Tengah hari itu, Adra Sofia memilih salah sebuah
Restoran Arab yang terkenal di ibu kota itu sebagai destinasi untuk dia menjamu
selera. Selesai membuat pesanan, dia membuang pandang ke luar restoran.
Fikirannya tertumpu pada Ezzaidi Farhad. Sudah hampir seminggu lelaki itu mendiamkan
diri, mungkin Ezzaidi merajuk dengannya kerana dia menuduh lelaki itu tanpa
bukti. Untuk meminta maaf dengan lelaki itu, dia tidak rasa dia akan
melakukannya kerana Adra Sofia bukanlah seorang manusia yang senang-senang
sahaja mahu menjatuhkan egonya.
Sedang dia mengelamun, tiba-tiba seorang wanita
berdiri di hadapannya bersama wajah serius. Adra Sofia segera mendongak untuk
melihat siapakah gerangan wanita di hadapannya itu.
“Adra Sofia?”
“Yes, I Adra. Tapi you ni siapa ya?” soal Adra Sofia
dengan perasaan hairan. Hairan, bagaimana wanita yang tidak dikenalinya itu
tahu namanya?
“Eh, you ni siapa? Suka hati you je kan nak duduk
tanpa izin I?” Adra Sofia bersuara sedikit lantang apabila wanita itu dengan
selambanya menarik kerusi untuk duduk satu meja dengan dirinya.
“Cik Adra Sofia, sama ada awak izinkan saya duduk
sini ataupun tidak. Itu bukan masalah saya. Masalah saya sekarang ni adalah
saya perlu selesaikan sesuatu dengan awak.”
“Selesaikan apa? I kenal you pun tak. You ni salah
orang kut!”
“Awak memang tak kenal saya, sebab kita tak pernah
bersemuka sebelum ni. Tapi awak sangat mengenali suami saya.” Mendengarkan ayat
terakhir yang dituturkan oleh wanita itu, wajah Adra Sofia sudah berubah riak.
Sah, bala sudah datang!
“Kenapa senyap? Jangan nak reka alasan yang awak tak
kenal Nazhan pula ye.” Sinis wanita itu memerli. Adra Sofia harus berlagak
tenang, meskipun dia tidak menyangka isteri kepada kekasih gelapnya akan
mencari dirinya.
“I kenal suami you. So, apa masalah you?”
“Apa masalah saya? Awak boleh tanya soalan macam tu.
Adra, awak jangan buat-buat bodoh boleh tak? Kenapa mesti suami saya? Kenapa
mesti bercinta dengan suami saya?”
“I tak cari suami you, tapi suami you yang cari I.
Hampir setiap hari dia mengadu dekat I yang dia dah tak ada apa-apa perasaan
dekat you. You yang tak pandai nak layan dia. Salah I ke?” soalnya tanpa
sedikit pun terlukis riak bersalah di wajahnya.
“Kalau awak tak menggoda dia, dia tak akan jatuh
cinta dan tergila-gila kan awak! Tengok sajalah pakaian awak yang menjolok mata
ni, siapa je yang tak tergoda? Jangan nak salahkan suami saya punca semua ni
berlaku, tapi tengok diri awak tu Adra.” bidas Nuha sambil matanya membelek
pakaian yang dipakai oleh Adra Sofia. Wanita itu memang mempunyai potongan
badan yang menarik serta kulitnya yang putih mulus. Wajarlah suaminya tidak
lena tidur malamnya kerana wanita yang mendampingi suaminya cukup menawan.
“Eh? You nak letak semua kesalahan dekat I? Oh my god! You ni memang betul-betul tak
sedar diri tau. Kalau you nak cakap I sengaja nak goda suami you, you silap
besar la. Sebab I tak pernah cari dia, tapi dia yang selalu cari I. Dah dia
sendiri yang cari I kan, tak kan lah I ni sebagai seorang perempuan yang
baik-baik, nak tolak dia macam tu je kan? Lagipun, Nazhan datang dengan pakej
lengkap. Boleh tahan suami you tu, ada rupa, ada harta, tapi sayang lah. Dia
tak bahagia langsung dengan perkahwinan dia. Itu yang I kesian dekat dia, I
kongsi la sikit kasih sayang dengan suami you. Sharing is caring, kan?”
Semakin terbakar hati Nuha mendengar kata-kata sinis
yang dituturkan oleh Adra Sofia. Kalau ikutkan hatinya yang sedang panas
mendidih, ingin sahaja dia menghadiahkan sebiji penampar tepat ke bibir wanita
itu. Kurang ajar sungguh!
“Sebelum dia kenal dengan awak, saya boleh katakan dia
adalah seorang suami yang sangat penyabar, lemah-lembut dan dia tak pernah
berkasar dengan saya. Tapi disebabkan nak pertahankan cinta maksiat korang berdua ni, dia sanggup tengking,
jerkah saya macam saya ni orang gaji dia. Ini semua terjadi selepas dia kenal
dengan awak. Awak tak rasa bersalah ke Adra sebab awak punca dia berubah? Rumah
tangga kami hampir musnah kerana awak, tahu tak!” Air mata jernih sudah mula
mengalir di pipi Nuha. Dia membiarkan sahaja tanpa mahu menyeka. Biarlah wanita
yang merampas kebahagiaan rumah tangganya melihat sendiri penderitaan yang dia
lalui.
“Hampir nak musnah kan? Belum musnah lagi kan. Ada
masa lagi tu nak betulkan yang mana kurang. You masih lagi ada masa nak ubah
diri you supaya Nazhan tergoda dengan you semula.” Selamba sekali tutur
bicaranya. Nasi arab yang dipesan sudah sampai. Tanpa mempelawa tetamu tidak
diundang itu, dia segera menjamah makanannya yang nampak begitu menyelerakan.
“Ya, memang setiap hari saya cermin diri saya dan
saya cuba untuk muhasabah diri I. Apa yang kurang pada saya sampai dia sanggup
cari perempuan lain. Saya sedang cuba untuk jadi yang terbaik untuk suami saya.
Tapi saya nak minta sangat, saya bercakap ni atas dasar hati perempuan. Saya
harap sangat awak faham apa yang saya rasa, tolong tinggalkan suami saya.”
Keras kedengaran bicaranya. Adra Sofia yang sedang menjamu selera hanya beriak
tenang sahaja.
“Tolong la Adra, saya sayang sangat suami saya. Saya
dengan Nazhan kahwin atas dasar cinta. Bertahun-tahun kami bercinta dan
ALHAMDULILLAH dia selamat jadi suami saya beberapa tahun yang lepas. Tapi
sekarang ni, saya rasa cahaya kebahagiaan dalam mahligai saya semakin
samar-samar. Tolong saya Adra, tinggalkan dia dan biarkan dia bahagia bersama
saya.” Nuha merayu lagi.
“Nazhan ada bagitahu I yang dia memang tak berminat
langsung nak teruskan perkahwinan korang
berdua. Dia tak bahagia dengan you, you sorang je yang syok sendiri nak
pertahankan rumah tangga you. You tak rasa macam you ni melutut pada orang yang
tak sudi?”
“Dia tak bahagia dengan saya sebab awak masih lagi
ada dengan dia. Awak tahu dia suami saya, tapi kenapa awak masih berdegil nak
kacau rumah tangga kami? Nazhan ada tanggungjawab terhadap anak-anak kami.
Sanggup ke awak pisahkan Nazhan dengan zuriat dia sendiri?”
“I tak suruh pun dia ceraikan you. I dengan Nazhan
memang pasangan kekasih, tapi I tak bercadang pun nak kahwin dengan dia. Buat
apa la I nak jadi isteri nombor dua dia kan? Apatah lagi berkongsi kasih dengan
perempuan macam you, jatuh la standard I.” ujarnya dengan nada penuh
keangkuhan.
“Ye, memang awak tak suruh dia ceraikan saya dan dia
pun tak akan ceraikan saya. Dia masih lagi fikirkan tentang anak-anak kami. Itu
bukti yang dia masih sayangkan perkahwinan kitaorang. Sebab itulah saya merayu
pada awak, tinggalkan dia. Saya tak nak Nazhan menjalinkan hubungan terlarang
dengan awak. Bukan saya tak tahu setiap kali dia balik lewat ke rumah, dia
keluar dan habiskan masa dengan awak. Jangan jadi perempuan murah!”
“I perempuan murah? Wow! Lancang gila mulut you! I
rasa kan, Nazhan ni tersilap pilih isteri la. Masa awal-awal dia kahwin dengan
you, dia tak gunakan kepala otak dia. Sebab itulah dia ada isteri yang bercakap
tak gunakan otak. Hei you dengar sini eh! I tak pernah paksa Nazhan supaya
tetap setia dengan I, I juga tak pernah kikis duit Nazhan untuk penuhi
keinginan I. Kalau itulah yang you fikirkan, kenapa I kacau suami you. You
silap. Apa yang ada pada Nazhan, tak ada pada lelaki lain. You tanya la suami
you, dia nak ke I tinggalkan dia?” Adra Sofia sudah mula mahu mengamuk
mendengar sebaris kata-kata terakhir yang dilemparkan kepada dirinya.
“Tapi Nazhan dah ada keluarga! Awak boleh cari
lelaki lain untuk awak goda, bukan suami saya!” ujar Nuha separuh menjerit.
Berhadapan dengan kekasih suaminya, memerlukan kesabaran yang sangat tinggi
kerana wanita itu sangat berbisa apabila berkata-kata.
“You tak payah la nak buang masa I dengar luahan
bodoh you ni. You meraung la depan I sekalipun, air mata you tu, tak akan dapat
ubah apa-apa pun. I boleh pergi dari hidup suami you, kalau dia yang tinggalkan
I dulu. Kalau tak, you hidup jelah macam ni. Seronok jugak kan, ada suami tapi
macam tak ada suami. You boleh cari lelaki lain untuk isi kesunyian you tu.”
tutur Adra Sofia lalu dia segera bangun dari duduknya. Lama-lama disitu hanya
akan membuang masanya sahaja. Dia tidak punya masa untuk mendengar luahan
wanita itu. Padanya itu bukan masalahnya, pandai-pandai lah selesaikan sendiri.
“Saya tak akan pernah putus asa untuk pertahankan
mahligai cinta saya!” ujar Nuha dengan penuh rasa marah sebelum dia berlalu
pergi.
****
Ezzaidi Farhad baru sahaja selesai bermain futsal
bersama rakan-rakannya. Sudah lama rasanya dia tidak beriadah mengeluarkan
peluh kerana kesibukan menguruskan kafe. Ketika dia sedang mengelap peluh
dengan tuala sebesar tapak tangan, bahunya ditepuk lembut oleh seseorang.
Lantas, dia segera menoleh.
“Nak apa?” soalnya tanpa nada. Tanpa menunggu Adra
Sofia bersuara, dia segera mencapai beg kecil yang berada di atas meja lalu dia
mengorak langkah laju.
“Ezzaidi! You cepat-cepat ni nak pergi mana?”
Terkedek-kedek Adra Sofia mengatur langkah untuk mengejar Ezzaidi.
“Nak balik la, tak kan nak tidur dekat sini pulak?” balasnya tanpa memandang wajah
Adra Sofia. Bukan Adra Sofia tidak tahu lelaki itu bersikap begitu kerana masih
marahkan dirinya.
“Tunggu lah I…” rengeknya manja.
“You nak apa sebenarnya ni? You nak tuduh I apa lagi
kali ni?” Ezzaidi berhenti melangkah. Dia sudah berdiri betul-betul di hadapan
wanita itu.
“Mana ada nak tuduh you apa-apa. I cuma nak jumpa you
je, dah seminggu dah you senyapkan diri dari I.”
“Suka hati I la nak senyapkan diri ke, nak jauhkan
diri daripada you ke. Itu hak I okey.” ujarnya lalu dia segera berlalu pergi
untuk menuju ke parkir keretanya.
“Ezzaidi. You nak suruh I minta maaf dekat you ke,
baru you nak cakap dengan I?”
“Pernah ke you minta maaf dengan I bila you buat
salah? You kan tak habis-habis dengan ego dan keras kepala you tu.” balasnya
yang sudah pun membuka pintu keretanya.
“Exactly! Memang I tak akan minta maaf dekat you pun.”
Ujarnya selamba sambil menutup semula pintu kereta yang telah dibuka oleh
Ezzaidi.
“Okey, kalau macam tu, I sarankan supaya you pergi
balik rumah sekarang. I penat, nak balik terus.”
“Ezzaidi, jom la kita minum-minum dulu. You dah lama
tak jumpa I kan?”
“I nak dengar you minta maaf, now.” arahnya tegas.
“No way. Ez dah lah, I penat tahu tak kejar-kejar
you macam ni. Jangan lah nak merajuk lagi dengan I. You tu dah besar tau,
merajuk-merajuk ni budak kecil je.”
“You datang sini naik apa?”
“Naik teksi, I malas nak drive sebab I nak you hantar I balik rumah nanti.”
“Kalau macam tu, jom lah, I hantar you balik rumah.”
pelawanya dengan nada lembut. Susah bagi Ezzaidi untuk menyimpan rasa tidak
puas hati terhadap teman baiknya itu dalam tempoh yang lama.
“I tak nak balik rumah dulu. I nak lepak-lepak
dengan you. You mesti belum makan lagi kan?”
“Ni mesti ada something
yang you nak cerita dekat I kan? Dah, pergi lah masuk kereta. Kita lepak
mamak.” ujar Ezzaidi lalu dia segera meloloskan dirinya ke dalam kereta Produa
MyVi miliknya.
Selepas selesai membuat pesanan, Ezzaidi membuang
pandang ke luar jalan. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan untuk memulakan
bicara. Adra Sofia juga kelihatan sibuk merenung telefon pintarnya.
“Ez, you dah lama tak main futsal. Kenapa tiba-tiba
join kawan-kawan you main futsal?”
“Sebab I rasa I dah lama sangat tak keluarkan peluh.
Nanti berlemak lah badan I kalau tak exercise.
Yang you pulak, mana you tahu I ada
dekat sini?”
“I call
Hazeem, kawan baik you tu. Dia lah yang bagi tahu I you dekat mana. You ni pun
satu lah, kenapa nak merajuk dengan I lama-lama? You tahu tak, kaki I ni gatal
je nak melangkah ke kafe. Tapi bila fikir-fikir balik yang you tengah merajuk
dengan I, terus tak jadi.”
“Rindu I eh?” soal Ezzaidi bersama sengihan nakal.
“Rindu you? Hei! Memang tak lah Ez. You tu siapa je
yang I nak rindukan?” balasnya dengan nada sarkastik.
“Apa salahnya rindu kawan baik sendiri. I pun selalu
lah jugak rindu you, lagi-lagi masa
kita gaduh seminggu ni. I tengah bancuh kopi pun, I terbayang muka you tau.”
Sengaja dia mahu mengusik Adra Sofia. Wanita itu ketawa halus.
“Melampau betul la you ni! Jangan nak samakan I
dengan minuman hitam legam tu okey!”
“Sesuai lah dengan you, hati you kan gelap macam air
kopi.” tuturnya selamba.
“You semakin biadap ye Ezzaidi.” Gumammnya perlahan.
Geram sungguh dengan bicara lepas lelaki itu.
“Sebab I belajar dari you lah Adra. Oh ya, you
datang jumpa I ni, mesti you nak cerita sesuatu kan. Apa dia?”
“Hmm… Siang tadi kan, isteri kepada Nazhan, kekasih
gelap I tu. Dia datang jumpa I. Terkejut gila kut I. Sebab I memang tak sangka
perempuan tu akan datang jumpa I.”
“What? Dia dah tahu lah yang suami dia ada hubungan dengan
you?” soalnya yang turut terkejut.
“Ya, dari mana dia tahu, itu I dan Nazhan pun tak
tahu. Mungkin dia siasat suami dia kut. Yang si Nazhan ni pun satu hal, ada ke
patut dia layan isteri dia macam sampah. Dia cakap dengan isteri dia, yang dia
dah tak ada apa-apa perasaan dengan isteri dia. Mana lah isteri dia tak curiga
dengan dia.”
“Dia layan isteri dia macam sampah tu sebab you. You
sedar tak you ni perosak rumah tangga orang?” marah Ezzaidi bersama panahan
matanya tepat menikam wajah bersahaja Adra Sofia. Kalau Adra Sofia tidak serik
juga, tidak tahu lah dia mahu cakap apa. Buntu memikirkan cara supaya Adra
Sofia berhenti memainkan hati dan perasaan orang lain.
“Apahal pulak sebab I? Eh, masalah rumah tangga dia tak ada
kaitan dengan I la. Nazhan tu bosan dengan isteri dia. Ye lah, hadap muka yang
sama setiap hari. Itu yang dia cari I untuk dapatkan kebahagiaan yang dah lama
hilang dalam rumah tangga dia.”
“Hei, you ni tak pernah nak fikir perasaan orang
lain kan? You ni perempuan tau Adra. Isteri si Nazhan tu pun perempuan jugak. Sepatutnya you faham perasaan
perempuan lain. Cuba you bayangkan bila you dah kahwin nanti, kalau ada
mana-mana perempuan ganggu suami you. You tak rasa nak marah ke? Ke you tak ada
perasaan?”
“Apa pulak
nak kaitkan I dalam hal ni? Kita tengah bercakap tentang Nazhan dan isteri dia.
Tiada kaitan langsung dengan I.” balas Adra Sofia dengan nada keras. Dia tidak
mahu mengakui dirinya menjadi punca kepada kemusnahan rumah tangga Nazhan
walaupun itu adalah hakikatnya.
“Ikut suka you la Adra. You yang pandai-pandai cari
masalah kan, you selesaikan lah sendiri.” ujar Ezzaidi yang malas mahu melayan
wanita itu. Dia segera mencapai sudu dan garfu untuk menjamah mee goreng mamak
yang dipesannya tadi.
“Perempuan tu, suruh I tinggalkan suami dia. Dia tu
kan memang perempuan tak sedar diri tau. Dia tak tahu ke buat-buat tak faham
yang suami dia curang dengan dia sebab dah muak tengok muka dia. Apasal dia nak suruh I tinggalkan Nazhan
pulak kan? Sepatutnya dia la pergi
dari hidup Nazhan. Sebab Nazhan sendiri mengaku, dia lebih bahagia bila bersama
I.”
“Suka-suka hati you je kan nak hancurkan masjid yang
dibina bertahun-tahun? You ni tolong la jangan tersasar jauh sangat sampai
tahap macam ni Adra. Cukup la dosa yang you dah kumpul selama ni. Jangan lah
tambah dengan menghancurkan rumah tangga orang pulak.” Walaupun Adra Sofia seringkali tidak menghiraukan nasihat
yang diberikan olehnya, namun Ezzaidi tetap tidak mampu untuk melihat Adra
Sofia terus hanyut dengan cara hidup macam tu.
“I muda lagi Ez, banyak lagi masa untuk I kumpul
pahala.”
“Kalau sempat, kalau tak sempat macam mana?” soalnya
sambil matanya sengaja dikecilkan.
“Kalau tak sempat, nak buat macam mana? Dalam hidup
ni, kita kena mengamalkan konsep redha.”
“Adra… Adra… I pun sampai dah tak tahu nak cakap
apa. Tapi apa yang I boleh nasihatkan you adalah supaya, you tinggalkan je la
si Nazhan tu. Biarkan dia hidup bahagia dengan keluarga dia. You kan dah ada
Ruzail, buat apa nak cari lelaki lain?”
“Relaks la, selagi I tak kahwin dengan Ruzail, I
masih bebas tau nak berkawan dengan sesiapa. I tak rasa dalam waktu terdekat ni
I boleh tinggalkan Nazhan. Tengok la nanti, bila Ruzail dah setuju nak kahwin
dengan I. Masa tu la I akan tinggalkan mamat tu.”
“Adra, boleh tak you tolong I?”
“Toong apa ya Ez?”
“Tolong belajar untuk hormat dan faham perasaan
orang lain. Apa yang you buat ni salah dan kejam, Adra Sofia.” tutur Ezzaidi
dalam nada serius. Dia melepaskan keluhan berat. Nampaknya sikap kawan baiknya
itu sudah semakin parah.
“You tak payah la susah-payah fikir tentang masalah
I. Tentang perempuan tak sedar diri tu, pandai lah I suruh Nazhan uruskan dia.
Dia sengaja nak cari pasal dengan I kan, dia tak kenal I ni siapa.”
“You nak buat apa dekat dia Adra?” soal Ezzaidi
dengan nada risau.
“Hmm… Buat apa I nak bagitahu you. Nanti mesti you
membebel dan sampaikan tazkirah agama you tu. I tak kuasalah nak dengar. Dah
lah, nak pergi bayar sekejap. You tunggu dalam kereta okey.” Dia sudah selesai
menjamu selera. Dia segera bangun untuk menuju ke kaunter untuk membuat
pembayaran.
No comments:
Post a Comment