Setelah selesai tugasannya di pejabat, dia tidak
terus pulang ke rumah. Adra Sofia bercadang untuk singgah ke Kafe Lazathia
untuk bertemu dengan Ezzaidi. Sudah hampir dua minggu dia tidak bertemu dengan
lelaki itu.
Dari jauh lagi, Ezzaidi sudah mengukir senyuman
manis. Adra Sofia mengatur langkah pantas untuk ke kafe itu kerana Ezzaidi
sudah menanti dirinya.
“Hai Ez.” Adra menyapa mesra Ezzaidi yang sedang tersenyum memandang dirinya.
“Hai Adra. Kenapa dah lama sangat tak datang kafe?”
soal Ezzaidi ingin tahu, sebenarnya dia merindui wanita itu. Ya, rindu untuk
mendengar masalah wanita itu, rindu untuk berhadapan dengan sikap angkuh Adra
Sofia.
“Eh, rindu I ke?” Sengaja dia mahu mengusik.
“Mana ada, I tanya je lah. Ye lah, selalunya mesti
you akan lepak sini kan. Dalam seminggu tu, mesti dua tiga kali you akan cari I
untuk sembang kosong. Tapi ni dah hampir dua minggu you tak datang sini. You
kemana? Pergi bercuti tak bagitahu I eh?”
“Tak lah, I ada je dekat sini.” balas Adra Sofia
lalu dia segera membuat pesanan. Dia bercadang ingin makan malam disitu sahaja.
“Kalau you ada dekat sini, kenapa you tak datang
jumpa I? I call you, banyak kali,
asyik tak berangkat je. WhatsApp I pun you balas kadang-kadang je. Kenapa
Adra?”
“Hmm… I sibuk sikit la sekarang. Bukan nak jauhkan
diri dari you atau apa, I cuma terlupa nak reply.”
“You sibuk? You sibuk apanya Adra? You tu bukan
kerja pun, tak payah nak beri alasan yang you sibuk sangat lah.” balas Ezzaidi
bersama sengihan sinis.
“Hish! I memang dah kerja dah sekarang. Sebab itulah
I sibuk, nak uruskan syarikat, handle
meeting dengan klien lagi. Penat tahu
tak.”
“Serius lah? You dah kerja dengan syarikat ayah you?
I bermimpi ke apa ni?” Ezzaidi menyoal seperti tidak percaya pula.
“Ye lah Ez. Mulai sekarang, you dah tak boleh nak
kutuk-kutuk I lagi. You kena respect
sikit I, sebab I dah jadi wanita yang berkerjaya tau sekarang ni.” ujar Adra
Sofia dengan bangganya.
“Wow! I bangga dengan you Adra! Akhirnya, you kerja jugak dengan ayah you kan? Apa yang buat
you berubah ni?”
“Siapa lagi kalau bukan si Ruzail tu.”
“Ruzail yang suruh you kerja dengan ayah you? Eh,
selama ni pun dia ada jugak nasihat
kan you supaya kerja kan? Tapi tak pernah sekali pun, you ikut cakap dia.
Kenapa tiba-tiba saja ni?” Berkerut dahi Ezzaidi tanda dia kehairanan dengan
perubahan Adra.
“I paksa Ruzail supaya kahwin dengan I hujung tahun
ni. Dia setuju untuk kahwin dengan I, tapi bersyarat. Syaratnya ialah I kena
kerja dengan ayah I. So, itu yang I
terpaksa kerja. You fikir I ni hadap sangat ke syarikat tu? I tak kisah
langsung okey.”
“Pandai Ruzail jatuhkan keangkuhan you kan. Akhirnya
you jatuh tersungkur jugak Adra.” Ezzaidi
membalas bersama sengihan sinis. Bukan senang untuk menundukkan keangkuhan
wanita itu.
“I tak rugi apa-apa pun, bila I ikut cakap dia, dia
pun ikut cakap I. Fair and square lah
tu.” balas Adra Sofia yang tetap tidak mahu nampak lemah di hadapan Ezzaidi.
Dia masih tetap ingin menegakkan egonya.
“Haish you ni Adra. Tak pernah nak mengaku kalah kan. So, you jadi lah ni kahwin dengan Ruzail
hujung tahun ni?”
“Yes! I tak sabar nak kongsi cerita best ni dekat you! Ezzaidi, akhirnya setelah lama I tunggu, dia
setuju jugak nak kahwin dengan I. I tak sabar sangat nak tunggu hujung tahun ni
tau, tak sabar nak bergelar isteri kepada lelaki yang I cinta. Bertahu-tahun I
simpan rasa sayang ni untuk Ruzail, akhirnya dia akan jadi milik I sepenuhnya
tak lama lagi. Happy sangat!” cerita
Adra Sofia dengan wajahnya yang sangat teruja.
“I pun tumpang gembira jugak, sebab apa yang you risaukan selama ni, dah terlerai. Ruzail
memang sayangkan you, you tak perlu lah nak persoalkan tentang itu lagi. So sekarang ni, you fokus untuk siapkan
diri you, untuk jadi isteri yang terbaik untuk dia.”
“Itulah, I lega sangat. Kadang-kadang tu I terfikir jugak, si Ruzail ni ada perempuan lain
ke, sampai susah sangat nak bincang pasal kahwin. Bila dia sendiri dah setuju,
I dah tak fikir apa dah. I memang harap sangat, semuanya akan berjalan lancar.”
ujar Adra Sofia, masih lagi dengan riak wajah gembira.
“So, dah ada tarikh nikah ke?”
“Dah, 28.12 ni I nikah. Pagi nikah, malam
bersanding. You datang tau, I nak you jadi tetamu istimewa I.”
“Mesti lah datang, bestfriend I kahwin kan.” balas Ezzaidi dengan wajah yang sedikit
keruh. Entah lah, mengapa dia perlu berasa cemburu pula? Bukan kah selama ini
dia mahu melihat Adra Sofia mengikat kasih dengan Ruzail? Dia sendiri yang
mendesak Adra Sofia supaya memujuk Ruzail untuk melangkah ke arah perkahwinan,
mengapa dia tidak gembira pula?
“Tapi itulah, Ruzail tu sibuk dengan urusan bisness
dia. I tak pergi butik pengantin lagi untuk pilih persalinan kitaorang masa
akad nikah nanti. Dia asyik sibuk je.”
“You kan sekarang ni dah bekerja, you mesti boleh
faham kesibukan dia kan? Dah lah, you makan lah. I nak minta diri sekejap.”
“Eh, nak pergi mana? Teman lah I makan.” Adra segera
memaut lengan Ezzaidi bersma rengekan manja. Dia tidak puas lagi bersembang
dengan Ezzaidi.
“I kan tengah kerja ni, I nak sambung kerja semula lah.
Nanti you dah nak balik, you bagitahu I okey?”
“Eh, selalunya kalau I datang masa you tengah kerja.
You boleh je tinggalkan kerja you sekejap untuk teman I borak. Kenapa hari ni
tak boleh pulak? Pelanggan bukan
ramai sangat pun sekarang ni.” Adra Sofia mula mempersoalkan. Hairan pula
dengan sikap Ezzaidi.
“You makan je lah okey? I nak kena tolong Alya,
kesian dia buat kerja sorang-sorang. Enjoy
your meal.” Belum sempat Adra Sofia ingin membalas, Ezzaidi sudah berlalu
untuk ke dapur.
*****
“Adra, lewat kamu balik hari ni? Banyak kerja ke?”
Sebaik sahaja Adra Sofia melangkah masuk ke dalam rumah, dia disapa oleh ibu
tirinya.
“Tak pun, Adra habis kerja pukul 7 malam tadi. Tapi
Adra singgah kafe Ezzaidi sekejap, dah lama tak jumpa dengan dia.” balas Adra
Sofia. Dia tidak jadi meneruskan niatnya untuk terus berlalu ke kamarnya kerana
ibu tirinya seperti mahu bersembang dengan dirinya.
“Oh, ni dah makan malam lah ni?”
“Dah, mama kenapa tak tidur lagi ni?”
“Saje je mama tunggu Adra. Dah lama tak bersembang
dengan Adra. Sejak Adra dah mula bekerja ni, makin susah pulak nak tengok Adra melekat dekat rumah.” luah Datin Zureen. Ya,
memang selama ini dia mahu melihat anak tirinya itu membantu suaminya di pejabat.
Tetapi apabila semua ahli keluarganya sibuk di pejabat, dia terasa sunyi pula.
“Eh, bukan ke selama ni mama nak sangat tengok Adra
kerja dengan ayah? Adra baru je dua minggu kerja dekat sana. Dah rindu dah ke?”
soal Adra Sofia sengaja mahu mengusik ibu tirinya.
“Memang lah mama nak sangat Adra tolong ayah dekat
pejabat, tapi bila semua orang sibuk uruskan pejabat, mama rasa kosong lah pulak. Hari dah malam, baru semua orang
balik rumah.”
“Alah, biasa la tu ma. Nanti bila Adra dah pandai
uruskan syarikat, ayah tak payah lah masuk ke pejabat lagi. Ayah boleh teman
mama setiap hari dekat rumah ni okey?” ujar Adra Sofia lembut. Meskipun mereka
berdua selalu bertegang urat, namun Adra Sofia bukanlah seorang manusia yang
gemar memanjangkan sesuatu perkara. Padanya itu cuma salah faham biasa.
Hubungannya dengan ibu tirinya masih seperti biasa kerana dia sangat menghargai
Datin Zureen yang membesarkannya sejak dari kecil lagi.
“Mama bangga dengan Adra. Akhirnya, Adra fikir jugak untuk tolong ayah. ALHAMDULILLAH,
doa mama selama ni, ALLAH kabulkan juga.” ujar Datin Zureen dengan senang hati.
Adra Sofia hanya tersenyum nipis. Kalaulah mamanya tahu yang dia buat semua ini
kerana terpaksa, pasti mamanya tidak akan berasa lega seperti ini.
“Oh ya Adra, bila kamu dan Ruzail nak ke butik
pengantin? Pergi lah bawa dia untuk pilih design
apa yang kauorang suka.”
“Hmm… Tak tahu lagi lah mama. Sebab sepatutnya
minggu lepas Adra pergi dengan dia, tapi tiba-tiba dia terpaksa ke Hong Kong pulak. Nak buat macam mana, dia tu sibuk
sangat.”
“Lah, bukannya lama sangat pun. Suruh la Ruzail
ambil cuti sehari. Jangan suka sangat nak tangguh-tangguh, nanti kelam-kabut
kita dibuatnya.” tegur Datin Zureen sekadar mengingati anak tirinya supaya
membuat persiapan lebih awal.
“Adra boleh je pergi sendiri, tapi Adra nak pergi
dengan dia jugak. Ye lah, takut nanti
cita rasa Adra tak sama macam apa yang dia suka. Kan susah nanti.”
“Itulah mama cakap, pergi pujuk si Ruzail tu supaya
luangkan sikit masa untuk persiapan perkahwinan kamu berdua ni. Ha lagi satu,
dekat atas meja dalam bilik kamu tu, mama ada letak beberapa contoh kad
jemputan. Nanti Adra pilih lah, yang mana satu Adra berkenan ya.”
“Okey ma. Nanti Adra tengok. Adra nak naik atas
dulu, nak bersihkan badan lepastu tidur. Goodnight
mama.” ujar Adra Sofia yang mahu meminta diri. Tubuh badannya terasa letih
kerana seharian ini dia tidak duduk di pejabat, dia sibuk turun ke tapak projek
untuk memantau perkembangan.
No comments:
Post a Comment