Qalish Audrina berdiri
di muka pintu. Dia bercadang untuk keluar berjogging pada pagi itu. Hendak
dikejut Nedzrish untuk menemaninya, sudah tentu lelaki itu akan memarahinya
kerana menganggu tidur lelaki itu. Tambahan pula hubungan mereka semakin dingin
semenjak bapa mertuanya mengarahkan Nedzrish untuk menemani isterinya ke Johor
minggu hadapan. Dia mengambil keputusan untuk keluar bersendirian, bukan dia
tidak biasa jogging seorang diri.
“Lish, nak pergi mana
ni?” Teguran daripada Nazrief mematikan lamunan pendek Qalish.
“Nak pergi jogging.
Abang nak keluar dengan kawan ke?” Soalnya seraya memberikan sedikit laluan
untuk abang iparnya untuk keluar.
“Tak lah. Abang pun nak
pergi jogging juga ni. Lish sorang je ke?”
Qalish Audrina membelek
pakaian lelaki itu atas bawah. Pergi jogging apanya dengan baju kemeja lengan
panjang elok di badan lelaki itu. Dipadankan pula dengan seluar jeans berwarna
biru gelap. Daripada gaya pemakaian, rasanya tidak sesuai untuk ke taman
berjogging.
“Abang biar betul nak
pergi jogging pakai kemeja lengan panjang dengan seluar jeans? Gaya macam nak
keluar pergi Mall je ni abang.” Soal Qalish Audrina ragu-ragu dengan jawapan
yang diberikan oleh abangnya.
“Abang memang plan nak
beriadah dekat taman tu. Apa salahnya abang pakai macam ni?” Soal Nazrief
dengan wajah yang biasa. Sebenarnya dia mahu keluar untuk bersarapan dengan
temannya, namun apabila terpandangkan Qalish Audrina yang sudah bersiap-siap
untuk berjogging. Dia terus membatalkan tujuan asalnya.
“Tak salah pun. Cuma..
“Cuma apa? Cuba
bagitahu abang, ada tak undang-undang yang mengatakan pakai macam ni tak boleh
jejak kan kaki ke taman rekreasi kawasan rumah kita ni? Ada ya?” Soal Nazrief
pula. Dia sudah berpeluk tubuh berhadapan dengan Qalish Audrina yang masih
menayang wajah pelik.
“Tak ada.” Balasnya
sepatah. Dia sudah kehabisan kata-kata untuk berbicara. Malas mahu bertekak,
dia menerima saja alasan lelaki itu bulat-bulat.
“Kalau tak ada, abang
boleh kan teman Lish jogging hari ini? Lagipun Lish tak biasa lagi dengan
kawasan dekat sini. Kalau pergi dengan abang kan senang?” Ujar Nazrief lembut.
“Hmm. Betul jugak. Tapi
abang tak nak salin pakaian abang dulu ke?”
“Kenapa? Lish tak
selesa kea bang pakai macam ni?” Soal Nazrief kembali. Dia tidak mengerti
mengapa soal pemakaiannya menjadi satu masalah bagi Qalish Audrina.
“Eh, mana ada macam tu.
So, kita nak naik kereta ke nak jalan
kaki?”
“Jalan kaki sahaja lah,
kata nak jogging kan? Kalau naik kereta, lebih baik duduk di rumah saja.”
“Okay abang.”
“Jom lah. Nanti lepas
jogging, boleh sarapan sekali.” Ujarnya seraya memberi laluan kepada Qalish
untuk jalan dahulu.
“Kau nak bawa isteri
aku ke mana ni Rief? Pagi-pagi macam ni pula tu. Tak ada kerja lain ke?”
Nedzrish sebenarnya sudah sedar sewaktu Qalish Audrina sedang mandi lagi. Namun
sengaja dia buat-buat sedang tidur. Selepas itu dia terus membersihkan badannya
dan bersiap-siap untuk menemani Qalish Audrina ke taman.
“Awak? Bukan awak
tengah tidur ke? Bila masa pulak awak bangun?” Qalish Audrina segera menyoal
suaminya. Nazrief yang sedang bersandar di kenderaan milik mamanya hanya diam
tanpa mahu berbicara. Dia malas untuk memulakan pertengakaran pagi itu.
“Tadi ya aku tengah
tidur. Tapi sekarang aku dah berdiri terpacak depan kau.” Ujar Nedzrish, agak
keras nada suaranya. Qalish Audrina sudah tidak keruan, dia bimbang dua beradik
itu bakal bergaduh lagi seperti semalam.
“Lish, jom lah. Nanti
lambat-lambat, panas pula. Dah tak seronok nak berjogging.” Nazrief tidak
mempedulikan pandangan mata Nedzrish terhadapnya. Sebaliknya dia menggesa
Qalish supaya segera mengikutnya.
“Amboi sesuka hati kau
je mengarah isteri aku. Kau sedar tak yang kau ajak ni adik ipar kau sendiri?”
“Apa yang salah nya di
mata kau ni Rish? Aku cuma nak teman Lish beriadah, itu pun kau nak melenting
ke? Nak harap kan kau, tak payah lah Rish. Gelaran dah cantik dah sebagai
seorang suami, tapi satu habuk pun tanggungjawab suami kau tak ambil tahu.”
“Tak salah kau cakap?
Aku ni hidup lagi, yang kau sesuka hati nak ajak isteri aku keluar berdua-dua
dengan kau. Kalau Syaq ikut sekali aku tak adalah kisah sangat, ini kauorang
berdua je? Siapa tak fikir bukan-bukan kan?” Nedzrish sendiri tidak mengerti
mengapa abangnya seakan-akan mahu mendekati isterinya. Pantang melihat
isterinya berseorangan, pasti Nazrief akan menegurnya.
“Bukan-bukan apa maksud
kau ni Rish? Aku sedar lah aku ni masih lagi bergelar abang ipar dia. Tak kan
aku ni gila nak cantas isteri adik sendiri.” Nazrief sudah dapat merasakan adik
bongsunya dapat mengesan muslihat sebenarnya untuk mengenal Qalish Audrina
dengan lebih rapat lagi. Tetapi mengapa Nedzrish begitu peduli tentang itu?
Bukankah adiknya itu tidak merelakan perkahwinan antara dia dan Qalish? Jadi
untuk apa dia mahu menghalang dirinya untuk berkenalan dengan wanita itu?
“Awak. Saya nak keluar
jogging sajalah. Bukannya nak buat apa pun dengan Abang Rief. Jangan lah asyik
nak bersangka buruk saja.” Kali ini isterinya pula mencelah.
“Aku dah siap-siap nak
teman kau pergi jogging ni. Jom.” Nedzrish menarik tangan isterinya untuk
mengikut langkah kakinya. Nazrief dan Qalish masing-masing sudah tercengang.
“Er awak.. Lepas lah.”
“Apasal pulak nak
lepas? Aku ni suami kau. Kalau aku cakap jangan keluar dengan si buaya darat ni,
apa kau nak kata lagi?” Nedzrish sudah mula panas hati mellihat kedegilan
isterinya.
“Tak apa Lish. Kita
pergi lain kali sajalah. Abang pun dah hilang mood nak keluar.” Nazrief memutuskan untuk membiarkan sahaja Qalish
pergi bersama Nedzrish. Dia tidak mahu suasana menjadi kecoh pula.
“Awak lah ni, tak
habis-habis nak sakitkan hati Abang Rief.” Dia sebal dengan sikap suaminya itu.
“So what? Ada aku kisah?” Balasnya tanpa perasaan. Dia segera
mendekati kereta milik isterinya.
“Kau nak pergi tak ni?”
“Yelah, sabar boleh
tak!” Dengan wajah masam mencuka, dia menghayun langkah lalu meloloskan diri di
dalam keretanya.
******
“Tadi kau cakap nak
beriadah sangat, dah kenapa tercongok je macam orang tak ada hala tuju?”
Setelah hampir 15minit sejak mereka tiba di taman rekreasi itu, isterinya hanya
berdiam diri sahaja. Tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berjogging seperti yang
direncanakan sebentar tadi.
“Kalau jalan kaki kan
bagus. Kata nak jogging, tapi nak kesini pun naik kereta.” Qalish Audrina
berkali-kali mengajak suaminya untuk berjalan kaki sahaja untuk ke taman itu,
namun lelaki itu memberikan alasan malas untuk berjalan.
“Kan aku dah cakap, aku
malas. Lagipun jauh lah, nanti basah ketiak kau dengan aku. Nak ke sama sama
bau ketiak masing-masing?” Soalnya seraya melabuhkan duduk di atas rumput.
Qalish Audrina turut mengikut apa yang dilakukan oleh suaminya.
“Jauh apanya. Kalau
berjalan kaki tak sampai 5minit pun lah. Kalau saya tahu awak nak naik kereta,
lebih baik saya jalan sorang diri. Lagi bagus.” Masih lagi dingin kedengaran
bicaranya. Dia sebenarnya tidak mengerti mengapa Nedzrish tidak memberi peluang
kepadanya untuk beramah mesra dengan abang iparnya.
“Kau ni memekak lah.
Kita datang sini sebab nak tenangkan kepala otak, tahu tak sakit telinga ni dengar
kau memekak? Dah sampai sini pun masih nak membebel. Diam sekejap lah.”
“Macam mana nak
tenangkan fikiran kalau adanya manusia macam awak ni? Tak ada function pun lah awak teman saya ke
sini. Menyakitkan hati adalah.”
“Boleh tak kau hargai
sikit usaha aku ni bangun pagi teman kau?” Nedzrish memandang wajah isterinya
yang masih lagi beriak tegang. Dia tahu mengapa wanita itu berkeadaan begitu.
Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia begitu gigih untuk menjauhkan hubungan
yang hendak terjalin antara isterinya dan Nazrief. Dia seperti tidak suka untuk
melihat Qalish bermesra bersama lelaki lain.
“Masalahnya saya tak
suruh pun awak teman saya ke sini. Saya nak pergi sorang tadi, kebetulan Abang
Rief pun nak pergi jogging. Jadi apa salahnya dia temankan saya. Kebetulan kami
nak menuju ke tempat yang sama.”
“Kau ni apasal bila
bab-bab macam ni kepala otak kau jadi lembab?”
“Apa maksud awak ni?”
Soalnya tidak mengerti. Sedikit sebanyak dia terasa dengan kata-kata kasar
Nedzrish. Bukannya semua orang boleh membaca fikiran orang lain.
“Abang kesayangan kau
tu bukan nak pergi jogging. Fikir logik sikit lah, dia pakai punya lah smart. Lepas tu bila dia cakap dia nak
pergi taman, kau pun layan kan aje? Apa bendul sangat kau ni?”
“Habis tu dia nak pergi
ke mana? Dah memang dia sendiri cakap dengan saya yang dia nak pergi jogging
sekali. Pada saya tak salah pun dia pakai macam tu tadi.”
“Dia sengaja cakap
macam tu sebab dia nak teman kau. Mamat tu tengah cuba nak rapat dengan kau.
Kau faham tak?” Ujarnya seraya mengalihkan pandangan ke arah seorang perempuan
yang sedang mengajar anaknya bermain basikal. Tiba-tiba hatinya tersentuh
melihat anak kecil itu.
“So? Apa yang salahnya? Saya kan baru masuk dalam keluarga awak. Kan
bagus kalau abang awak ada usaha nak rapatkan hubungan ni? Awak tu lah Rish,
selalu nak fikir negatif. Cuba bersihkan hati awak dari perkara-perkara buruk.”
“Aku kenal abang aku
macam mana. Kau tak payah nak ajar aku untuk kenal abang aku sendiri. Satu je
aku nak pesan, jangan nak layan sangat dia tu. Kau ada suami. Ingat.”
“Sejak bila pulak awak mengaku awak ni suami saya?
Bukan ke hanya atas kertas sahaja?” Sinis dia memerli Nedzrish. Dia keliru sama
ada Nedzrish sedang cemburu ataupun ada sebab lain.
“Whatever. Aku tak suka kau rapat dengan dia. Kau tak payah nak
tunjuk pandai ikut kepala sendiri. Apa aku cakap, ikut.” Ujarnya tegas.
“Tak ada masa lah saya
nak ikut cakap awak. Awak tu berfikiran mendap. Tak pernah nak fikir secara
terbuka.” Selesai melemparkan kata-kata itu kepada Nedzrish, Qalish segera
bangun dan berjalan meninggalkan Nedzrish. Nedzrish pula hanya membiarkan
sahaja isterinya pergi, tanpa mahu mengejar.
*****
Sudah hampir satu jam
Nedzrish meronda di taman rekreasi itu. Dalam pada dia menghela udara segar
pagi itu, dia mencari-cari kelibat isterinya. Sejak dari tadi mereka tidak
bertemu.
“Kejap lagi adalah kot,
tak kan dia dah balik tinggalkan aku kat sini.” Ujarnya dalam hati. Mungkin
Qalish sedang mahu untuk bersendirian tanpa ada gangguan daripada dirinya yag
sering membuatkan wanita itu marah.
“Abang. Boleh tolong
tak?” Tiba-tiba Nedzrish ditegur seorang budak lelaki berumur dalam lingkungan
belasan tahun, mungkin masih belajar di sekolah rendah.
“Tolong apa dik?”
Soalnya bersama kerutan di dahi.
“Kat sana tu, ada orang
jatuh. Banyak darah, teruk jugak kot.”
“Siapa? Adik kenal ke
orang tu?”
“Tak kenal bang.
Perempuan, cepat lah bang.” Nedzrish hanya mengikut langkah kaki budak lelaki
itu tanpa banyak soal.
“Lish???” Alangkah
terkejutnya dia. Qalish Audrina sedang tersandar lemah menahan kesakitan
bersama seluarnya yang sudah berlumuran dengan darah turut mendongak memandang
ke arah suara yang menegurnya.
“Macam mana boleh jadi
macam ni?” Nedzrish sudah duduk mencangkung di hadapa isterinya. Matanya
melirik ke arah basikal berwarna merah yang berada di sebelah isterinya. Tak
kan dia naik basikal kot?
“Sakit….” Dia cuba
untuk bangun namun pergerakannya terbatas dek kerana lututnya yang cedera.
Kepalanya juga berdarah kerana terhentak di atas batu sewaktu dia sedang
mengayuh basikal.
“Haish kau ni, kalau
tak reti naik basikal. Tak payah lah naik sengal!”
“Abang. Abang kenal ke
dengan kakak ni?” Budak lelaki yang memanggilnya tadi masih tidak berganjak
dari situ. Dia menjadi pelik melihat Nedzrish memarahi wanita itu.
“Abang kenal. Dia isteri
abang, adik-adik semua boleh sambung main bola semula. Terima kasih ya.”
Ujarnya sambil tersenyum nipis. Sekumpulan budak-budak lelaki yang mengerumuni
mereka berdua segera berlalu meninggalkan mereka.
“Macam mana kau boleh
jatuh ni Lish?” Masih lagi dia ingin mempersoalkan bagaimana Qalish Audrina
boleh terjatuh. Sedangkan dia sendiri melihat wanita itu sedang menanggung
kesakitan.
“Awak nampak tak saya
tengah sakit ni? Kejap-kejap lagi bertekak tak boleh ke?” Wajah Qalish Audrina
yang berkerut menahan kesakitan bertambah berkerut mendengar bebelan suaminya.
“Tak boleh.”
“Rish, saya sakit ni.
Tak main-main. Tolong lah..” Qalish Audrina sudah mula mahu menangis. Dia
memegang lututnya yang terasa begitu sakit sekali. Hendak menjerit pun ada
menahan kesakitan itu. Baru dia tahu betapa seronoknya cium jalan tar.
Nedzrish terkesima
mendengar suara isterinya yang seakan-akan sedang merayu memintanya
mengurangkan kesakitan yang dihadapi oleh isterinya. Bersama perasaan simpati
dan tidak sanggup untuk melihat Qalish Audrina terus menanggung kesakitan, dia
segera mengendong isterinya untuk menuju ke arah kereta.
*****
Nedzrish baru sahaja
selesai menghantar isterinya di dalam bilik mereka untuk memberi ruang kepada
Qalish Audrina supaya berehat. Sebentar tadi dia menguruskan isterinya dengan
menghantar wanita itu ke klinik untuk mencuci luka.
“Rish, tak tengok
isteri Rish ke?” Soal Datin Khalidah apabila dilihat Nedzrish sedang duduk
menonton televisyen di ruang tamu.
“Rish dah hantar dia
masuk dalam bilik. Biarlah dia rehat dulu.”
“Teruk ke? Macam mana
Lish boleh jatuh? Kamu biarkan Lish pergi taman seorang diri ke?” Soal Datin
Khalidah dengan wajahnya terpancar kerisauan. Melihat keadaan Qalish yang
terpaksa didukung oleh Nedzrish membuatkan hatinya bertambah risau.
“Mana ada ma. Rish
teman Lish lah tadi. Sebab tu Rish boleh ada dekat situ. Mana lah Rish tahu, dia
pun tak ada cerita apa-apa.”
“Macam mana Rish jaga
isteri Rish ni? Ini kalau papa tahu, mahu dia bising sampai ke malam.” Bebel
Datin Khalidah lagi.
“Biar jelah papa tahu.
Dah memang salah Rish. Biarkan isteri sorang-sorang, tak jaga dia elok-elok.
Nanti Rish jawab lah sendiri. Mama tak payah lah risau.” Ujar Nedzrish
meyakinkan mamanya. Datin Khalidah tercengang. Adakah ini tanda-tanda awal
anaknya itu sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab?
“Hmm. Rish dengan Lish
ada bertengkar ke tadi sewaktu dekat taman?”
“Tak lah ma. Cuma Rish
yang biarkan Lish jalan sendirian tadi, Rish pergi tempat lain.”
“Kenapa tak temankan
dia jogging? Dah nama pun pergi sama-sama, kenapa bila dah sampai sana jalan
asing-asing pula?” Soal Datin Khalidah lagi. Dia seperti dapat mengagak yang
anak menantunya bertengkar. Tapi, sejak bila pula mereka ini pernah berbaik?
“Kan Rish dah cakap
salah Rish. Rish yang tak jaga Lish elok-elok. Rish biarkan aje dia, kitaorang
tak ada bertengkar pun ma. Macam biasalah kitaorang, macam mana mama tengok
kitaorang selalu.”
“Hmm. Nanti Rish tengok
isteri Rish tu. Kalau nak apa-apa panggil mama.” Ujar Datin Khalidah sebelum
berlalu untuk ke tingkat atas.
“Okay ma.” Balasnya
seraya tersenyum tawar.
“Rish, dah makan?” Soal
Syaqilah yang entah dari mana muncul, dia sudah berdiri di hadapan adiknya.
“Belum. Kau ada masak
ke?” Balas Nedzrish seraya mendongak memandang kakaknya.
“Mama masak. Syaq ada
masak bubur ni. Ingat nak bagi Lish makan bubur. Orang tak sihat kan. Lagipun
tangan dia pun luka jugak kan?” Soal Syaqilah yang jelas prihatin terhadap adik
iparnya.
“Tangan kanan dia luka
teruk jugak lah. Tapi paling teruk kaki belah kiri dia. Bubur tu kau nak hantar
ke atas ke?” Soal Nedzrish sambil matanya memandang ke arah mangkuk di tangan
Syaqilah.
“Haah lah. Syaq naik
atas dulu hantar bubur ni, lepas tu nanti kita makan sama-sama. Boleh?”
“Bak sini bubur tu,
biar aku hantar. Kau makan lah dulu, aku lama sikit kat atas. Nak suapkan
Lish.” Ujar Nedzrish tanpa riak, dia terus mengambil mangkuk di tangan
kakaknya. Syaqilah hanya memandang langkah kaki adiknya yang menuju ke bilik
isterinya dengan senyuman lebar.
****
Nedzrish menguak
perlahan pintu bilik mereka berdua. Isterinya kelihatan lena di atas katil.
Perlahan-lahan dia menapak menuju ke katil isterinya. Dia melabuhkan duduknya
di sisi isterinya. Wajah mulus milik isterinya ditatap dengan satu perasaan
bersalah. Dia yang beria-ria mahu menemani isterinya, namun dia membiarkan
sahaja isterinya berjogging seorang diri. Kalaulah Qalish pergi bersama
Nazrief, sudah tentu isterinya tidak cedera sebegitu. Satu keluhan dilepaskan.
“Awak…” Suara serak
basah Qalish Audrina kedengaran menyapa pendengarannya. Nedzrish terus menoleh
ke arah isterinya.
“Aku ingat kau nak
tidur sampai esok pagi.” Aduhai Nedzrish, tadi bukan main menyesal kerana
dirinya penyebab Qalish terlantar sakit. Namun apabila wanita itu menyapanya,
dia tetap membalas dengan nada yang dingin.
“Hmm... Awak ada nak
cakap apa-apa ke?”
“Ada, aku memang tak
puas hati dengan kau ni. Kau ni sebenarnya reti naik basikal ke tidak?” Soal
Nedzrish dengan wajah masam. Tiba-tiba dia teringatkan insiden di mana Qalish
lemas sewaktu mereka bercuti di Pulau Perhentian. Sudah dua kali di gagal untuk
menjaga Qalish dengan sebaik mungkin. Tapi apa yang dia perlu kisahkan? Bukan
kah dia sendiri tidak mahu ambil tahu tanggungjawab sebagai seorang suami?
Mengapa dia perlu rasa bersalah pula?
“Reti lah. Kalau tak
reti macam mana saya boleh bawa basikal tu.” Ujarnya perlahan. Qalish juga
berasa bersalah kerana terpaksa menyusahkan suaminya. Dia mengakui dia sendiri
yang tidak berhati-hati tadi.
“Bila last kau naik basikal?”
“15tahun lepas.”
Balasnya acuh tidak acuh. Wajah Nedzrish segera berubah mendengar jawapan
daripada isterinya.
“15 tahun lepas? Patut
pun lah kau pergi cium jalan tar!” Terkejut Qalish Audrina mendengar tengkingan
suaminya.
“Shuhh… Cakap lah
perlahan sikit. Nanti mama dengar lah.”
“Biar semua orang
dengar. Biar orang dalam rumah ni tahu kau ni tak pandai jaga diri sendiri. Apa
masalah kau ni Lish? Kalau kau tahu kau tak pandai naik basikal, yang gatal
sangat kaki pergi naik tu apasal? Menyusahkan orang je tahu!” Turun naik
nafasnya menghamburkan kemarahannya. Nedzrish cukup tidak mengerti mengapa
isterinya sering mengambil mudah apabila melibatkan soal keselamatan dirinya.
“Dah lama kot tak naik
basikal. Teringin jugak nak naik. Saya tak kayuh basikal tu laju-laju pun. Dah
nak jatuh kan, mana tahu.” Senang sahaja dia memberi alasan.
“Kalau kau kayuh
basikal tu elok-elok, tak adalah sampai luka sana sini. Ini mesti kau letak
mata dekat lutut, itu yang tersembam cium batu.”
“Kalau saya letak mata
dekat lutut, mesti mata saya luka sekali. Elok aje mata saya ni, siap boleh
kelip-kelip lagi, kan awak?” Qalish Audrina berseloroh seraya memejamkan
matanya berkali-kali. Nedzrish tayang wajah geram melihat isterinya yang sedang
mempermainkannya. Sengaja mahu menguji kesabarannya.
“Susah betul cakap
dengan budak terencat tak cukup sifat ni.”
“Kalau susah, tak payah
lah cakap.”
“Ada aje kau nak jawab
ya? Sakit-sakit pun mulut macam kereta api.” Nedzrish mencubit pipi isterinya
tanda terlalu geram dengan celoteh isterinya.
“Sakit lah ei! Apa ni
main tarik-tarik pipi orang!” Marah Qalish Audrina seraya meraba pipinya yang
sedikit kemerahan kerana ditarik kasar oleh Nedzrish Eskandar.
“Isteri aku kot, peduli
apa.”
“Kalau saya isteri
awak, tak adalah saya luka macam ni. Tak adalah awak biarkan saya sorang-sorang
tadi. Kalau saya “isteri” awak lah.” Qalish Audrina sengaja menekan perkataan
“isteri” itu. Dia mahu lelaki itu sedar yang dia adalah dibawah jagaan lelaki
itu.
“Okay. Lepas ni aku
jaga kau elok-elok. Jaga kau macam mana umi dan abah jaga kau. Jaga kau, macam
mana seorang lelaki sewajarnya melindungi seorang perempuan.” Nedzrish seperti
memasang tekad. Qalish Audrina memandang wajah Nedzrish tanpa berkedip. Betul
kah?
“Aku nak kau makan
bubur ni. Makan lah sendiri. Tangan tak patah kan?” Suara garau suaminya membuatkan
dirinya kembali sedar ke alam nyata.
“Er, okay je makan
sendiri. Tak ada masalah pun.” Balas Qalish Audrina seraya mencapai mangkuk
yang berada di tangan suaminya.
“Lembab betul lah kau
ni.” Mangkuk berisi bubur sudah selamat berada di tangan suaminya semula.
Nedzrish sebenarnya kasihan melihat isterinya terkial-kial untuk memegang sudu
kerana tangan kanannya yang terseret di atas jalan tar.
“Bukak lah mulut. Nak
suruh hidung makan ke macam mana?” Nedzrish sudah tayang wajah benganggnya.
Lekas-lekas Qalish Audrina membuka mulutnya untuk membolehkan suaminya
menyuapkan bubur ke dalam mulutnya.
“Awak, kita balik hari
ini kan?”
“Kita duduk sini lagi
sehari. Kaki kau tu tak sembuh lagi. Malas aku nak dukung kau, duduk je sini.”
“Tapi awak, saya kena pergi
butik. Esok saya ada appointment
lah.” Bantah Qalish Audrina.
“Cancel, apa susah? Aku pun sepatutnya kerja esok, tapi sebab kau
dah buat perangai terlebih bijak kau sampai calar balar badan kau sana sini.
Aku pun terheret sekali tak pergi kerja. Relaks lah, tak lari pun butik kau
tu.” Qalish Audrina hanya diam seribu bahasa mendengar jawapan panjang lebar dan
padat dari suaminya.
“Makan lah, nanti perut
tu lapar. Bila kau dah sembuh, pergi lah butik. Kalau nak cepat sihat, dengar
cakap aku. Makan..” Nedzrish memujuk isterinya lembut. Bagaikan dipukau, Qalish
mendengar sahaja kata-kata suaminya. Seketika kemudian semangkuk bubur ayam
berjaya dihabiskan olehnya.
“Thank you, Rish.”
“Kalau nak apa-apa
nanti panggil aku. Aku nak turun sekejap.” Ujarnya sebelum menghilang di balik
pintu.
No comments:
Post a Comment