Klikk Jangan Tak Klik!! Duit Nikah 2016

Monday 20 February 2017

Sandaran Terakhir Bab 18



Dato’ Haslan mengatur langkah kalut memasuki Kafe Lazathia dimana tempat Ezzaidi bekerja. Ezzaidi yang baru sahaja selesai menghantar ke meja pelanggan, memandang Dato’ Haslan dengan wajah yang hairan. Tanpa menunggu lama, dia pantas mendekati Dato’ Haslan.

“Ya, uncle? Unlce nak minum apa-apa ke? Duduk dulu uncle.” Ramah Ezzaidi melayan ayah kepada kawan baiknya itu. Tidak membantah, Dato’ Haslan segera melabuhkan duduk.

“Uncle singgah sekejap saja ni. Uncle ada perkara nak tanya Ez.”

“Ada apa ya uncle?”

“Adra ada datang sini tak? Semalam ke, ada tak dia lepak dekat sini?” Ezzaidi tayang wajah pelik. Apa yang sudah berlaku? Mengapa Dato’ Haslan mencari Adra Sofia? Mungkin gadis itu buat hal lagi, tebak hati kecilnya. Adra Sofia, tingkah-laku gadis itu sukar untuk diduga.

“Tak ada pun uncle. Kali terakhir saya jumpa dengan dia, minggu lepas. Lepas tu masing-masing sibuk dengan kerja, tak berkesempatan lagi nak jumpa. Kenapa uncle?”

“Dah dua hari dia tak balik rumah. Ez tak ada contact dengan dia ke?” Soalan Dato’ Haslan dibalas dengan gelengan sahaja.

“Mana lah dia pergi ni. Uncle ingatkan dia datang sini untuk mengadu dengan kamu. Tapi, tak ada pulak ye.”

“Kenapa uncle? Uncle gaduh dengan dia ke?”

“Tak, Adra larikan diri dari semua orang sebab Ruzail tiba-tiba nak batalkan perkahwinan mereka berdua. Kamu sendiri tahu kan, Adra terlampau sayangkan Ruzail. Itu yang dia bertindak luar kawalan ni. Uncle risau sangat, takut apa-apa jadi dekat dia. Dia larikan diri dengan keadaan dia yang tak boleh nak fikir dengan waras.” Keluhan halus dilepaskan. Sudah puas dia berusaha untuk menjejaki Adra namun usahanya sia-sia sahaja.

“Ruzail batalkan perkahwinan mereka? Tapi kenapa uncle?”

“Katanya dia tak boleh nak bahagiakan Adra. Adra tak boleh terima hakikat yang Ruzail ada perempuan lain, sampai sanggup batalkan perkahwinan mereka. Uncle pun tak tahu nak cakap apa lah. Budak-budak sekarang ni, bukan masa zaman dulu-dulu. Susah nak cari cinta yang betul-betul ikhlas.” Ezzaidi tayang wajah terkejut. Biar betul? Setahunya, Ruzail sangat setia selama ini dengan Adra. Masakan lelaki itu hanya mempermainkan perasaan Adra Sofia selama bertahun-tahun mengikat kasih?

“Betul ke ni uncle? Ruzail sendiri mengaku yang dia ada orang lain?” Ezzaidi mahukan kepastian.

“Ya, dia yang datang sendiri untuk jelaskan dekat kami apa yang terjadi. Macam ni lah Ez, kalau Adra ada hubungi kamu. Tolong bagitahu uncle ye?”

“Baiklah uncle. Saya akan tolong uncle untuk cari Adra.” Ezzaidi juga ikut risau. Mana mungkin dia boleh berdiam diri  dan membiarkan Adra Sofia menanggung kesedihan seorang diri.

“Terima kasih. Kamu sambung lah buat kerja. Uncle balik dulu.” Dato’ Haslan segera meminta diri.

Ezzaidi kembali semula ke dapur. Sudah berkali-kali dia cuba untuk menghubungi Adra, namun panggilannya tidak dilayan. Hatinya dipaut kerisauan. Dia berhenti daripada melakukan tugasannya kerana di dalam mindanya sibuk memikirkan tentang keberadaan Adra.

Ezzaidi menarik nafas lega apabila cubaan kali ke 30 untuk menghubungi Adra akhirnya berjaya.

“You dekat mana ni Adra? Kenapa tak jawab panggilan I?”

“Kan dah jawab ni.” Dari nada suara Adra, Ezzaidi tahu wanita itu baru lepas menangis.

“You dekat mana? You dengan siapa?”

“Ni mesti ayah I datang jumpa you kan? Dia bagitahu you ke yang I tak balik rumah?” Adra seperti sudah dapat mengagak. Sudah tentu Dato’ Haslan tidak senang duduk waktu itu kerana bimbang tentang dirinya.

“Ye Adra. Ayah you risau sangat. Kenapa you larikan diri ni? Semua masalah ada jalan penyelesaian. Tapi kalau you lari daripada masalah, tak ada gunanya sebab masalah tu akan menghantui you jugak.”

“I rasa you tahu apa yang berlaku kan?”

“Ye, ayah you ada cerita tadi. Adra, sekarang ni, you bagitahu I, you ada dekat mana. I akan ke sana sekarang jugak.” Ezzaidi tahu saat ini Adra Sofia sangat memerlukan seseorang untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dia mahu sentiasa menjadi seseorang yang akan menemani gadis itu dalam apa jua keadaan.

“I okey je, you tak payah la risau. Nanti bila I dah okey, I akan balik KL.”

“Adra, kalau you anggap I ni kawan baik you, tolong bagitahu I, you dekat mana?”

“I dekat Cameron Highlands, pandai-pandai lah you cari I nanti.” Sebaik sahaja memberitahu dia berada di mana, dia segera memutuskan talian. Ezzaidi tidak menunggu lama, dia segera mencapai kunci keretanya yang disimpan di dalam laci. Dia harus bertemu dengan Adra secepat mungkin.







*****
Ezzaidi tiba di Tanah Rata kira-kira pukul 5.30 petang. Dia cuba untuk menghubungi Adra namun panggilannya tidak berjawab. Dengan penuh rasa sabar dan risau tentang keadaan teman baiknya itu, dia cuba untuk menjejaki Adra meskipun dia tidak tahu wanita itu tinggal di hotel yang mana satu.

Dia keluar dari perut kenderaannya. Dia ingin mencari Adra Sofia di ladang teh itu meskipun ladang teh itu agak luas untuk dia menjejaki seorang wanita. Setelah hampir setengah jam berusaha mencari Adra Sofia, Ezzaidi masih lagi tidak berjaya menemui wanita itu. Sudahnya, dia mengambil keputusan untuk kembali semula ke keretanya.

Sebaik sahaja dia tiba di keretanya, Adra Sofia sudah menanti dirinya dengan wajah yang agak kusut. Ezzaidi melepaskan keluhan geram. Bukan mahu menghubungi dirinya. Huh!

“Kenapa you pandang I macam tu? You pergi mana tadi?” Adra memulakan bicara apabila Ezzaidi mula mendekati dirinya.

“I pergi cari you lah! Kenapa tak reti nak angkat call I?” Wajah Ezzaidi yang kelihatan kepenatan ditatap dengan pandangan kosong. Entahlah, dia tidak tahu mahu membalas apa untuk pertanyaan Ezzaidi itu. Akal fikirannya tidak berfungsi dengan waras tika itu.

“You tinggal dekat hotel mana?”

“I tidur dekat Kavy Hotel. Kenapa? You nak check in hotel dengan I ke?”

“Hish! Tak kan lah I nak tidur satu bilik dengan you pulak. You nak balik KL bila ni?”

“Bila I rasa I nak balik, I balik lah.” Adra melangkah untuk mendekati keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ juga.

“You nak pergi mana ni Adra? I tak habis lagi dengan you ni.” Kesabaran Ezzaidi sengaja diuji oleh wanita itu. Sudahlah dia bergegas ke Cameron Highlands untuk bertemu dengan Adra Sofia. Apabila sudah tiba, dia harus mencari Adra dengan usahanya sendiri. Setelah bertemu dengan wanita itu, Adra mahu buat keras kepala dihadapannya pula. Sakit otaknya berhadapan dengan sikap aneh wanita itu.

“I nak balik hotel lah. You datang sini sebab nak tengok I hidup atau tidak kan? Lepas ni you boleh balik KL dan bagitahu dengan ayah I, yang I baik-baik saja dekat sini. Pergi lah balik.”

“I nak jumpa you ni bukan senang, I tak akan lepaskan you macam tu sahaja.” Keras kedengaran nada suaranya.

“Apa maksud you?” Adra menoleh semula memandang Ezzaidi yang hanya berdiri beberapa jarak sahaja darinya.

“I nak teman you… I akan balik ke KL, bila you bersedia nak balik.”

“It’s up to you.” Adra tidak menunggu lama, dia segera meloloskan dirinya ke dalam Audi A6 miliknya.

“Aku pun tak faham lah kenapa hati aku ni sayang sangat dekat perempuan kepala batu macam kau ni!” Meskipun mulutnya membebel memarahi Adra yang bersikap begitu, namun dia tetap mengikut wanita itu untuk pulang ke hotel. Dia tidak akan pulang ke Kuala Lumpur jika wanita itu tidak ikut bersamanya.






*****
Malam itu, Ezzaidi hanya mengikut kemahuan Adra yang mahu makan malam di pekan Tanah Rata. Katanya mahu mengambil angin malam sambil menenangkan fikirannya.

“Sikit sangat you makan, tak lapar ke nanti?” Ezzaidi bersuara apabila Adra sudah berhenti makan. Mata wanita itu sedang fokus pada telefon pintar yang berada di tangannya.

“I dah kenyang.”

“Dah kenyang? Siang tadi you makan tak?” Seperti biasa, Ezzaidi sememangnya sangat prihatin tentang wanita itu. Cuma, Adra sahaja yang tidak menyedari keprihatinan lelaki itu terhadapnya selama ini.

“I minum air je pagi tadi. I tak ada selera lah nak makan. Tekak I rasa nak muntah.”

“Kenapa pulak ni? You tak sihat ke?” Ezzaidi meraba dahi Adra. Tidak panas pun.

“I tak demam lah, you makan je lah. I dah kenyang.” Adra rimas apabila Ezzaidi terlebih prihatin tentang dirinya. Bukan dirinya anak kecil yang perlu diingatkan tentang itu ini.

“You ada nak makan apa-apa tak? Boleh I carikan untuk you.” Ezzaidi baru sahaja selesai menghabiskan mee tomyam yang dipesan olehnya. Dia mencapai tisu untuk mengesat hujung bibirnya yang sedikit comot.

“I kan dah cakap tadi, I tak ada selera nak makan. You dah habis makan kan? Jom balik.” Adra segera bangkit dari duduknya dan berjalan pantas meninggalkan Ezzaidi. Ezzaidi yang terpinga-pinga dengan tindakan pantas wanita itu, turut bangun untuk membuat bayaran.

“Adra. You tak ceritakan dekat I apa yang sebenarnya terjadi. Apa yang menyebabkan Ruzail bertindak untuk putuskan hubungan korang berdua? Tak kan lah dia sanggup curang dengan you?” Ezzaidi sudah pun duduk bersebelahan dengan Adra di atas kerusi yang disediakan di situ.

“Kalau you yang tak ada kena mengena dengan hubungan ni pun tertanya-tanya kenapa dia sanggup tinggalkan I. I yang jadi mangsa ni, lagi lah I seolah-olah tak boleh nak terima semua ni. Sakit Ez… I cintakan dia sepenuh hati I. I tak terfikir langsung dia sanggup tinggalkan I demi perempuan lain” Adra sudah mula mahu menangis. Selama mereka berkawan baik bertahun-tahun lamanya, ini adalah kali pertama Adra menangis di hadapannya. Selama ini, seteruk mana pun masalah yang dihadapi oleh wanita itu. Wanita itu tetap tenang dan ceria seperti biasa.

“Dia ada beritahu you tak kenapa dia nak kahwin dengan perempuan tu? I tak rasa sebab dia dah tak sayangkan you. Sebab selama ni, Ruzail sangat cintakan you Adra. Dia lelaki yang sempurna untuk you. Cara dia layan you, cara dia handle you yang susah nak dikawal ni. I tak rasa dia tinggalkan you sebab dia dah tak cintakan you. Ini mesti ada sesuatu yang tak kena ni.” Ezzaidi kehairanan. Melihat kesungguhan Ruzail selama ini terhadap Adra, menyebabkan dia tidak terfikir lelaki itu sanggup menduakan Adra.

“You tak payah lah nak mempersoalkan apa yang dah berlaku. Dia cakap dekat I, kalau dia betul-betul cintakan I, tak akan wujud perempuan lain. You tahu tak, selama setahun ni, dia tipu I. Dia curang dengan I dah hampir setahun, I je yang bodoh, tak perasan perubahan dia selama ni.”

“Hmm… I bukan apa, I tak terfikir langsung dia sanggup buat you macam ni. You dengan dia dah lama kot. Sedangkan you pernah jugak curang dengan dia, tapi you tetap memilih untuk bersama dengan Ruzail. Sebab rasa cinta you hanya untuk Ruzail, bukan untuk Nazhan atau sesiapa.”

“Itulah yang membezakan I dengan dia. I sanggup hancurkan hati Nazhan yang ikhlas sayangkan I demi nak mempertahankan cinta I dengan Ruzail. Tapi Ruzail dah hancurkan semua ni. Dia hancurkan semuanya Ez! I dah tak ada rasa apa-apa lagi, semua rasa sayang I dah pergi bersama dia.” Air mata yang berguguran dibiarkan tidak diseka. Angin malam yang menyapa wajahnya tidak cukup untuk mendinginkan hati yang sudah hancur gara-gara perbuatan Ruzail.

“Cuba you fikir, kalau you kahwin dengan dia. Lepas tu dia buat perangai, misalkata dia ada perempuan lain belakang you. Bukan ke itu lebih teruk? You sepatutnya bersyukur tau, sebab ALLAH selamatkan you daripada Ruzail. ALLAH sayangkan you, walaupun you selalu lupakan tanggungjawab you terhadap DIA.” Ezzaidi melihat riak wajah Adra masih lagi kosong seperti tadi. Dia tidak punya niat untuk memerli wanita itu, dia hanya mahu Adra berfikiran rasional dan menerima suratan takdir.

“You cakap senang lah Ez! I yang terpaksa tanggung semua ni. Ya, I rasa bersalah sangat dengan Nazhan. I menyebabkan dia ceraikan isteri dia. I yang menyebabkan dia hampir hilang arah saat I putuskan hubungan kami berdua. I buat itu semua demi Ruzail. Tapi apa yang I dapat? Kebahagiaan yang I impikan untuk bersama dengan dia, hancur berkecai gara-gara seorang perempuan.” Adra memandang wajah Ezzaidi dengan pandangan tajam. Cakap memang mudah. Dia yang terpaksa menanggung semua rasa kecewa ini. Bukan pengkahiran begini yang dia pinta.

“Masih terlalu awal lagi Adra untuk you terima semua ni. I tak desak you supaya terima semua ni, tapi you cuba lah perlahan-lahan. Sesukar mana pun sesuatu perkara tu, kalau kita ada niat untuk mencuba, InsyaALLAH, akan dipermudahkan. It’s okay kalau you nak menangis dan tunjuk kekecewaan you. Semua orang pernah melalui fasa kekecewaan dalam hidup. Tapi once bila you dah dapat balik kekuatan tu, jangan toleh ke belakang lagi.” Lembut kendengaran bicara Ezzaidi kali ini. Dia merasakan waktu itu, kalau dia marah Adra teruk mana sekalipun, tetap tidak akan dapat merubah apa-apa. Jadi, lebih baik dia bertindak untuk menenangkan wanita itu.

“I memang buta Ez. I buta dalam menilai cinta. Nazhan yang mahu kan I sungguh-sungguh, I tolak mentah-mentah. Selama ni I selalu cuba untuk bersangka baik setiap kali Ruzail beri alasan dia sibuk uruskan syarikat. I tak sedar langsung I diperbodohkan oleh dia.” Nafas yang dihela terasa berat sekali. Selama ini dia sudah terbiasa menerima khabar berita setiap hari daripada Ruzail. Selama bertahun-tahun ini dia sudah terbiasa menghabiskan masanya bersama lelaki itu. Bagaimana kehidupannya selepas ini, tanpa lelaki yang dia cinta sepenuh hatinya?

“You menyesal pernah tolak cinta Nazhan? You nak kembali pada dia?”

“Nope! I tak cintakan dia langsung! Lagi pun I masih mengharapkan agar dia kembali dengan bekas isteri dia. I tak mungkin akan terima Nazhan. Walaupun I dah tak ada sesiapa sekarang ni. I tak desperate lah Ez, I nak rawat hati I.” Ezzaidi tersenyum mendengar bicara wanita itu. Sekurang-kurangnya Adra masih berfikir untuk kebahagiaan orang lain.

“Adra, you anggap sajalah hati you bukan untuk bersama dengan Ruzail. Biarkan dia cari kebahagiaan dia sendiri. Kosongkan fikiran you, lapangkan dada you. Jangan buat sesuatu di luar akal fikiran waras seorang manusia. You ada lantai untuk bersujud, you ada tempat untuk sandarkan doa dan harapan. Jangan sia-siakannya.” Ezzaidi menyentuh dagu Adra untuk mendongak memandang wajahnya. Wanita itu hanya menurut sahaja.

“I tak nak tengok you sedih. I kalau boleh, nak gantikan setiap kesedihan you, dengan kebahagiaan yang I ada.” Adra menangis lagi apabila mendengar ayat yang dituturkan oleh Ezzaidi. Dia berasa terharu kerana lelaki itu akan selalu cuba untuk berada disisinya tidak kira apa pun situasinya.

“I beruntung sebab I masih ada you yang kisahkan tentang I.” Antara dengar atau tidak sahaja bicara wanita itu.


“I akan pastikan, lepas ni tak akan ada seorang pun yang buat you menangis lagi. Kebahagiaan you adalah nadi untuk I benafas. Jadi, I tak akan biarkan nadi I tidak bernafas.” Ezzaidi memeluk erat bahu Adra. Dia mahu menenangkan wanita itu dan dia mahu Adra sedar dirinya sudah lama menyimpan kasih buat wanita itu.

No comments:

Post a Comment