Nedzrish membiarkan sahaja isterinya yang sedang
leka melihat persembahan buskers di tepi jalan. Dia sengaja membawa isterinya
mengikutinya berjalan-jalan di Bazar Karat sebelum membawa isterinya melihat
persembahan pemuzik jalanan itu. Kelihatan isterinya sangat gembira sehingga
tidak perasan Nedzrish sudah meninggalkannya dan berdiri di hadapan sebuah
kedai tidak jauh dari situ.
“Awak.” Qalish Audrina menegur Nedzrish setelah
pemuzik jalanan itu selesai membuat persembahan. Ada lagi persembahan
seterusnya, namun apabila dia terpandangkan jam di tangan kirinya, dia
membatalkan hasratnya. Sedar tidak sedar, sudah hampir satu jam dia melihat
persembahan itu. Seronok sehingga tidak sedar ketiadaan suaminya disisinya.
“Dah puas dah layan abang-abang muzik tu nyanyikan
lagu untuk kau?” Soalnya seraya menghembuskan asap rokok. Qalish Audrina kerut
dahi melihat Nedzrish yang sedang merokok itu.
“Awak, kan merokok tu tak elok untuk kesihatan.”
Ujarnya dengan nada tidak senang. Seingatnya selama mereka berkahwin tidak
pernah lagi dia melihat Nedzrish merokok. Sebelum kahwin sahaja lelaki itu
pernah menghembuskan asap rokok ke mukanya.
“Dah habis dah pun.” Balasnya lalu dia mencampak
puntung rokok yang sudah habis dihisapnya. Dia menyimpan semula kotak rokok
yang berada di tangannya ke dalam kocek seluarnya.
“Hmmm... Sejak bila awak merokok?” Soalnya lalu dia
mengambil tempat di sebelah Nedzrish. Mereka duduk di atas bahu jalan sambil
melihat orang ramai yang sedang lalu-lalang.
“Baru jugak lah. 3tahun yang lepas.”
“Baru 3 tahun awak cakap? Apa alasan awak merokok?
Sebab stress?”
“Aku bukan macam perokok tegar yang lain. Aku
merokok bila perlu je lah. Kau ni kenapa nak menyibuk?” Ujarnya dengan nada
tidak suka. Selama dia dengan Amelda Imani, tidak pernah sekalipun wanita itu
menegurnya tentang dirinya seorang perokok. Amelda Imani cuma tidak membenarkan
dirinya merokok di hadapan wanita itu.
“Merokok bila perlu? Eh, saya tak pernah dengar pun
ayat merokok bila perlu. Dah sah-sah awak sendiri tahu merokok tu kan tak bagus
untuk kesihatan, mana ada istilah merokok bila perlu.” Ujarnya dengan wajah
serius.
“Bising lah kau ni.” Nedzrish membalas dengan nada
dingin. Dia sungguh tidak gemar sesiapa ambil tahu tentang apa yang ingin
dilakukannya. Biasalah Nedzrish, lebih gemar mengikut rentaknya sendiri.
“Okay, sorry.
Saya lupa yang awak pernah cakap dengan saya jangan masuk campur hal awak. Sorry...” Ujarnya mengalah. Bimbang
kalau kata-katanya nanti bakal membuat suaminya naik angin pula.
“Kau suka tak?” Ujar Nedzrish setelah beberapa minit
dia mendiamkan diri.
“Suka! Tapi saya peliklah, macam mana awak tahu yang
saya suka tengok persembahan buskers ni?” Soalnya dengan rasa ingin tahu. Tak
kan Nedzrish ni ahli nujum? Macam mana dia boleh tahu tentang apa yang digemari
oleh Qalish?
“Kau suka kan? Itu dah cukup. Tak payah lah kau nak
tahu dari mana aku dapat tahu pasal ni.” Balasnya, cuba untuk berahsia.
“Awak.. Tak baik lah biarkan saya tertanya-tanya
macam ni. Bagilah tahu please..”
Pujuknya sambil membuat wajah simpati. Nedzrish menayang wajah menyampahnya
sebelum dia membuka mulut untuk membalas pertanyaan si isteri.
“Aku tahu dari Sofi lah. Tak susah pun kalau nak
tahu apa-apa pasal kau, tanya sajalah kembar kau. Mesti dia buka mulut tanpa
banyak songeh.”
“Amboi! Berkomplot dengan Sofi nampak. Sejak bila
awak dengan dia jadi bestfriend?”
Soal Qalish Audrina sambil mengangkat kedua belah keningnya.
“Hai, tak kan dengan Sofi pun kau nak cemburu?” Soal
Nedzrish pula. Sengaja mahu mengusik.
“Eeee..
Tak kuasa lah saya nak cemburu awak dengan dia. Buang masa sajalah. Saya nak
tahu je.” Ujarnya seraya mencebik.
“Alah, aku berkomplot dengan dia pun sebab kau. Kan
aku dah dapat buat kau happy,
sekurang-kurangnya ada lah juga satu hari ni kau tak rasa menyampah dengan aku.
Kan?” Ujarnya lalu tersenyum manis. Ikhlas kelihatan senyuman darinya.
“Thank you
Rish. Walaupun nampak macam simple,
tapi bermakna sangat buat diri saya. Sebab awak bawa saya pergi tengok benda
yang memang saya minat. Siapa tak suka kan?” Balasnya ceria.
“Okay, sekarang ni cuba kau bagitahu aku. Kenapa kau
suka tengok persembahan live tepi
jalan macam ni? Bukan ke kau tak suka tempat yang ramai orang? Tapi bila
melibatkan muzik, kau tak kisah pulak?”
Soalnya hairan. Semakin lama dia bersama dengan wanita itu, semakin banyak
sikap pelik wanita itu dapat dirungkai olehnya.
“Hmm…. Awak nak tahu ke?”
“Dah aku tanya, mesti lah aku nak tahu. Kau ni
memang tak reti tanya soalan cerdik sikit ke?” Ujar Nedzrish mulai bengang
dengan pertanyaan isterinya. Orang menanya, mestilah mahu tahu.
“Okay, jangan lah marah.” Ujarnya perlahan.
Nedzrish, susah untuk melihat lelaki itu tenang dalam jangka masa yang lama.
“Cerita lah, aku nak dengar.” Nedzrish menyuruh
isterinya menceritakan tentang itu dengan nada biasa. Dia bersedia untuk
menjadi pendengar malam itu.
“Sebenarnya daripada saya kecil lagi saya minat
sangat tengok orang main muzik. Sebab dulu arwah abang saya pandai main gitar,
selalulah dia main gitar sambil menyanyi untuk saya. Saya start minat muzik sebab arwah abang saya main muzik.” Qalish
Audrina sudah mula membuka cerita.
“Arwah abang? Kau bukan anak tunggal? Kau ada abang?”
Soal Nedzrish dengan wajahnya yang jelas terkejut. Dia tidak pernah tahu menahu
tentang itu.
“Aah. Sebenarnya adik beradik saya ada dua orang.
Kalau abang saya hidup lagi, sekarang ni mesti dia dah jadi pemuzik. Sebab dia
belajar bidang muzik masa dia ambil diploma dulu. Tapi tak panjang umur. Ada
lagi satu semester dia nak habiskan pengajian dia, ALLAH lebih sayang kan dia.”
Ujar Qalish Audrina bersama keluhan kecil. Dia sebolehnya tidak mahu bercerita
mengenai arwah abangnya kerana itu hanya akan membuatkan dirinya sedih.
“Kalau dia hidup lagi, umur dia berapa sekarang?”
“32tahun. Saya memang rapat dengan dia memandangkan
saya ada dia sebagai abang, dan dia pun hanya ada saya. Kitaorang selalu
habiskan masa sama-sama dekat belakang rumah. Dia main gitar, saya nyanyi. Tapi
suara saya tak sedap pun. Nyanyi jelah sebab dia kata dia suka dengar suara
saya.” Ceritanya sambil tergelak kecil.
“So, sebab
tu lah kau minat tengok orang main muzik? Tapi kau tak minat nak main muzik pulak eh?” Soal Nedzrish lagi. Dia
semakin seronok mendengar cerita isterinya. Mungkin Nedzrish sedang cuba untuk
mengenali isterinya dengan lebih dekat lagi.
“Itulah, arwah pernah ajar saya main gitar. Tapi tak
sampai sehari saya belajar dengan dia, dia pun give up. Saya tak ada seni lah awak, bukan semua orang boleh main
muzik. Pemuzik ni kiranya macam anugerah tau. Sebab diaorang ni talented sangat.” Dalam diam Nedzrish
mengiakan apa yang diperkatakan oleh isterinya. Kerana aku juga seorang
pemuzik, wahai isteriku.
“Tapi kau ada seni lukis. Okay apa, bukan semua
orang boleh reka baju. Susah juga tu kan.” Tutur Nedzrish ikhlas. Dia tidak
berniat untuk memuji tapi memang itulah kenyataannya. Kadangkala dia turut
mengagumi bakat yang dimiliki oleh isterinya.
“Semua orang ada kelebihan masing-masing.” Ujarnya
optimis.
“Hmm, arwah abang kau meninggal sebab apa?” Soal
Nedzrish sekadar ingin tahu.
“Accident.
Lori rempuh kereta arwah, masa tu arwah dalam perjalanan nak pergi pertandingan
Battle Of The Band. Tapi tak kesampaian.”
“Sorry
sebab aku tak tahu. Aku minta maaf kalau pertanyaan aku tadi tu buat kau sedih.
Aku tak ada niat.” Ujar Nedzrish serba salah apabila dilihat wajah isterinya
sedikit keruh.
“Lah takapalah. Bukan salah awak pun. Tak salah pun
kalau nak tahu. Sekurang-kurangnya bila orang tanya, awak ada la juga sesuatu
nak dicakapkan tentang isteri awak ni. Tak adalah nampak macam kahwin paksa
sangat. Kan?”
“Betul lah tu. Sofi ada bagitahu aku yang kau dah
lama tak tengok persembahan buskers ni, itu yang aku bawa kau pergi sini.”
“Sejak arwah pergi saya jarang dah pergi tengok
persembahan macam ni. Kalau dulu arwah yang selalu bawa saya ke tempat macam ni,
tapi sekarang nak pergi sendiri tu rasanya tak kot. Lagipun dah sibuk dengan
kerja.” Jelas Qalish Audrina lagi.
“Ni kau tak sedih ke aku bawa kau pergi sini?”
“Sedih? Tak lah saya seronok. Tapi dalam masa yang
sama sedih tu ada lah juga. Kalau saya rindu sangat dekat arwah, saya akan ajak
Sofi temankan saya ke Sogo. Kat sana pun selalu juga orang buat persembahan.”
“Mesti kau rasa kehilangan kan? Yalah, dia
satu-satunya abang yang kau ada. Kau minat muzik pun sebab dia. Mesti banyak
kenangan antara kau dengan dia.” Ujar Nedzrish yang sedang menyelami hati dan
perasaan isterinya tika itu. Dia sendiri tidak dapat membayangkan jikalau dia
kehilangan kakaknya Syaqilah, kerana dia sangat akrab dengan wanita itu.
“Kalau nak bercerita tentang kenangan saya dengan
dia. Terlalu banyak Rish. Tapi saya redha, kami sekeluarga dah lama redha
lepaskan dia pergi. Cuma sesekali tu rasa rindu. Saya ingat lagi, selepas arwah
meninggal, saya ada suruh umi cari kan calon suami untuk saya. Tapi, ada
syarat.”
“Apa syaratnya?”
“Saya nak seorang ahli muzik menjadi yang halal
untuk saya. Saya taktahu lah kenapa, kalau saya sedih ke atau rasa sunyi. Saya
suka kalau orang mainkan muzik untuk saya. Kadang-kadang tu sampai boleh
tertidur masa arwah abang main gitar untuk saya.” Ujarnya seraya menggelengkan
kepalanya. Tidak sangka dia begitu meminati muzik sehingga mahukan lelaki yang
pandai bermain muzik untuk menjadi suaminya.
“Umi tak cakap apa-apa ke dengan permintaan kau tu?”
Soal Nedzrish bersama senyuman. Kalaulah isterinya tahu yang dia juga pandai
bermain gitar, apa agak-agaknya reaksi isterinya ya?
“Umi geleng kepala je lah awak. Umi cakap
kadang-kadang apa yang kita nak, kita tak akan dapat. Tapi belajar lah untuk
terima apa yang dikurniakan untuk kita. Betul juga kata-kata umi tu.”
“Okay, andai kata kau ditemukan dengan lelaki yang
kau cari selama ni iaitu seorang pemuzik. Kau nak buat apa?” Soalnya penuh
minat.
“Kalau saya bujang lagi, saya ajak dia kahwin kot.
Hahaha. Tapi masalahnya saya dah kahwin. So
memang tak akan dapat lah kan bersuamikan ahli muzik?” Ujarnya lalu tergelak
kecil.
“Siapa cakap? Mana tahu apa yang kau nak selama ni,
ada depan mata kau sebenarnya.” Ujar Nedzrish berkias. Qalish Audrina sudah
kerut dahi tanda tidak memahami kata-kata suaminya.
“Maksud awak?”
“Mungkin impian kau akan tercapai. Tapi bukan
sekarang. Mungkin lah.” Ujarnya. Belum bersedia untuk berterus terang.
“Ada-ada sajalah awak ni. Saya tak berharap pun lah.
Kalau tak jumpa pun, saya still boleh
pergi sini lagi kan? Dengan awak, maybe?”
Ujarnya seraya mendongak memandang wajah bersahaja Nedzrish.
“Tengok lah kalau rajin. Dah lah, berembun lama-lama
kat luar ni dapat apa? Balik jom.” Ujar Nedzrish lalu dia segera berdiri dan
menghulurkan tangan kepada isterinya untuk bangun.
“Erk....”
Qalish Audrina terkesima melihat perubahan suaminya. Sejak bila Nedzrish pandai
hulur tangan untuk membantunya bangun dari duduk? Selalunya lelaki itu akan
pergi begitu sahaja dan membiarkan dia bangun sendiri.
“Apa? Kita kan suami isteri? Salah ke?” Nedzrish
tayang wajah masam. Salah ke apa yang dia lakukan itu?
“Tak salah. Cuma awak pelik sikit malam ni. Anyway, saya boleh bangun sendiri.” Ujarnya
bersama senyuman tanpa menyambut huluran tangan Nedzrish. Nedzrish hanya
membalas kata-kata isterinya dengan menjuihkan bibirnya.