“Tadi kau jugak yang beria-ria nak ikut aku pergi snorkeling. Dah sampai dekat Turtle
Beach tadi, kau tak nak pulak turun. Apa benda yang kau nak sebenarnya ni ha?”
Nedzrish mendengus kegeraman melayan sikap Qalish Audrina yang seperti anak
kecil. Qalish Audrina hanya berwajah kosong sahaja mendengar bebelan suaminya
itu. Peristiwa semalam terlintas kembali di layar matanya membuatkan dirinya
tidak berani untuk turun bersama suaminya ke bawah.
“Tadi saya berani, tapi bila dah tengok air rasa
macam tak berani lah awak.”
“Itu lah kau ni memang perempuan kepala batu. Kalau
dari tadi kau dengar cakap suami kau ni, mesti aku dapat meneroka air laut
dengan jayanya. Disebabkan kau lah ni, aku pun tak dapat turun ke bawah. Buang
masa aku je lah layan kau.”
“Awak nak terjun, awak terjun lah. Biar lah saya
duduk atas bot ni tunggu awak. Bukan semua orang turun ke bawah pun. Ada yang
nak bersiar-siar je naik bot ni.”
“Aku tak percaya langsung dengan kau ni. Kau bukan
pandai jaga diri sendiri pun. Lebih baik aku duduk atas bot ni pastikan kau tak
buat benda bukan-bukan. Mana tahu bila aku ke bawah nanti kau merayap tempat
lain. Kau tu bukan betul sangat.” Nedzrish masih lagi tidak berpuas dengan
isterinya. Hasratnya untuk meneroka isi laut terbantut kerana kerenah
mengada-ngada isterinya.
“Kalau macam tu, tak payah lah nak merungut. Awak
sendiri yang offer diri nak duduk
dengan saya kat atas ni kan. Saya tak paksa.”
“Ni check
point yang kedua. Orang cakap kalau turun ke bawah, ada peluang nak tengok
penyu depan mata. Kau nak turun ke tak nak?”
“Mana awak tahu yang saya nak sangat tengok penyu?”
Soal Qalish Audrina dengan matanya membulat memandang Nedzrish yang sudah
bersiap sedia untuk terjun ke bawah.
“Macam lah aku tak dengar kau sembang dengan Abang
Rief malam sebelum kita bertolak. Teringin sangat nak jumpa penyu katanya. Hah,
dah sampai dah ni. Jom turun, tengok binatang kesayangan kau tu.”
“Saya memang teringin nak turun. Tapi saya trauma
lagi pasal semalam lah..”
“Kalau kau masih lagi takut dengan air, yang gatal
sangat nak ikut aku dah kenapa?” Nedzrish mula meninggikan suaranya sehingga
Qalish Audrina menyiku lembut perutnya supaya memperlahankan intonasi suaranya.
“Kau jangan nak banyak bunyi. Sebelum aku humban kau
dalam mulut shark, lebih baik kau
ikut aku terjun bawah.” Nedzrish mendekatkan wajahnya ke wajah isterinya yang
kelihatan seperti takut-takut.
“Awak turun lah sorang. Saya boleh jaga diri saya
sendiri lah.”
“Aku ada lah. Apa yang kau nak takutkan? Pegang
tangan aku ni kuat-kuat, jangan nak ikut rentak sendiri. Mesti okay punya lah
kalau kau dengar cakap aku.” Nedzrish meyakinkan isterinya. Disentuh kasar jari
jemari isterinya lalu digenggam erat.
“Awak.. Saya tak nak lah.” Qalish Audrina mengundur
semula kakinya ke belakang.
“Aku tak nak nanti bila sampai KL, kau memekak dekat
telinga aku merengek tak dapat tengok penyu. Kita dah sampai dah ni, jom
cepat.”
“Janji jangan lepas kan tangan saya?”
“Tak payah nak berjanji beria sangat lah. Kita bukan
nak pergi berperang, nak bersnorkeling
je.” Marah Nedzrish lalu dia segera terjun ke dalam air. Dia menghulurkan
tangannya kepada isterinya yang masih lagi teragak-agak untuk turun. Nedzrish
mendekatkan tangannya ke tangan isterinya. Dengan berhati-hati, Qalish melompat
ke dalam air. Disebabkan langkahnya yang tidak stabil, dia terjun betul-betul
terus ke dakapan Nedzrish. Nedzrish tergamam beberapa saat sebelum dia menyelam
ke bawah bersama tangan kanannya mengengam erat jari-jemari Qalish Audrina.
****
“Awal abang balik hari ni? Selalunya kalau pergi
main golf, mesti malam baru abang balik rumah.” Datin Khalidah yang sedang
menyusun pokok bunga yang baru dibelinya pagi tadi menegur suaminya apabila
melihat susuk tubuh suaminya melangkah keluar dari kereta.
“Abang rasa nak rehat kejap. Malam nanti abang ada dinner dengan Datuk Azlan. Bila-bila
nanti boleh main golf lagi.” Balas Dato’ Ezzudin sambil tersenyum manis.
“Abang ada call Rish tak? Esok diaorang balik kan?
Siapa jemput mereka dekat airport?” Soal Datin Khalidah lalu dia segera
mengikut langkah suaminya yang sedang menuju ke arah meja bulat yang tersedia
di taman mini rumah mereka itu.
“Rish tu dah besar lah Idah. Kenapa awak nak susah
hati fikir kan pasal dia? Pandai lah dia. Dia dah ada isteri dah pun, tak payah
lah awak nak ambil tahu sangat.”
“Memang lah Rish tu dah beristeri. Tapi dia tetap
anak saya, kenapa saya tak boleh nak ambil tahu tentang anak sendiri?” Bidas
Datin Khalidah tanda tidak bersetuju dengan kata-kata suaminya.
“Bukan tak boleh ambil tahu, tapi awak jangan nak
layan dia macam dulu lagi. Kalau awak masih lagi nak manjakan dia, sia-sia
ajelah apa yang saya buat ni. Baik Rish tak payah kahwin dengan Qalish.”
“Bagus lah kalau abang sedar apa yang abang buat ni
tak betul. Sepatutnya umur macam Rish tu dia perlu fokus dengan pelajaran
sahaja. Tak ada tanggungjawab pun lalai dengan pelajaran, apatah lagi bila dah
ada isteri untuk dijaga. Abang tak fikir ke bang?” Datin Khalidah tahu setiap
kali dia cuba menasihati suaminya hanyalah sia-sia sahaja. Namun sampai ke hari
ini dia masih tidak boleh menerima kenyataan anak bongsu mereka sudah berumah
tangga. Padanya Nedzrish terlalu muda untuk mengemudi bahtera perkahwinan.
“Itu yang membezakan awak dengan saya. Saya selalu
fikir untuk ajar anak jadi manusia
berguna. Tapi awak tu selalu ajar manja kan budak tu sampai tak reti nak
uruskan hidup sendiri.” Balas Dato’ Ezzudin bersama wajah serius. Dia sudah
letih setiap kali berbalah dengan isterinya mengenai anak bongsu mereka.
“Ini bukan soal saya terlalu manja kan dia abang.
Cara abang tu salah. Tak apalah. Cakap banyak-banyak pun bukan ada guna. Majlis
dah langsung dah pun.”
“Haa. Bagus lah kalau awak sedar yang anak
kesayangan awak tu dah ada tanggungjawab berat sekarang ni. Sepatutnya awak
sebagai ibu dia, nasihat kan dia apa yang perlu. Bukan sokong perangai tak
semegah Rish tu.”
“Itu memang dah jadi tanggungjawab saya dari dulu
lagi. Cuma saya harap lepas ni abang tak beri arahan bukan-bukan lagi pada dia.
Cukup-cukup lah abang dah aturkan hidup dia selama ni. Saya tak nak Rish
bertambah tertekan nanti.” Datin Khalidah menghalakan pandangan matanya ke arah
anak perempuan tunggalnya yang baru pulang dari kerja. Syaqilah mengatur
langkah menghampiri kedua orang tuanya bersama senyuman hambar di bibirnya.
“Kalau dia masih tidak berubah, abang terpaksa lah
fikir cara lain supaya anak awak tu sedar diri.” Ujar Dato’ Ezzudin tanpa rasa.
“Mama, papa.. Bincang pasal apa ni?” Sampuk Syaqilah
setelah bersalaman dengan kedua orang tuanya.
“Tak ada apalah Syaq. Sembang kosong je.”
“Bukan sembang kosong, mama kamu ni risau sangat
dengan adik kamu si Rish tu. Cuba Syaq cakap dengan papa, apa yang nak
dirisaukan? Rish tu dah besar panjang, pandai-pandai lah dia cari hala tuju
hidup dia sendiri.” Celah Dato’ Ezzudin seraya menyambut huluran gelas dari
orang gaji mereka.
“Mama nak risau apa? Rish kan tengah seronok bercuti
dengan Qalish. Berpuluh gambar dia send
dekat Syaq tadi. Nampak seronok je diaorang tu. Macam dah lama kenal.”
“Awak dengar tak tu? Kan abang dah cakap, keputusan
saya untuk nikahkan mereka berdua tu bukan satu kesilapan.”
“Biar betul Syaq ni? Saja nak sedap kan hati mama
kot?” Soal Datin Khalidah seperti tidak percaya.
“Betul lah ma. Syaq suka tengok Rish bahagia macam
ni, mungkin perkahwinan secara paksaan ni boleh membawa kebahagiaan. Kita mana
tahu kan ma, pa?” Ujar Syaqilah seraya mengeluarkan telefon pintarnya lalu
dihulurkan pada mamanya.
“Seronok betul diaorang ni main tepi pulau, snorkeling sama-sama. Teringin pulak
mama nak pergi. Bila Rish send dekat
Syaq?” Datin Khalidah sedang leka membelek beberapa foto anak menantunya.
“Sebelum Syaq sampai rumah tadi, baru je ni. Rish
minta tolong Syaq ambil dia dekat airport
esok, tapi Syaq cakap Syaq ada meeting
dengan client. Papa ambil kan Rish
boleh?”
“Suruh je diaorang naik teksi. Semua orang sibuk
esok. Kita hidup ni perlu cari duit, kalau goyang kaki je mati kebulur lah
jawabnya.” Balas Dato’ Ezzudin bersuara sinis.
“Ke situ pulak abang ni. Kalau semua orang sibuk,
biar mama ajelah ambil Rish dengan Qalish. Mama pun bukan buat apa pun dekat
rumah ni.”
“Jangan nak manja kan anak awak tu boleh tak Idah?
Awak tahu tak kenapa saya pilih Pulau Perhentian sebagai tempat untuk mereka
berbulan madu? Sebab perjalanan nak ke Pulau tu perlu menaiki bot, bukan boleh
naik teksi terus sampai depan chalet. Saya nak mereka berdua tu berusaha sikit,
walaupun banyak lagi tempat menarik yang mereka boleh pergi. Dekat sana tu saya
nak diaorang belajar hidup sebagai suami isteri. Sebelum melangkah lebih jauh
lagi. Bukan saya buat semua tu suka-suka.” Terang Dato’ Ezzudin panjang lebar.
“Tapi papa buat semua ni tak kena masa lah papa.
Diaorang tu kan baru je kahwin, bagi lah tempat yang menarik sikit. London ke,
Australia ke. Kan seronok sikit nak bercuti.” Sampuk Syaqilah memberikan
pendapatnya.
“Kalau nak pergi tempat mewah macam tu, cari duit
sendiri. Bawa isteri dengan hasil titik peluh sendiri. Papa tak nak Rish dapat
kan sesuatu benda dengan mudah. Nanti dia lupa diri.”
“Anak kita tu tak akan lupa diri kalau dari dulu
abang tak ajar Rish macam ni. Kalau abang tak beza-beza kan cara layanan abang
dengan kakak dan abang. Mesti Rish tak perlu susah payah harungi semua ni.”
“Saya ada pendirian saya sendiri, awak tak perlu
ikut campur. Sampai masa nanti dia sendiri akan ucapkan terima kasih dekat
saya. Awak tunggu ajelah nanti.” Dato’ Ezzudin segera bangun lalu membawa
kakinya ke dalam rumah. Syaqilah dan Datin Khalidah hanya diam seribu bahasa.
******
“Awak. Tunggu sekejap boleh? Saya nak pergi cari
cenderahati sikit untuk kawan-kawan dekat KL.” Qalish Audrina menegur Nedzrish
yang sedang ralit bermain telefon bimbitnya.
“Kau ni banyak hal lah, selama kita dekat sini, tak
nak pulak kau cari? Bila nak balik ni, kalau boleh semua yang ada dekat pulau
ni kau nak bawa balik KL.” Seperti biasa, kata-kata isterinya dibalas dengan
sindiran kasar darinya.
“Kalau ikut kan hati saya, nak bawa balik Pulau
Perhentian ni sekali.” Bidas Qalish Audrina sambil menghayunkan kakinya
meninggalkan Nedzrish yang sudah mahu membalas kata-katanya. Qalish Audrina
buat tidak tahu sahaja, dia terus mengunjungi beberapa kedai menjual
cederahati.
“Sorang je? Encik suami mana?” Qalish Audrina
tersentak hebat apabila suara yang sudah lama tidak menjengah gegendang
telinganya, terasa begitu hampir dengannya saat itu.
“Awak buat apa dekat sini?” Soal Qalish Audrina
sedikit kuat kerana terlalu terkejut melihat susuk tubuh yang amat dikenalinya.
“Mencari seseorang.”
“Siapa?”
“Tapi saya dah jumpa dah seseorang yang saya cari.”
“Mana orang tu? Awak bercuti dengan kawan ke?” Soal
Qalish Audrina sekadar ingin ambil tahu.
“Depan mata, yang tengah tersenyum pandang saya ni.”
Balas Ammar Riyadh seraya tersenyum senang. Dia ke sini adalah untuk menjejaki
gadis pujaan hatinya. Hatinya tidak keruan apabila mendapat tahu Qalish Audrina
bercuti bersama suaminya.
“Bila masa saya senyum pandang awak? Jangan nak
perasan lah Yadh.”
“Awak makin comel bila marah, saya dah lama tak
dengar suara awak. Rindu ni hanya ALLAH yang tahu.” Ammar Riyadh mulai
meluahkan rasa hatinya. Sungguh dia amat merindui wanita yang sudah lama bertakhta
di hatinya. Perpisahan yang tidak pernah direlakan adalah perkara paling sukar
untuk dia terima.
“Awak jangan nak merepek lah Yadh. Berapa puluh kali
saya perlu jelaskan pada awak yang kita dah tak ada apa-apa. Saya cukup bahagia
dengan suami saya. Tak perlu ganggu hubungan kami.” Ujar Qalish Audrina dengan
nada suara yang sudah tidak terkawal.
“Yadh datang sini sebab hati Yadh yang bawa kaki
Yadh ke sini. Yadh rasa tak sedap hati. Lish tak bahagia kan dengan dia?”
Daripada riak wajah Qalish Audrina, dia sudah dapat menebak wajah itu
melukiskan satu persatu masalah yang dihadapi wanita itu. Dai yakin sekali
Qalish tidak bahagia dengan suaminya meskipun wanita itu berkali-kali
menafikannya.
“Saya tak perlu nak jaja kebahagiaan perkahwinan saya
sana sini. Cukup lah sekadar kami saja yang tahu. Boleh tak awak move on?”
“Kalau Yadh cakap Yadh memang tak boleh nak move on, Yadh masih tetap setia menanti
Lish untuk kotakan janji Lish. Macam mana?”
“Janji apa Yadh? Janji apa? Setahu Lish, selama kita
bercinta. Mulut Yadh yang terlalu manis menabur janji. Lish yang sepatutnya
tuntut. Bukan Yadh.” Kemarahan wanita itu seperti sudah sampai ke
penghujungnya. Dia kalau boleh tidak mahu bersemuka langsung dengan lelaki itu.
Kerana dia tahu setiap kali mereka bertemu empat mata, pasti lelaki itu akan
menjadi mangsa amarahnya.
“Sebab tu Yadh datang nak tebus semula janji yang
Yadh pernah berikan pada Lish dulu.”
“Tak payah lah nak berlagak bagus. Setakat janji
mulut, Lish rasa semua orang pernah berjanji tapi lepas tu dia sendiri yang
mungkiri. Tak perlu ambil peduli sangat lah janji tu, dah lapuk.” Selesai
Qalish berkata-kata, dia berkira-kira untuk keluar dari gerai itu. Mujurlah dia
sudah selesai membeli apa yang dia inginkan, kalau tak sia-sia sahaja dia
mengunjungi gerai itu.
“Sekejap Lish. Yadh datang dari jauh tau. Sebab Yadh
nak pastikan Lish selamat depan mata Yadh. Yadh risau sangat, Lish tahu tak?”
“Lish tak pernah suruh Yadh susah-payah datang sini
lah. Jangan nak susahkan diri sendiri boleh tak untuk sesuatu yang memang Yadh
ak akan dapat milikinya?”
“Apa yang lama sangat ni Qalish?” Qalish Audrina dan
Ammar Riyadh sama-sama tersentak mendengar suara seorang lelaki menegur mereka.
Qalish segera memalingkan wajahnya ke arah suara itu. Nedzrish sudah berdiri
tegak di hadapannya sambil mata lelaki itu merenung Ammar Riyadh dengan
perasaan ingin tahu.
“Siapa ni?” Soal Nedzrish kepada isterinya namun
matanya masih tidak lepas dari merenung lelaki tinggi lampai yang sedang
berpeluk tubuh.
“Er. Sayang kenal kan, ni kawan Lish. Kawan masa
sekolah rendah dulu.” Susah betul dia ingin menyebut perkataan “sayang”. Demi
untuk menyakitkan hati Ammar Riyadh, dia terpaksa berlakon yang sememangnya dia
sedang bahagia dengan suaminya.
“Kuat jugak ingatan, kawan sekolah rendah pun masih
boleh kenal. Sembang bukan main lama sampai suami sendiri pun terlupa.” Sindir
Nedzrish, dia sebenarnya sudah bosan menunggu isterinya yang tidak
muncul-muncul lagi.
“Er okay lah Yadh, Lish balik dulu. Jom sayang.”
Qalish Audrina memaut lembut lengan Nedzrish. Meskipun agak canggung pada
mulanya, Qalish Audrina berusaha untuk mewujudkan suasana seperti suami isteri
yang lain di hadapan Ammar Riyadh. Nedzrish pula hanya diam membisu seraya
mengikut langkah Qalish keluar dari gerai itu. Dia yang tidak tahu apa yang
sedang berlaku, berwajah bersahaja sambil kepalanya memikirkan siapa lelaki
itu.
No comments:
Post a Comment