Amboi, dah nak masuk
usia senja ni makin seronok dia kenakan kita ya?” Tawa mereka bergabung dengan
jenaka masing-masing. Seketika kemudian Dato’ Ezzudin mematikan lampu tidur
lalu dia merebahkan semula badannya.
*****
“Sorry Encik. Saya tak sengaja.” Tutur Qalish Audrina kalut meminta
maaf selepas dia terlanggar seseorang sewaktu mahu keluar dari lif Hotel Grand
Millenium itu. Dia yang gopoh-gapah mengatur langkah tidak perasan akan seorang
lelaki yang mahu masuk ke dalam lif itu.
“It’s okay. Eh, Qalish?” Lelaki itu menyapanya dengan pandangan
tidak percaya.
“Abang Rief? Abang
rupanya. Sorry, Lish tak perasan
tadi. Kelam kabut punya pasal, dah terlanggar abang.” Qalish menguntum senyuman
kecil memandang abang iparnya.
“Tak apa. Small matter. Abang tak cedera pun. Lish
buat apa dekat sini?”
“Lish baru lepas jumpa client. Lish nak balik ofis cepat sebab customer dah tunggu. Lish terlupa yang
Lish ada appointment sekarang ni.”
Ujar Qalish menerangkan mengapa dia kelam kabut untuk keluar dari pintu lif
sehingga bertembung dengan lelaki itu. Dalam diam dia memarahi dirinya sendiri
kerana dia jarang terlupa akan temujanjinya dengan mana-mana pelanggannya.
Mungkin terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan sehingga dia terlupa hal
yang begitu penting.
“Sibuk sangat abang
tengok Lish ni. Banyak kerja ke Lish?”
“Boleh tahan lah bang.
Tak menang tangan juga nak siapkan tempahan customer.
Abang ada urusan apa dekat sini? Jumpa client
juga ke?” Soal Qalish sekadar ingin tahu. Dia yang ingin segera meninggalkan
hotel itu bertambah lama pula disitu dek kerana Nazrief yang seperti ingin
berbual panjang dengannya.
“Abang nak jumpa kawan
lama abang. Tapi dia tak sampai lagi.” Nazrief memandang wajah ayu Qalish
Audrina yang mengenakan selendang berwarna biru muda. Cukup menyerlah gaya
usahawan wanita itu. Dia memuji dalam diam apa yang dimiliki oleh wanita yang
sudah pun bergelar adik iparnya.
“Oh, tunggu dia lah ni
eh? Kawan perempuan ke?” Soalnya sambil mengenyitkan matanya, sengaja mahu
mengusik abang iparnya.
“Kawan lelaki lah. Oh
ya, Lish dah lama tak balik rumah papa. Rish tak ada ajak Lish balik sana ke?”
“Erk... Bukan tak nak balik, tapi abang sendiri tahu kan.
Kebelakangan ni Lish terlalu banyak sangat kerja. Kadang-kadang tu hujung
minggu pun Lish kena kerja.”
“Ya, abang faham. Tapi
Lish jangan lah lama sangat tak balik sana. Nanti papa bising pulak. Lish tahu jelah papa tu, kalau
ada benda yang dia tak berkenan. Tak berhenti dia membebel nanti.” Papa yang
bising ke, kau yang rindu nak jumpa Qalish ni Rief?
“InsyaALLAH. Kalau Lish
ada masa nanti Lish balik sana. Abang kirim salam dekat mereka eh?”
“Okay. Nanti Lish balik
sana, boleh kita borak panjang lagi. Abang pun dah lama tak merasa masakan
Lish. Rindu nak makan ikan keli masak cili yang Lish buat haritu sebelum Lish
pindah.”
“Tak apa, nanti Lish
balik sana. Abang request lah nak
makan apa, Lish masak kan. Okay?” Balasnya sambil tersenyum manis. Matanya mula
melirik ke arah jam tangan kirinya yang sudah menginjak ke angka 3petang.
“Hmm. Kalau macam tu,
abang nak senaraikan lah apa yang abang nak makan. Mampu ke Lish masak kan
semua tu nanti?”
“InsyaALLAH. Kalau ada
masa, Lish buatkan. Okay lah abang, Lish dah lewat dah ni. Lish gerak dulu eh?”
“Okay, hati-hati.
Jangan lupa pakai seatbelt.” Nazrief
mula memainkan watak sebagai lelaki macho yang kononnya prihatin terhadap
wanita.
“Baiklah.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Nazrief tidak terus menaiki lif, sebaliknya dia menunggu disitu sehingga Qalish
hilang dari bayangan matanya.
*****
Alat kawalan jauh
televisyen di tangganya dipusing-pusing berkali-kali. Sudah sejam dia duduk
menonton televisyen, namun tiada satu pun rancangan di televisyen itu menarik
perhatiannya. Nedzrish menoleh sekilas ke arah jam dinding di belakang yang
sudah menunjukkan tepat pukul 9malam. Isterinya masih belum pulang lagi
walaupun hari sudah malam. Nedzrish tidak pernah ambil kisah tentang kepulangan
isterinya meskipun kadang kala dia merasakan Qalish menjadikan rumah itu
seperti hotel sahaja. Biarlah, perkahwinan ini pun bukan atas kerelaan mereka
berdua.
Pintu utama rumah itu
dikuak perlahan dari luar rumah. Wajah ayu Qalish Audrina terjengul di muka
pintu menyapa pandangan mata Nedzrish.
“Awak tak keluar ke
malam ni?” Soal Qalish sekadar ingin menegur suaminya. Selalunya jikalau
sewaktu dia pulang ke rumah, suaminya tiada di ruang tamu, dia akan terus naik
menuju ke biliknya.
“Kau tak nampak ke aku
tengah tengok tv ni? Kalau aku keluar, macam mana aku boleh ada dekat sini?”
Tidak dihiraukan wajah Qalish yang menunjukkan wanita itu sedang keletihan.
Nedzrish bukan peduli, bila dia fikir dia ingin mencari gaduh dengan isterinya,
tidak dihiraukan keadaan isterinya.
“Awak ni kan, kalau
saya tanya. Jawapan yang awak bagi tu mesti menyakitkan hati.” Dia sendiri
bingung, entah bilalah Nedzrish mahu berbaik dengannya. Kadangkala dia letih
mahu melayan sikap Nedzrish yang gemar mencari pasal dengannya.
“Kalau dah tahu macam
tu kenapa masih nak bercakap dengan aku? Tak bosan ke bergaduh dengan aku?”
“Dah awak je yang ada
dalam rumah ni. Saya cakap lah dengan awak, tak kan saya nak cakap dengan
dinding kot? Nanti awak kata saya gila.”
“Betul lah tu, kalau
aku nampak kau cakap dengan dinding. Boleh lah slow-slow aku hantar kau pergi Tanjung Rambutan.” Ujarnya seraya
mematikan televisyen.
“Kenapa tutup tv tu?
Nak keluar ke?” Soalnya setelah dilihat Nedrish melemparkan alat kawalan jauh
televisyen ke atas lantai.
“Tak lah, aku bukan
macam kau. Setiap hari keluar rumah pagi-pagi buta, balik rumah bila burung
hantu berjaga. Aku ni tahu lah juga nak duduk rumah.” Sinis dia memerli
isterinya yang sangat komited terhadap kerjanya.
“Saya bukan keluar saja-saja.
Saya keluar cari duit kan.”
“Kau tak penat ke
hari-hari macam ni? Kau tak bosan ke hadap kerja dari pagi sampai malam?
Sepatutnya kau bersyukur dengan apa yang ada. Kau nak apa lagi, semua kau dah
ada. Aku percaya, dalam akaun bank kau tu. Mesti jumlahnya dah boleh beri
kereta Ferrari sebijik kan?”
“Rish. Mana ada kerja
yang tak perlukan fokus yang tinggi dalam dunia ni. Kalau saya tak kerja keras
dari sekarang, macam mana nak hidup untuk masa akan datang nanti? Zaman
sekarang ni, semua perlukan duit.”
“Memang lah. Tapi kau
kena beringat sikit, kau tu perempuan. Kan tak elok orang perempuan balik lewat
malam macam ni. Hari-hari pula tu. Kalau sekali sekala tu okay lah lagi.” Tanpa
dia sedar dia sedang menasihati isterinya dengan nada yang lembut. Dia memang
seorang yang sangat menjaga keselamatan tambahan pula keselamatan seorang
wanita. Sewaktu dia bujang dahulu, Syaqilah juga selalu pulang lewat ke rumah
kerana tuntutan kerja. Selalu juga dia menasihati kakanya supaya pulang lebih
awal ke rumah.
“Hmm. Awak kisah ya
saya selalu balik lewat? Awak sunyi ke sorang-sorang dekat rumah?” Qalish
merenung ke dalam bebola mata suaminya. Dia seperti mencari keikhlasan
disebalik kata-kata suaminya sebentar tadi.
“Ha? Sunyi apa
kejadahnya kau ni. Aku nak sunyi apa, kalau aku bosan aku keluar lah. Apa susah
kan?” Gerutu Nedzrish. Lain yang ingin dia sampaikan, lain pula yang difahami
oleh isterinya.
“Yelah.. Awak selalu
tegur sebab saya selalu balik lewat. Maknanya awak risau lah tu, kan?”
“Mana ada aku risau.
Lantak kau lah nak balik ke tidak. Tak nak balik langsung pun tak apa. Tadi tu
aku saja je bagi ceramah. Dalam tv sekarang kan banyak kes perempuan kene
culik. Tak ada kaitan pun lah dengan aku risau kan kau.”
“Awak awak.. Awak ni
memang tak pernah nak mengaku kan.” Qalish Audrina tersenyum sambil
menggelengkan kepalanya. Lucu pula melihat Nedzrish bersungguh-sungguh
menyangkal apa yang diteka olehnya.
“Kalau awak kisah saya
selalu balik lewat. Awak nak saya selalu ada dekat rumah, bagilah tahu saya.
Sebelum maghrib saya akan pastikan saya dah sampai rumah.” Sambungnya lagi. Dia
masih tidak lupa yang dia kini sudah bergelar isteri kepada lelaki itu.
“Siapa cakap aku kisah?
Aku tak kisah pun lah Lish. Kau nak jadikan rumah ni hotel sekalipun, itu kau
punya pasal lah. Aku mana ada hak nak halang.”
“Ada. Awak kan suami
saya?”
“Suami apanya kalau
macam ni rumah tangga kita. Macam kapal nak karam je.”
“Tahu pun. Saya
ingatkan awak ni tak sedar langsung yang awak sekarang dah ada isteri.”
“Alah, kau pun bukan
nak sangat kahwin dengan aku kan.” Tutur Nedzrish bersama memek wajah
bersahaja.
“Kalau saya cakap, sepanjang
kita bersama ni. Saya… Saya dah jatuh hati dekat awak.”
“Apa benda kau merepek
ni Lish?” Seram bulu romanya apabila dia menoleh ke sisi kanannya, wajah Qalish
betul-betu dihadapannya kini. Mereka dipisahkan oleh beberapa jarak yang kecil
sahaja.
“Biar betul isteri aku
ni. Tak kan dah hilang akal kot?”
“Awak. Saya cakap
dengan awak ni. Saya suka kan awak, suka semuanya tentang awak.”
“Kau jangan main-main
Lish. Aku rasa nak termuntah dengar ni tau.” Nedzrish menelan liurnya
berkali-kali. Dia sedang keliru sama ada isterinya bersungguh-sungguh
mengenakan dirinya ataupun isterinya sedang jujur meluahkan rasa hati. Namun
wajah isterinya serius sekali memandang dirinya tanpa berkedip.
“Hoi! Kau jangan lah
tenung aku macam tu. Boleh luruh jantung aku ni!”
“Kenapa, abang tergoda
ke?” Dia mencuit hujung hidung Nedzrish tanpa sempat lelaki itu menepis
tangannya.
“Abang? Gila lah kau
ni!”
“Hahahahaaa. Awak ni
kelakar lah Rish! Takut lah tu!” Jeritnya setelah puas mengenakan suaminya.
Merah padam wajah Nedzrish sewaktu dia memberitahu yang dia mulai sukakan
suaminya. Gila ke dia nak cakap macam tu? Hanya lakonan semata-mata!
“Ha gelak lah gelak
puas-puas sampai usus kau tercabut!” Dia yang kegeraman melihat isterinya
berjaya mengenakan dirinya, menarik rambut isterinya sehingga secara spontan
kepala isterinya rebah di atas kakinya. Kedua-duanya terpempan dengan keadaan
itu.
“Erk...”
“Hmm.”
“Rish.”
“Ya?”
“Sampai bila nak macam
ni?”
“Sampai aku tertidur.”
Kali ini gilirannya pula mengenakan si isteri.
“Awak. Saya ni tak
mandi lagi tau. Awak sanggup ke nak berkeadaan macam ni sampai esok pagi?”
“Tak apa, aku boleh
mandi kan kau.” Dia tersenyum menyerlahkan lagi kecomelan yang ada pada dirinya.
Qalish seperti mahu pengsan sahaja melihat senyuman itu. Jarang sekali Nedzrish
tersenyum begitu. Selalunya wajah masam Nedzrish sering menjadi tatapan
dirinya.
“Awak.. Awak sedar tak apa
awak cakap ni?”
“Sedar. Lebih daripada
sedar. Nak mandi air panas ke air sejuk?” Dia menguraikan rambut Qalish yang
kelihatan sedikit kusut itu.
“Gila! Mamat ni biar
betul?” Qalish Audrina sudah memegang dadanya sambil memejamkan matanya
rapat-rapat.
“Dah lah woi! Drama sebabak dah habis! Sakit lah
kaki aku, ini kepala ke batu bata.”
“Awak ni memang kurang
cemerlang betul lah!” Dia segera bangun dari duduknya dan memukul dada Nedzrish
dengan kedua-dua belah tangannya. Sedarlah dia bahawa suaminya turut mengenakan
dirinya.
“Okay apa, fair and square.” Ujar Nedzrish sambil
tersengih-sengih. Dia kembali mencapai alat kawalan jauh televisyen lalu
menghidupkannya.
“So, permainan kita hari ni awak dan saya yang menang. Esok-esok
kita main lagi okay.” Qalish Audrina mencapai beg tangganya yang tidak jauh
dari tempat suaminya duduk. Dia segera meneruskan misinya untuk memanjakan
badannya di atas tilam empuknya.
No comments:
Post a Comment