Nuha duduk berteleku di atas sofa sambil memicit
kepalanya yang terasa berdenyut-denyut sejak dari malam tadi. Sejak dua tiga
hari ini dia tidak boleh melelapkan matanya dengan tenang kerana fikirannya
runsing memikirkan tentang rumah tangganya yang hampir musnah. Nazhan juga
sudah jarang pulang ke rumah. Dia buntu memikirkan bila semua ini akan
berakhir.
Pintu rumahnya dikuak kasar oleh seseorang.
Terjengul wajah Nazhan sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumah. Nuha
segera bangun dan mendapatkan suaminya.
“Apa yang kau dah buat belakang aku?” Belum sempat
tangan suaminya dicapai, Nazhan segera memuntahkan soalan.
“Apa yang Nuha dah buat?”
“Kenapa kau tanya aku? Kau jangan nak berlagak baik
depan aku la Nuha. Kenapa kau pergi serang Adra? Kan aku dah cakap dengan kau,
jangan sesekali pergi serang dia. Kau tak faham bahasa ke?”
“Oh, jadinya perempuan simpanan abang dah mengadu
dekat abang lah ni? Cepatnya dia mengadu, tak adalah kental mana pun hati dia
kan?” Nuha memberi respon dengan nada sinis. Nazhan berasa terpukul dengan
kata-kata isterinya.
“Dia bukan perempuan simpanan aku. Dia adalah
perempuan yang aku sayang dan aku cinta. Kalau aku cakap aku nak kahwin dengan
dia. Tak akan ada sesiapa pun termasuklah kau untuk halang aku. Kau kena faham
tu Nuha.”
“Abang, abang sedar tak rumah tangga kita ni
bergolak hebat sebab perempuan tu? Apa yang dia dah buat dengan abang ni sampai
abang berubah sampai tahap macam ni? Ni Nuha abang, isteri kesayangan abang.
Wanita yang abang pernah janji untuk hidup semati dengan dia. Abang lupa ke
semua janji-janji abang?” Nuha memberanikan diri menyentuh wajah serius
suaminya. Sungguh, dia rindu untuk membelai mesra wajah tampan milik Nazhan.
“Aku tak peduli la dengan semua janji-janji tu. Pada
aku, janji tu semua tak berguna dah. Sebab hati dan perasaan sayang aku bukan
untuk kau lagi Nuha. Sekarang ni, aku nak kau pergi minta maaf dekat Adra. Disebakan
perbuatan kau tu, kami berdua ni bergaduh. Aku yang tak tahu apa-apa, tak pasal
kena marah dengan dia. Ini semua sebab kau!” Nazhan menepis kasar jemari
isterinya yang sudah mula merayap di lehernya. Entah mengapa, kalau dulu dia
gemar apabila dibelai begitu oleh isterinya. Tetapi sekarang, dia rimas dan
kalau boleh tidak mahu Nuha menyentuh tubuh badannya.
“Abang nak suruh Nuha minta maaf dengan perempuan
tak sedar diri tu? Tak abang. Nuha tak akan minta maaf dengan dia. Dia yang
sepatutnya minta maaf dengan Nuha sebab dah ganggu rumah tangga Nuha.” Jawapan
yang diberikan oleh Nuha menyebabkan Nazhan tiba-tiba naik angin.
“Apa masalah kau ni Nuha? Kenapa yang susah sangat
nak ikut cakap aku? Kau yang sengaja cari masalah, lepastu kau tak nak
selesaikan pulak? Kau tuduh dia macam-macam, kau dah menjatuhkan maruah dia
dekat tempat awam.”
“Nuha peduli apa. Itu bukan masalah Nuha. Pada Nuha,
dia yang sengaja nak cari masalah. Dah tahu abang ni suami orang, kenapa dia
sibuk nak kacau? Dia tu terdesak sangat ke sampai sanggup hancurkan rumah
tangga orang? Nuha peliklah, kenapa begitu murah sangat selera abang? Perempuan
macam tu yang abang tergila-gilakan siang dan malam?”
“Kurang ajar!” Nazhan tidak dapat menahan suhu
kemarahan yang semakin menguasai dirinya. Ditolak kasar tubuh isterinya ke atas
sofa lalu dengan penuh rasa amarah dia menampar pipi isterinya berkali-kali.
Tidak dihiraukan jeritan halus si isteri.
“Kau sengaja nak cabar aku kan Nuha? Apa kau ingat
aku tak berani nak naik tangan dekat kau? Aku ni suami kau, aku boleh buat apa
je yang aku nak!” bentak Nazhan lalu dia menolak tubuh isterinya ke atas
lantai. Esak tangis Nuha dibiarkan begitu sahaja.
“Abang, selama kita bergelar suami isteri. Tak
pernah sekalipun abang jentik Nuha, tak pernah sekalipun abang berkasar dengan
Nuha. Tapi disebabkan abang nak pertahankan perempuan tu, abang sanggup pukul
Nuha? Suami jenis apa abang ni?” Nuha merintih hiba. Air mata yang mengalir
deras tidak mampu diseka.
“Aku dah cakap dengan kau kan, jangan buat sesuatu
perkara yang aku tak suka. Tapi kau degil Nuha. Aku dah warning dekat kau awal-awal lagi, jangan pergi jumpa dia. Kau tak
payah nak salahkan aku la Nuha, kalau kau dengar cakap aku. Aku tak akan berkasar
dengan kau. Kau sengaja cari pasal.”
“Kalau Nuha tak bersemuka dengan dia, sampai
bila-bila perempuan tu akan fikir yang Nuha tak kisah abang berhubungan dengan
dia. Sampai bila abang nak seksa jiwa Nuha macam ni abang? Sampai bila?” Nuha
merenung wajah kusut suaminya. Dia tahu suaminya tertekan berhadapan dengan
situasi ini. Kalau suaminya tertekan, dia berkali ganda lebih terluka kerana
dia mangsa kecurangan suaminya sendiri.
“Kau nak aku noktahkan semua ni Nuha?”
“Ya abang, Nuha dah tak sanggup nak hidup macam ni.
Nuha rindu kan kita yang dulu. Nuha tak nak anak-anak kita membesar dengan
suasana yang tak bahagia macam ni. Tolong la abang, kalau abang tak boleh nak
fikirkan tentang perasaan Nuha. Fikirkan lah tentang anak-anak kita. Zuriat
abang jugak.” Dia merayu sepenuh
hatinya. Dia mahu suaminya memahami betapa dia sangat menyanyangi perkahwinan
mereka berdua dan tidak mahu mereka berakhir dengan perpisahan.
“Nuha Amira Binti Abdullah. Aku ceraikan kau dengan
talak satu.” tutur Nazhan dengan satu nafas sahaja. Dia sudah fikir
masak-masak. Dia tidak mahu meneruskan perkahwinan mereka lagi kerana dia tidak
mahu isterinya akan lebih menderita.
“Abang! Apa yang abang buat ni?” Nuha meluru
mendapatkan suaminya yang sudah mahu beredar ke tingkat atas.
“Ini apa yang Nuha nak kan? Nuha nak abang noktahkan
semua ni kan? Abang dah tunaikan permintaan Nuha.” ujarnya tanpa memandang
wajah Nuha yang lencun dengan air mata.
“Bukan ni yang Nuha nak abang! Nuha nak abang
kembali pada Nuha dan anak-anak. Nuha nak abang setia dengan Nuha, Nuha nak
keluarga kita bahagia macam dulu. Tinggalkan la perempuan tu abang. Kembali lah
balik pada Nuha. Nuha merayu sangat.” Nuha mengenggam erat jemari suaminya
namun Nazhan tetap mengeraskan anggota tubuhnya.
“Aku tetap dengan keputusan aku Nuha. Kalau kita
teruskan jugak hubungan kita, kau akan lebih sakit. Hati aku ni, memang tak ada
ruang langsung untuk kau. Aku tak ada selera tengok isteri aku sendiri. Dah
Nuha, kita jumpa dekat mahkamah je nanti.”
“Nuha tak nak berpisah dengan abang. Tolong lah
abang jangan buat keputusan terburu-buru.” Dia menghalang suaminya untuk
berlalu ke tingkat atas.
“Aku dah tak cintakan kau lagi! Kau tak faham ke?
Jangan jadi bodoh la mengemis cinta daripada aku. Pada aku, cinta dan kasih
sayang kau tu tak bernilai langsung! Aku nak kau berambus daripada rumah aku
hari ini jugak. Bawa sekali anak-anak kau. Aku tak nak tengok korang ada dekat rumah ni.” jerkah
Nazhan dengan wajah menyeringai kemarahan. Nuha terdiam mendengar ayat-ayat
yang diucapkan oleh suaminya. Sampai begitu sekali suaminya ingin
mempertahankan Adra Sofia.
Tidak lama kemudian, Nazhan turun semula bersama beg
pakaian Nuha. Dia juga mengarahkan orang gaji rumah mereka supaya membawa
kedua-dua anak kembarnya turun.
“Pergi berambus kau dari sini Nuha. Tempat kau bukan
dekat sini lagi. Soal anak-anak, kita bincang dekat mahkamah je nanti. Kau tak
payah risau lah, aku tak akan abaikan tanggungjawab aku. Cuma, aku tak nak
tengok anak-anak kau ada dekat rumah aku. Berambus!” Nazhan mencampak beg pakaian
tepat kepada isterinya yang sedang merintih hiba sambil memukul permukaan
lantai.
“Bibik, nanti call
teksi. Pastikan perempuan ni dengan budak-budak ni keluar daripada rumah saya.
Kalau saya turun nanti, diaorang masih ada lagi. Bibik yang akan saya halau
sekali.” arah Nazhan lalu dia segera memanjat tangga. Tidak dipedulikan
tangisan Adam dan Adha yang semakin kuat itu. Mungkin anak kecil itu mengerti
derita yang ditanggung oleh ibu mereka.
“Sampai hati papa buat kita macam ni. Jom sayang,
rumah ni bukan syurga kita lagi. Papa dah buang kita semua.” Nuha cuba untuk
mengutip sisa kekuatan yang dia punya. Dengan penuh kepayahan dia mengendong
kedua-dua anak kembarnya untuk keluar dari rumah itu. Sungguh, dia tidak sangka
lelaki yang dia cintai selama ini sanggup mencampak dirinya tanpa belas
kasihan.
******
Malam itu, Ruzail membawa Adra Sofia keluar makan
malam di salah sebuah restoran kegemaran wanita itu. Sepanjang perjalanan ke
restoran itu, Ruzail lebih banyak mendiamkan diri. Adra Sofia berkali-kali cuba
untuk menceriakan suasana, namun lelaki itu hanya membalas dengan respon yang
hambar.
Selesai memesan makanan, Ruzail merenung wajah Adra
Sofia dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Adra Sofia semakin hairan
dengan sikap pelik teman lelakinya.
”Ruzail, kenapa you nampak lain hari ni? Ada apa-apa
masalah ke?” Tidak lama kemudian, dia segera menegur Ruzail yang sedang
membuang pandang ke luar restoran.
“I ada perkara penting nak bincangkan dengan you.
Tentang kita.”
“Tentang kita? Kenapa dengan kita?” soalnya hairan.
“Yela tentang kita. Parents I dah mula nak masuk campur tentang hubungan kita ni. I
rimas la Adra, I tahu la apa yang I buat. Rasanya mama dengan papa I tu tak
perlu lah nak sibuk aturkan hidup I, dengan siapa I nak berkahwin, bila I nak
kahwin. I dah dewasa kan.” luah Ruzail bersama wasjahnya yang sedikit kusut.
“Hmm… Kenapa dengan parents you? Diaorang desak supaya you cepat-cepat kahwin ke?
Diaorang tahu kan you dengan I?”
“Tahu, sebab diaorang tahu I dengan you la diaorang suruh
I cepat-cepat halalkan hubungan kita ni. Masalahnya sekarang ni, yang bercinta
tu I, tapi yang parents I nak sibuk
sangat tu dah kenapa?”
“Sama la dengan parents
I. Selama ni ayah dengan mama tak pernah masuk campur tentang kita. Tapi
baru-baru ni ayah I dah mula bising pasal ni. Oh ya, you tahu tak yang ayah you
dan ayah I ada berjumpa. Diaorang bincang pasal kita.”
“Ye? I tak tahu pulak.
Diaorang cakap pasal apa je?” soal Ruzail ingin tahu.
“Sembang-sembang biasa je. Diaorang risau la bila
kita ni nak kahwin. I rasa I tahu la kenapa parents
kita dah sibuk masuk campur tentang kita. Ye la you bayangkan la, kita dah lama
macam ni. Tapi kahwinnya tak pun, diaorang risau la, takut yang kita ni cuma
nak main-main je.”
“Oh, so
you pun sama la macam parents kita?
You fikir yang I ni memang sengaja nak mempermainkan you? Adra you tahu kan, I
sibuk dengan bisness I, mana ada masa nak fikir pasal kahwin.” Ruzail membalas
dengan wajah bengang. Dia fikir Adra Sofia akan berpihak padanya, namun lain
pula telahannya.
“No. I tak cakap macam tu pun, tapi I kena akui la apa
yang orang tua kita risaukan tu adalah rasional. Diaorang nak tengok kita
bersatu dengan cara yang baik. Lagipun Ruzail, kalau you asyik nak tunggu
semuanya stabil, memang sampai bila-bila la kita tak akan kahwin. For this time being, I nak you fikir
balik, apa tujuan you bercinta dengan I?” Adra Sofia bersuara dengan nada
serius. Ya, sejak pertengkaran dengan orang tuanya beberapa hari yang lepas
tentang hubungannya dengan Ruzail. Dia berfikir semula tentang hal itu.
Wajarlah kedua orang tua mereka bimbang tentang mereka kerana mereka berdua
sudah selayaknya bergelar suami isteri. Lagi pula Adra Sofia tidak mahu terikat
dan terbeban dengan rasa bersalah berhubungan dengan Nazhan di luar pengetahuan
teman lelakinya.
“I sayang you Adra, you tak perlu nak persoalkan
kasih sayang I dekat you. Selama ni pun you dah boleh nampak effort I. Cuma sayang, untuk kahwin
dalam waktu terdekat ni. I tak bersedia lagi. Apa you ingat tanggungjawab I tak
besar ke untuk I galas lepas kahwin nanti? You tu, dah get ready mental dan fizikal ke nak jadi isteri?”
“Kan nanti kita sama-sama boleh belajar. Bukannya
tak boleh belajar. You ni la, banyak sangat alasan.”
“Papa I desak I supaya kahwin dengan you hujung
tahun ni. Susah untuk I kata yes.
Sebab terlalu cepat. Ada lebih kurang 4bulan je dari sekarang.” ujar Ruzail.
“Okey la tu hujung tahun ni, bukannya dia suruh you
kahwin bulan depan kan? Ada banyak lagi masa la sayang untuk prepare apa yang patut. You setuju je
la, kalau I. I okey je dengan cadangan papa you tu.”
“Banyak masa you cakap? Sekarang ni I tengah uruskan
projek mega syarikat. Susah untuk I bagi komitmen untuk preparation wedding kita. Nanti you cakap I tak serius dan tak
ambil kisah pulak. I ni kalau boleh
nak elakkan masalah-masalah yang akan berlaku di masa akan datang. You ingat I
tak fikir eh?”
“Hmm… Yelah Ruzail. Kalau cakap pasal kahwin dengan
you, memang I yang akan kalah. I pun dah tak nak desak you sebab nanti you
cakap I ni girlfriend yang tak
memahami you. So, I leave it to you.”
putusnya yang malas mahu memanjangkan perbincangan mereka. Ruzail tetap dengan
keputusannya. Makanan yang baru sahaja tiba di meja mereka ditatap dengan penuh
berselera.
“I bukan tak serius dengan you tau, I cuma perlukan
masa. Itu je.”
“Okey, kalau macam tu nanti you jumpa dengan parents I. You jelaskan la dekat
diaorang macam apa yang you jelaskan dekat I ni, okey? Sebab I rimas la mama
dengan ayah asyik tanya bila you nak masuk meminang I.”
“Okey sayang, nanti kalau I free, I akan pergi jumpa diaorang.” ujar Ruzail lalu dia menarik
nafas lega. Mujurlah Adra Sofia tidak mendesak dirinya.
“I kan girlfriend
yang paling understanding dalam dunia
ni.” balasnya dengan niat untuk memerli Ruzail. Ruzail ketawa halus mendengar
kata-kata Adra Sofia.
“That’s why I jatuh cinta dekat you tanpa syarat.” Ruzail
bersuara romantis. Adra Sofia hanya membalas kata-kata teman lelakinya dengan
senyuman sinis sahaja.
No comments:
Post a Comment